Images
  • Commentary Default Photo

KOMENTAR: Belanjawan 2020 konsisten dengan falsafah kemasyarakatan dan berfikir jangka panjang

BERITAmediacorp: Sedang ramai individu, pekerja dan keluarga mendapat perhatian dalam Belanjawan 2020, sejauh mana kita boleh pastikan tiada siapa pun tertinggal dalam belanjawan kali ini?


Belanjawan yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Selasa, membangkitkan pelbagai reaksi daripada masyarakat walaupun kebanyakannya bersifat positif.

Belanjawan tahun ini disifatkan sebagai berani oleh pakar-pakar ekonomi dan pengamat-pengamat sosial kerana ia bermakna defisit bakal mencecah S$10.9 bilion.

Pemerintah telah mengetepikan sekitar $6.4 bilion untuk membantu para peniaga, pekerja, keluarga dan mereka yang bekerja dengan agensi-agensi barisan hadapan.

Tentu sekali berdasarkan kadar lumayan yang akan dibelanjakan oleh pemerintah, ada yang menyifatkannya sebagai belanjawan pilihan raya, yang bakal diadakan pada bila-bila masa sebelum April 2021.

Sepertimana yang berlaku di kebanyakan negara lain, belanjawan yang dibentangkan sebelum pilihan raya selalunya bersifat “murah hati” kerana inilah peluang bagi pemerintah memberikan isyarat dan gambaran kepada pengundi bahawa pihak berwenang prihatin pada nasib mereka dan sedia membantu mereka dalam masa-masa susah. 

BELANJAWAN PILIHAN RAYA? 

Namun kalau kita lihat secara terperinci belanjawan kali ini, ia melakarkan pelan jangka pendek dan jangka panjang negara, dan ia disesuaikan dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, masalah-masalah masa kini, dan penakatan negara.

Jika ini adalah belanjawan untuk parti pemerintah memenangi pilihan raya akan datang, tumpuan akan hanya diberikan kepada isu-isu semasa sahaja.


Hakikatnya berbeza. Secara kebetulan belanjawan kali ini mengambil kira kesan wabak COVID-19 yang menjejas teruk ekonomi negara, baik peniaga-peniaga kecil dan sederhana, pekerja (terutama sekali mereka yang berada dalam industri kesihatan dan pelancongan), dan juga keluarga.

Malah, industri penerbangan juga terjejas daripada wabak ini, sedangkan ia adalah nadi ekonomi kita.

Justeru, bantuan-bantuan jangka pendek, seperti pemotongan kadar cukai bagi peniaga dialu-alukan.

Di samping masalah wabak ini, pemerintah juga mendengar rintihan golongan bawahan dan menunda kenaikan kadar GST yang sepatutnya berlaku pada tahun hadapan.

Keputusan ini melegakan rakyat sedikit kerana ia mengawal kos kehidupan rakyat bawahan yang sudahpun tersepit sebelum wabak COVID-19 berlaku.

RIZAB YANG KUKUH

Sesebuah pemerintah boleh sahaja berlebih-lebihan dalam memberikan wang kepada rakyat demi meraih populariti dan sokongan dalam pilihan raya, tetapi sepertimana yang kita ketahui, wang yang dihulurkan secara langsung ini tidak lagi menjamin sokongan rakyat di peti-peti undi.

Ini kita boleh belajar daripada pengalaman di negara-negara lain termasuk jiran-jiran terdekat kita. Justeru, pengagihan sumber kekayaan negara kepada rakyat biasa perlulah dilakukan dengan lebih bertanggungjawab, adil dan saksama.

Ia perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, dan agihan perlulah dilakukan secara telus dan sistematik.


Malah, jika pembahagian wang kepada rakyat tidak didukung dengan kemampuan rizab negara, ia hanya akan merugikan generasi-generasi seterusnya dan berpotensi menyebabkan negara dibebani hutang.

Kadar hutang yang terlalu tinggi pula boleh menyebabkan sebuah negara itu muflis. Lantas, kita akui belanjawan yang dibentangkan pemerintah ini mengambil kira kemampuan negara mengharungi masa-masa sukar.

Hal ini dibolehkan kerana kadar rizab negara yang kukuh, tanpa menggadaikan nasib generasi akan datang.

FALSAFAH BELANJAWAN

Walaupun kadar defisit tahun ini agak tinggi berbanding tahun-tahun sudah, idea di sebalik belanjawan pemerintah konsisten dan tidak berubah.

Pemerintah bukan sekadar memberikan wang kepada rakyat secara percuma, tetapi memerlukan kerjasama masyarakat untuk mempertingkatkan diri.

Dalam kata lain, sifat kemasyarakatan atau komunitarianisme terpantul dalam belanjawan yang dibentangkan.


Misalnya, pemerintah menambah bantuan bagi pekerja yang ingin meningkatkan kemahiran mereka, menerusi tokokan S$500 kepada SkillsFuture bagi rakyat Singapura yang berusia 40 hingga 60 tahun.

Ada juga bantuan untuk syarikat-syarikat yang bersedia mengambil pekerja-pekerja lokal (yang berusia 40 tahun ke atas) menerusi program yang mempertingkatkan daya usaha.

Belanjawan kali ini juga konsisten untuk membantu keluarga dan individu dalam pendidikan. Misalnya, bantuan diberikan bagi golongan kurang berkemampuan yang mahu menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat prasekolah atau pusat jagaan anak.

Ini memastikan anak-anak kecil mendapat pendidikan awal yang ada natijah mengukuhkan mobiliti sosial, dan memastikan tidak ada rakyat Singapura yang terkebelakang kerana mereka berasal daripada keluarga susah.

Selain daripada bantuan-bantuan berupa dermasiswa, bantuan juga diberikan kepada pelajar-pelajar yang ingin menimba ilmu atau pengalaman di luar negara.

FIKIR JANGKA PANJANG 

Justeru, falsafah di sebalik belanjawan ini konsisten dan memikirkan penakatan negara dalam masa jangka panjang.

Memandangkan Singapura adalah sebuah negara global, ia akan sentiasa terjejas dengan masalah rantau dan global.

Misalnya, perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China juga menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang berkurangan. Mentelah lagi, wabak COVID-19 juga mengakibatkan kelembapan ekonomi dunia, dan kita juga akan mendapat tempiasnya.

Jelas bahawa bagi perspektif negara, kita tidak mungkin menjadi negara kebajikan (welfare state). Bak kata pepatah Inggeris: jika kita hidangkan ikan kepada seseorang, dia hanya boleh kenyang pada hari tersebut.

Tetapi jika kita ajarkannya cara-cara memancing, kita boleh mengenyangkannya seumur hidup (Give a Man a fish, and you feed him for a lifetime. Teach a Man to fish, and you feed him for a lifetime).

BUKAN PEKERJA TETAP

Namun, satu keprihatinan terhadap belanjawan ini adalah kurang perhatian yang diberikan buat mereka yang terlibat dalam ‘Ekonomi Gig’ atau mereka yang tidak bekerja tetap.

Di kebanyakan negara maju, golongan ini memainkan peranan penting dalam ekonomi negara. Ini tidak bermakna bantuan kepada golongan ini langsung tidak ada, atau dilupakan, kerana bantuan-bantuan ini diselitkan dalam usaha untuk mempertingkatkan diri dan pendidikan.

Di sini, kita harus menunggu perincian daripada pemerintah bagaimana bantuan-bantuan ini dapat disalurkan kepada golongan tersebut, terutama sekali yang memerlukan bantuan serta-merta.


Usaha-usaha pemerintah yang mengajak mereka untuk mempertingkatkan diri, menerusi pengambilan kursus dan pendidikan, perlu dan baik, tapi memerlukan masa.

Mereka yang termasuk dalam ekonomi gig ini sebilangannya melibatkan masyarakat Melayu/Islam: antaranya pemandu-pemandu sambilan, mereka yang terlibat dalam industri penghantaran makanan, malah boleh dikatakan sebilangan asatizah kita juga.

Marilah sama-sama kita memastikan golongan ini tidak ditinggalkan, sementara kita berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat dan mobiliti sosial. 

MENGENAI PENULIS


Dr Norshahril Saat adalah Zamil ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau penulis buku Tradition and Islamic Learning: Singapore Students in the Al-Azhar University (ISEAS, 2018). 

- BERITAmediacorp/tq

Top