KOMENTAR: Bantuan untuk semua tidak kira kaum – dapatkah ini dilakukan
Apakah sudah tiba masanya badan-badan bantu diri menilai bantuan yang diberikan mengikut keperluan dan bukannya latar belakang kaum?
Dalam perbincangan hangat yang berlangsung semasa sesi dialog, saya telah mengedepankan cadangan agar bantuan yang diberikan kepada golongan yang memerlukan diberikan atas dasar faktor sosioekonomi, dan bukan berlandaskan kaum seperti yang dilaksanakan sekarang di bawah naungan MENDAKI, CDAC dan juga SINDA.
Ini disebabkan kaitan di antara faktor kelas atau pendapatan dalam pembentukan lingkaran musibah bagi golongan tersebut.
Saya ingin melakarkan dengan lebih terperinci pendapat yang telah saya kemukakan supaya kita dapat merenung dan mempertimbangkan dengan lebih mendalam lagi tentang bantuan yang dapat mengatasi faktor kaum demi mencapai ekuiti ataupun kesaksamaan dalam erti kata sebenar.
FAKTA PERANGKAAN
Secara fakta, masyarakat Melayu membentuk hanya lebih kurang 13.4% daripada keseluruhan penduduk Singapura.
Disebabkan itu, walau bagaimana gigih pun pengumpulan dana dijalankan, contohnya menerusi Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), kita tidak akan pernah dapat menandingi atau sepadan dengan sumber yang dapat dikumpulkan oleh masyarakat lain.
Kita harus berganjak dari takuk lama dan tidak menggunakan kayu ukur seperti kaum, mahupun jawatan seperti doktor dan peguam sebagai mercu tanda kejayaan sahaja.
PERLU DIUBAH
Sudah tiba masanya untuk kita menerima hakikat bahawa bantuan yang berlandaskan kaum merupakan peninggalan sejarah yang mungkin mempunyai peranan pada zaman awal pembangunan negara kita, tetapi sudah perlu diubah.
Selaras dengan usaha pemerintah dalam pembentukan identiti rakyat Singapura yang padu, kita harus bersikap terbuka dan sedia menerima model bantuan rakyat yang tidak mengambil kira warna kulit seseorang atau keturunan mereka.
MENGENAI PENULIS
Siti Hazirah Mohamad ialah seorang Penyelidik Bersekutu di sebuah pusat kajian penjagaan paliatif di Singapura. Beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan akhir hayat dan juga pemergian yang bermakna. Lulusan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura di peringkat sarjana muda dan sarjana, beliau percaya bahawa pembinaan wacana kritis amat penting bagi membina masyarakat Melayu yang berdaya fikir ke arah kemajuan dan menitikberatkan keadilan sosial.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.