Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bayangkan jika masa depan kita lebih berat daripada apa yang dijangkakan

Tanpa budaya pembelajaran sepanjang hayat tidak mungkin kita memahami apakah perubahan yang dikehendaki ke atas kita, dan membuat apa-apa perubahan yang diperlukan?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Bayangkan jika masa depan kita lebih berat daripada apa yang dijangkakan

Perbincangan panel webinar Pembelajaran Sepanjang Hayat BERITA mediacorp, Sabtu, 31 Okt 2020

Kita kerap juga mendengar sesetengah pakar dan pemimpin yang menyatakan di sebalik pandemik virus korona ini ada ‘lapisan perak’ (Silver Lining) atau lebih tepatnya hikmah yang tidak dijangkakan.

Kalau sebelum pandemik, misalnya,  banyak negara masih berlengah-lengah untuk melakukan penstrukturan semula ekonomi, melaksanakan pendigitalan, malah juga tidak mengambil berat tentang latihan dan peningkatan kemahiran.

Kini akibat pandemik dan kesan mendadaknya ke atas ekonomi sejagat, nak atau tak nak, berebut-rebut satu demi satu negara melaksanakan pelbagai perubahan ekonomi masing-masing.

Akibat pandemik, segala usaha penstrukturan dan pendigitalan yang sebelum ini dijangka mengambil masa 5 hingga 10 tahun, kini berlaku dalam masa beberapa bulan sahaja.

Kalau dahulu kita tidak menjangka bahawa banyak pekerjaan tradisional seperti dalam bidang runcit, pelancongan, penerbangan, konvensyen, ekspo dan penginapan, boleh ‘lenyap’ begitu sahaja.

KRISIS GLOBAL

Hari ini, berdasarkan kajian Jabatan Buruh Amerika, sekitar 20 peratus pekerja dalam perusahaan-perusahaan yang terjejas dengan COVID-19, terpaksa menanggung beban – sama ada terus hilang pekerjaan, hadapi potongan gaji atau apa sahaja langkah mengurangkan kos.

(Gambar: TODAY)

Lebih buruk lagi, ada pakar-pakar ekonomi meramalkan bahawa ekonomi dunia keseluruhannya akan menguncup sehingga di bawah sifat 5 peratus, mengakibatkan jutaan pekerja menganggur.

Mereka menganggarkan bahawa pandemik ini bukan sahaja mengakibatkan banyak ekonomi terpaksa ‘ditutup’ atau ‘dilembabkan’ perjalanannya demi mengelakkan penularan jangkitan.

Malah ia juga bakal disusuli dengan satu gelombang krisis kewangan dan perbankan, apabila banyak perniagaan dan perusahaan terpaksa ‘gulung tikar’ kerana tidak mampu menanggung beban kos dan hutang yang semakin meningkat.

Menurut Bank Dunia pula, di kalangan negara-negara miskin, penguncupan ekonomi sedemikian boleh menyebabkan sekitar 60 juta orang bakal menjadi golongan ‘miskin baru.’  

CELIK PERUBAHAN

Di Singapura atau Malaysia, kesan sepenuhnya pandemik ini juga belum dirasakan sepenuhnya, antara lain kerana banyaknya usaha dan bantuan menerusi skim-skim belanjawan tambahan.

Segala usaha itu banyak mengurangkan kesan dan tekanan ke atas mereka yang terjejas secara langsung akibat kehilangan pekerjaan dan kerugian perniagaan akibat langkah-langkah sekatan ekonomi.

Namun, banyak juga usaha sedemikian lebih berupa sementara sahaja dan bakal berakhir apabila tiba sesuatu tempoh waktu.

Sekiranya bantuan sedemikian sampai tamat tempohnya, sedangkan ekonomi, perniagaan dan  pekerjaan pula belum dapat digiatkan sepenuhnya, bayangkan keperitan hidup yang perlu dilalui oleh mereka yang terjejas.

Negara-negara yang ‘celik’ tentang perubahan besar yang bakal menanti selepas pandemik covid ini amat menyedari bahawa ekonomi dunia tidak akan kekal statik seperti sebelumnya.

Para pekerja di sebuah kilang di Singapura. (Gambar fail: TODAY)

Oleh itu mereka tidak berdiam diri dan mengabaikan sebarang iktibar yang boleh dipelajari daripada perubahan mendadak  akibat ‘krisis segenerasi’ yang dilalui.

KENALI KRISIS

Seperti kata sejarawan dan ahli anthropologi, Jared Diamond (Upheaval: Turning Points for Nations in Crisis), faktor penentu kejayaan sesebuah negara adalah apabila ia mampu mengenalpasti krisis di hadapan matanya.

Hanya apabila sesuatu krisis itu sudah diakui dan dikenalpasti sepenuhnya, barulah mereka boleh bertindak dengan bijak dan pantas untuk menanganinya.

Sebenarnya kalau tidak kerana pandemik covid, dunia sudahpun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan krisis yang memerlukan setiap negara bersiap siaga untuk menanganinya.

Kemunculan revolusi digital, globalisasi dan apa yang dipanggil Revolusi Perusahaan ke-empat atau IR4.0 sudah cukup mengejutkan bagi sebahagian negara untuk bertindak lebih pantas dalam membuat perubahan-perubahan yang diperlukan.

Begitu juga dengan Singapura yang telahpun melakarkan agak lebih awal lagi persiapannya bagi Ekonomi Masa Hadapan (Future Economy) dengan memanfaatkan sektor-sektor ekonomi yang menjanjikan pertumbuhan lebih pesat lagi.

Ia merupakan strategi yang memberatkan keseimbangan di mana penekanan diberikan kepada  bukan sahaja pertumbuhan ekonomi, daya penghasilan dan inovasi semata-mata tetapi juga kepada pembangunan modal insan dan daya mobiliti sosial.

PENEKANAN SEIMBANG

Penekanannya yanag seimbang itu diiktiraf oleh Forum Ekonomi Sedunia WEF yang meletakkan Singapura antara 20 negara teratas dalam tinjauan ke atas lebih 80 negara.

Dalam laporan WEF mengenai Mobiliti Sosial Sejagat itu, Singapura mengatasi negara-negara jirannya di  Asia Tenggara kerana pelbagai dasarnya dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan kesihatan.

Walaupun beberapa dasarnya terutama dalam peluang-peluang pekerjaan, pengagihan pendapatan dan keadaan bekerja, mungkin tidak setanding negara-negara Nordic seperti Denmark, Norway dan Finland, Singapura tetap antara negara Asia yang terbaik dalam bidang-bidang sedemikian.

Namun, bidang di mana Singapura cukup cemerlang adalah mutu pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat di mana ia menduduki tempat ketiga dan keempat terbaik di dunia.

Ini semua menunjukkan bahawa dari segi prasarana dan peluang-peluang, Singapura dalam kedudukan yang cemerlang dibandingkan dengan banyak negara lain.

Tidak seperti kebanyakan negara lain, banyak peluang tersedia di Singapura untuk rakyatnya membaiki diri, meningkatkan kemahiran dan daya mobiliti mereka untuk mencapai taraf hidup yang lebih baik.

PELUANG TERSEDIA

Prasarana dan peluang-peluang yang tersedia itu mungkin terabai dan tidak terkesan sekiranya ia gagal dimanfaatkan oleh rakyat, pekerja, pelajar dan setiap lapisan anggota masyarakatnya.

Disebabkan itulah mengapa semangat dan sikap yang cenderung kepada pembelajaran sepanjang hayat terus ditekankan supaya ia menjadi budaya kebangsaan.

Ia adalah budaya di mana rakyatnya faham bahawa ia perlu sentiasa berubah sejajar dengan perubahan yang berlaku di sekelilingnya.

Tanpa budaya sedemikian tidak mungkin kita akan memahami apa yang sebenarnya dikehendaki ke atas diri kita.

Dan seterusnya tidak mungkin kita dapat membuat perubahan yang sesuai baik dari segi meningkatkan diri, menajamkan kemahiran ataupun menambah apa sahaja ilmu pengetahuan yang berguna.

Tanpa itu semua ia akan hanya menyebabkan kita mudah sekali dihanyutkan oleh perubahan dan ditelan zaman tanpa sebarang kesan di belakang hari.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan