Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bantuan untuk yang terjejas dan mengukuhkan perpaduan sesama rakyat

Sejauh mana Belanjawan 2020 mencukupi untuk memperkukuh kedudukan Singapura dengan rakyatnya sedia melantun ke hadapan apabila krisis ini berakhir?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Bantuan untuk yang terjejas dan mengukuhkan perpaduan sesama rakyat

Gambar fail latar langit Singapura. (Gambar: Reuters)

BERITAmediacorp: Sejauh mana Belanjawan 2020 mencukupi untuk memperkukuh kedudukan Singapura dengan rakyatnya sedia melantun ke hadapan apabila krisis ini berakhir?

Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa Belanjawan 2020 pada 18 Feb.

Penularan virus COVID-19 bukan sahaja menjejas kebangkitan semula ekonomi, menimbulkan tekanan terhadap mereka yang berada di barisan hadapan dalam memerangi wabak itu, malah telah juga merubah kegiatan harian kita.

Perasaan prejudis terhadap para petugas barisan hadapan serta keadaan panik yang dicetuskan sesetengah orang yang menimbun dan menyorok barang keperluan harian, jika tidak ditangani, akan menghakis keutuhan hubungan sesama kita dan memecahbelahkan Singapura.

Oleh itu, Belanjawan Perpaduan 2020 amat dialu-alukan untuk memastikan kita dapat menghadapi badai ketidaktentuan sebagai sebuah negara yang bersatu.

Soalannya, adakah ia mencukupi untuk memperkukuh kedudukan Singapura supaya rakyatnya bersedia melantun ke hadapan apabila krisis ini berakhir?

GOLONGAN TERJEJAS TERUK

Bagaimanakah pula belanjawan ini dapat membantu mereka yang akan terjejas lebih teruk: warga tua, keluarga dan pekerja bergaji rendah untuk meredah krisis ini?

Sokongan pembiayaan 8% kos gaji bagi setiap pekerja tempatan selama tiga bulan (Skim Sokongan Pekerjaan) mencerminkan keprihatinan pemerintah untuk memastikan pekerja bergaji rendah dan sederhana masih dapat terus bekerja.

Gambar fail TODAY.

Ini menjamin keperluan harian keluarga dapat ditampung. Skim ini adalah sebahagian daripada Pakej Penstabilan dan Bantuan yang bernilai S$4 bilion. Di sebalik bantuan ini tersemat harapan penularan COVID-19 akan dapat diatasi dalam jangka masa pendek dan perniagaan syarikat mekar kembali.

Rata-rata peningkatan bagi Skim Kredit Gaji, Rebat Cukai Pendapatan Korporat, Rebat Cukai Hartanah dan Skim Pembiayaan Perniagaan; kelonggaran pembayaran sewa bagi penyewa hartanah yang diurus pemerintah dan sokongan-sokongan lain kepada perniagaan yang dicadangkan, memberi mesej untuk kita sama-sama bertahan menghadapi cabaran ekonomi.

Kita harap pemberhentian pekerja tidak menjadi jalan keluar pertama bagi setiap syarikat yang terjejas.

SESUAIKAN DIRI

Pesanan kepada para pekerja pula adalah untuk bersedia menyesuaikan diri pada perubahan dengan menghadiri latihan dan menambah kemahiran semasa tempoh kurang permintaan dan tugasan.

Pemberhentian pekerja akan membawa rentetan kesan kepada keluarga yang mengharapkan sumbangan dari pencari nafkah. Setiap ahli keluarga memerlukan sokongan untuk mengharungi cabaran kehilangan mata pencarian.

Sebuah keluarga berjalan-jalan di Singapura. (Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

Pada masa yang sama, ketidaktentuan ekonomi dan kesan daripada penularan wabak akan juga meningkatkan kos sara hidup dan ini akan menjejas sebahagian besar rakyat Singapura.

Oleh itu penangguhan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) supaya kekal pada 7% tahun depan memberi kelegaan psikologi bagi warga Singapura yang menjangka akan lebih terkesan dengan kesulitan ekonomi nanti.

BANTUAN KELUARGA

Pakej Bantuan Keluarga (Care and Support Package) yang bernilai S$1.6 bilion keseluruhannya juga memberi jaminan kepada rakyat bahawa pemerintah prihatin dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang.

Skim-skim bantuan yang diketengahkan ibarat memberitahu setiap warga Singapura bahawa maslahat mereka diutamakan. Rancangan untuk memberi sumbangan wang antara S$700 hingga S$1600 bagi setiap warga Singapura dalam jangka masa lima tahun akan memberi kelegaan bagi keluarga untuk mengharungi kenaikan GST pada masa hadapan.

Komitmen pemerintah untuk mengimbangi cukai GST bagi isi rumah para pesara dan keluarga berpendapatan rendah melalui Skim Tetap Baucar GST akan dapat membantu mengurangkan bebanan mereka nanti.

Walaupun begitu, kita harus akur bahawa kedua-dua golongan ini adalah yang paling terdedah dengan risiko kemiskinan.

Golongan ini memang selalunya berhadapan dengan isu-isu tambahan seperti masalah kesihatan, kurang pendidikan dan kemahiran, masalah hutang dan tunggakan bayaran, masalah keluarga serta kurang sumber peribadi yang menjejas daya tahan mereka.

GOLONGAN SASARAN

Realitinya, walaupun pemerintah akan menokok Kredit SkillsFuture sebanyak S$500 dalam Belanjawan 2020, memperkenalkan Pakej Pertengahan Kerjaya SkillsFuture, meningkatkan jumlah program-program kemahiran dan pelbagai lagi, ini tidak bererti golongan sasaran akan memanfaatkannya.

Seorang individu sedang mengakses laman SkillsFuture. (Gambar: Christy Yip)

Ini kerana golongan sasaran juga bergelut untuk menyara kehidupan harian mereka selain daripada berhadapan dengan masalah sosial yang sering dihadapi sama.

Dalam hal ini, bolehkah golongan yang berupaya dapat berusaha dalam memberi maklumat, menggalakkan penggunaan skim, memantau kemajuan dan memberi inspirasi bagi golongan tersebut untuk berjaya?

Inilah yang diharapkan pemerintah dalam menghimpunkan segolongan Penasihat Kerjaya Sukarela. Bagaimanakah mereka dapat mendampingi golongan sasaran dengan lebih proaktif? Soalan ini belum terjawab.

BERPENDAPATAN RENDAH

Belanjawan 2020 ingin memastikan keluarga berpendapatan rendah terus dibantu dengan subsidi dan bantuan yang responsif kepada perubahan ekonomi dan peningkatan perbelanjaan.

Contohnya, peningkatan bagi Skim Bantuan Kewangan Kementerian Pendidikan (MOE) yang merangkumi dermasiswa, subsidi pengangkutan dan subsidi makanan bagi murid daripada keluarga berpendapatan rendah akan memberi manfaat yang berterusan.

(Gambar fail: MOE)

Penambahan tempat bagi prasekolah sokongan pemerintah dari 50% hingga ke 80% menjelang tahun 2025 serta suntikan dana melebihi S$2 bilion setiap tahun memberi mesej bahawa pemerintah menganggap pendidikan perlu bermula seawal mungkin.

Ini adalah perkembangan yang baik. Tentunya, pemerintah juga perlu untuk memastikan ruang-ruang ini dimanfaatkan oleh golongan yang lebih memerlukan agar anak-anak mereka tidak ketinggalan ketika melangkah ke sekolah rendah yang diwajibkan.

PENINGKATAN KEUPAYAAN

Hakikatnya, segala sokongan dan bantuan tidak boleh dipikul oleh pemerintah bersendirian. Warga Singapura secara umum memang dikenali sebagai rakyat yang penyayang dan murah hati.

Sumbangan derma banyak membantu badan-badan khidmat sosial membiayai program-program yang membantu golongan yang memerlukan.

Tetapi badan-badan ini juga perlu mempertingkatkan keupayaan mereka untuk menangani isu-isu yang semakin rencam dan memastikan keberkesanan dalam pentadbiran mereka.

Oleh itu, penubuhan Dana Amanah Keupayaan Masyarakat (Community Capability Trust) akan dapat menampung peningkatan keupayaan badan-badan tersebut.

Masyarakat pula perlu merubah minda bahawa pemberian derma tidak semestinya dikhususkan untuk benefisiari sahaja. Ia juga perlu untuk mempersiapkan badan-badan khidmat sosial bagi masa hadapan yang semakin mencabar.

SEMANGAT ‘KEKITAAN’

Harapan pemerintah adalah untuk menggalakkan masyarakat agar sama-sama membina budaya memberi (a giving culture) yang kukuh supaya kita dapat menyokong mereka yang memerlukan dengan lebih baik.

Tetapi, budaya memberi hanya akan dapat dijana apabila masyarakat semakin matang dalam merasakan keperitan mereka yang tidak berkemampuan.

Untuk ini, kita perlu memastikan warga Singapura dapat keluar dari pemikiran ‘keakuan’ serta menghargai semangat ‘kekitaan’ yang menjadi asas perpaduan masyarakat.

MENGENAI PENULIS:
Encik Mohd Ali Mahmood adalah Konsultan Pembangunan Masyarakat dan Kerja Sosial bagi 'BROMOHD-The Practice' yang ditubuhkannya pada 2019. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan