Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bentengilah anak-anak daripada budaya tegar, benci dan ganas

Sejauh mana ibu bapa dan keluarga boleh menjadi benteng penting dalam melindungi golongan muda daripada terjerumus ke dalam kancah radikalisme?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Peranan ibu bapa dan institusi keluarga yang kuat adalah benteng yang berkesan dalam memberikan perlindungan jangka panjang dan juga imuniti dalam membasmi ancaman radikalisasi yang berpanjangan.

Gambar saumaah Maghain Aboth Synagogue yang dimuat turun sebagai rujukan. (Gambar-gambar: MHA)

Berita remaja 20 tahun yang ingin melakukan pembunuhan ke atas penganut Yahudi di rumah ibadat mereka atau ‘synagogue’ di sini sekali lagi menarik perhatian dan keprihatinan masyarakat Singapura.

Sebelum ini, masyarakat Singapura dikejutkan dengan berita seorang remaja 16 tahun yang ingin melakukan serangan ganas ke atas dua masjid tempatan. Kedua-dua remaja ini kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dikenakan Perintah Tahanan (DO).

Remaja tersebut didapati merancang untuk melakukan serangan dengan menggunakan pisau di Sinagog Maghain Aboth di Waterloo Street selepas tamat sesi ibadat beramai-ramai di sana.

Dia didorong rasa benci dan marah kerana penindasan umat Islam dalam konflik Israel-Palestin. Selain merancang melakukan serangan, dia juga mempunyai rancangan menyertai sayap tentera Hamas, Briged Izz ad-Din al-Qassam (AQB) di Gaza, Palestin untuk menentang Israel.

Perasaan marah dan benci yang meruap dalam diri remaja ini telah mengakibatkan dia merancang perbuatan ganas. Trend remaja menjadi radikal dengan sendiri semakin meningkat. Radikalisasi dalam talian di kalangan remaja kini menjadi satu cabaran utama yang perlu dihadapi.

PSIKOLOGI REMAJA

Memahami psikologi remaja terutama remaja masa kini adalah langkah pertama yang harus diambil dalam usaha kita menangani masalah radikalisasi di kalangan remaja.

Usia remaja adalah usia di mana individu mempunyai hasrat yang mendalam untuk mencuba perkara baru. Dalam usia sebegini, remaja lebih bertenaga dan sering bersikap idealistik dalam keinginan merubah persekitaran dan dunia mereka.

Jika ditangani dengan baik, sikap sebegini dapat membawa pelbagai kebaikan tetapi sebaliknya jika tidak dibenteng atau diawasi, ia boleh membawa kepada perkara-perkara negatif dan kerosakan.

Satu daripada tujuh orang di S'pura alami isu kesihatan mental. (Gambar fail: TODAY/Nuria Ling)

Di antara sikap yang sering didapati dalam usia remaja ini ialah sikap mengambil risiko. Sikap ini bercampur dengan sikap ingin mencuba sesuatu yang baru boleh menimbukan keinginan untuk mencuba apa yang mereka lihat di internet atau media sosial.

Tanpa garis pandu yang tepat, remaja boleh melanggar etika sosial dan moral. Umpamanya percubaan membuat bahan ledakan atau percubaan untuk membunuh dengan senjata seperti pisau adalah natijah buruk dari sikap dan juga etika yang salah.

IDENTITI REMAJA

Tidak dinafikan identiti adalah satu perkara yang sering diterokai remaja hari ini. Mencari identiti bermakna seorang remaja itu ingin dilihat sebagai sebahagian daripada kumpulan yang bermakna.

Umpamanya, jika identitinya sebagai orang Islam itu ingin dikukuhkan, dia juga akan rasa simpati terhadap umat Islam di tempat lain yang dianiaya itu sebagai perlu dibela.

Selain dari itu, remaja hari ini sering mendapati diri mereka dalam dilema apabila berhadapan dengan beberapa identiti. Contohnya identiti mereka sebagai warga Singapura dan juga sebagai Muslim pada waktu yang sama sering dirasakan bercanggah.

(Gambar fail: TODAY)

Ramai remaja merasakan identiti mereka terancam dengan anasir-anasir yang wujud di sekeliling mereka. Mereka juga merasakan identiti yang dimiliki orang lain bercanggah dengan prinsip agamanya.

Jika pencarian identitinya bertembung dengan unsur di media sosial yang memberi ruang kepadanya membela maruah atau kepentingan orang Islam, maka dia boleh terpengaruh untuk melakukan demikian.

Apa yang boleh dilakukan bagi remaja sedemikian ialah menyalurkan keinginan mereka untuk membela ini pada wadah yang sesuai umpamanya dengan menderma kepada misi kemanusiaan yang dianjurkan oleh organisasi bantu diri.

BUDAYA TEGAR DAN BENCI

Remaja yang menjadi radikal dengan sendirinya sehingga sanggup merancang perbuatan ganas telah terpengaruh dengan budaya yang tegar dan ideologi kebencian. Budaya dan ideologi seperti ini boleh membawa kepada kerosakan dan ketidakstabilan.

Perasaan benci boleh dilihat sebagai lumrah yang wujud dalam diri manusia. Secara alami, manusia itu suka kepada sesuatu perkara dan benci kepada sesuatu perkara yang lain. Namun, seseorang itu tidak seharusnya berlaku zalim atau bertindak dengan sesuatu yang tidak wajar berdasarkan kebenciannya.

Begitu juga mereka yang bertindak ganas dengan membunuh dan melakukan pengeboman kesemuanya memilih ideologi kebencian yang sangat berbahaya sekali. Ideologi ini terbukti boleh membawa kepada maut dan parah.

Budaya tegar dan ideologi benci ini telah mencengkam dunia hari ini. Banyak peperangan, konflik, pembunuhan dan pergeseran yang melibatkan manusia, kesemua ini adalah berpunca daripada budaya tegar dan ideologi kebencian.

Maka dari itu, anak-anak kita harus dibentengi daripada budaya tegar dan ideologi benci yang boleh membawa kepada sikap dan perbuatan ganas.

Caranya adalah melalui penglibatan ibu bapa dan ahli keluarga terdekat. Mereka adalah barisan pertahanan pertama dalam melindungi anak-anak dari terjerumus ke dalam kancah fahaman radikal.

PERANAN KELUARGA

Institusi keluarga memainkan peranan penting dalam usaha menentang radikalisasi dan pengganasan. Keluarga berada dalam posisi yang baik untuk memelihara persekitaran yang mengecam ideologi ekstremis atau menyokong kegiatan pengganas.

Pertama, keluarga harus fokus mendidik anak-anak mereka dengan ajaran dan nilai yang mendorong sikap toleransi, inklusif dan menjalin hubungan baik dengan orang lain tanpa mengira latar belakang kaum atau agama mereka.

Sebelum anak-anak dibenarkan memasuki dunia internet, ibu bapa juga harus secara aktif mendidik mereka mengenai bahaya dunia dalam talian.

TELADAN BAIK

Kedua, ibu bapa harus menjadi teladan yang baik dan duta kebaikan dan kasih sayang kepada orang-orang di sekitar mereka. Cara yang baik dan praktikal untuk melakukan ini adalah dengan memberi contoh perlakuan baik mereka dengan sesama jiran.

Contohnya, apabila anak-anak melihat ibu bapa mereka berkongsi makanan atau berinteraksi secara positif dengan jiran tanpa mengira status dan kepercayaan mereka, mereka secara tidak sedar menerima isyarat itu sebagai teladan.

(Gambar: Mediacorp)

Ibu bapa juga harus menjadi teladan dalam erti mematuhi peraturan rumah yang mereka tetapkan dengan anak-anak mereka berkenaan penggunaan alat teknologi seperti internet dan telefon bimbit.

Ketiga, ibu bapa perlu melibatkan anak-anak mereka dengan penuh perhatian, bahkan ketika mereka masih kecil lagi. Mereka boleh mewujudkan peluang bagi perbualan santai dengan anak-anak mereka. Dalam perbualan ini, ibu bapa boleh sertakan sekali diskusi mengenai kepentingan menghargai setiap manusia.

DITANGANI SEPENUH PERHATIAN

Dunia hari ini bergerak dengan pantas. Ibu bapa dan anak-anak mereka perlu diberi kuasa untuk merangkul masa depan dengan yakin sambil memahami cabaran dan menanganinya dengan baik.

Institusi keluarga yang kuat adalah benteng yang berkesan dalam memberikan perlindungan jangka panjang dan juga imuniti dalam membasmi ancaman radikalisasi yang berpanjangan.

Isu anak remaja menjadi radikal kelihatannya akan terus mencengkam masyarakat kita. Fahaman radikal yang diseliputi budaya tegar dan benci ini perlu ditangani dengan sepenuh perhatian dan diambil serius oleh setiap anggota masyarakat.

Budaya tegar dan benci yang boleh membawa kepada tindakan ganas harus dijauhkan sama sekali daripada anak-anak kita. Jika ini gagal dilakukan, pastinya ia boleh membawa kesan besar kepada keharmonian masyarakat dan negara.

Marilah kita terus memainkan peranan dan meningkatkan kewaspadaan kita.

Sikap sambil lewa dan merasakan bahawa ancaman fahaman radikal ini sudah reda dan tidak serius adalah satu tanggapan yang salah. Ingatlah peribahasa Melayu yang mengingatkan kita bahawa air yang tenang jangan disangka tiada buaya.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan