Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Baik bahasa ibunda atau dwibahasa yang penting bagaimana manfaatkannya

Bahasa Melayu S’pura yang telah lama terdedah kepada pemodenan dan keterbukaan menjanjikan peluang meluas bagi pengkaryaan dan perisian yang lebih progresif?  

Anggaran Waktu Membaca:

Salah satu kekuatan Singapura dan sekaligus masyarakat Melayunya adalah dasar dwibahasa negara yang telah dilaksanakan sejak sekian lama.

Ia adalah sebahagian daripada dasar dan etos berbilang kaum dan berbilang budaya yang diamalkan Singapura.

Dengan dasar dwibahasa dan dasar berbilang kaum, kedua-duanya itu menguatkan daya bingkas Singapura dalam berhubungan dengan dunia luar dan pada masa yang sama pula mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakatnya yang berbilang latar belakang.

Tiada siapa yang akan mengakui bahawa dasar dwibahasa kita telah mencapai tahapnya yang terbaik mungkin dan tidak perlu lagi untuk disemak atau dibaiki seterusnya.

Pada satu pihak ramai akan akur dengan adanya dwibahasa,  masyarakat Melayu Singapura boleh meraikan kejayaannya menjadi masyarakat Melayu yang cukup terdedah dan berkemampuan tinggi dalam penguasaan dwibahasa (bagi sebahagiannya pula mungkin tribahasa: Melayu, Arab dan Inggeris).

Namun ada juga yang melihat di sebalik kejayaan ini terselitnya perasaan cemas, prihatin dan kebimbangan tentang masa depan bahasa Melayu di Singapura.

Hakikatnya kita boleh terima bahawa masih banyak perlu disemak dan dibaiki tentang dasar dan pendekatan kita terhadap dwibahasa dan pembelajaran bahasa ibunda.

Bukan sahaja kerana masih ada banyak kekurangan atau kelemahan yang sedia ada – termasuklah dalam soal pembelajaran dan pengajaran bahasa ibunda di sekolah ataupun di rumah.

Tetapi juga disebabkan oleh pelbagai perubahan yang berlaku dengan pesatnya di sekeliling kita, termasuk meningkatnya pengaruh bahasa Inggeris akibat globalisasi dan digitalisasi.

Sejajar dengan ciri masyarakat yang cukup dinamik dan responsif terhadap perubahan,  konsep dan pendekatan kita terhadap bahasa dan pembelajaran bahasa tentunya tidak statik, malah senantiasa boleh ikut sama dengan perubahan.

KURANG BERPENGARUH

Antaranya tentulah mengenai soal tentang pendekatan bagaimanakah yang harus diambil untuk menjadikan pembelajaran dwibahasa yang lebih berkesan.

Ini lebih-lebih lagi dalam persekitaran di mana bahasa Melayu semakin dilihat sebagai kurang berpengaruh dibandingkan dengan bahasa Inggeris.

Namun, jadikanlah ini sebagai cabaran berterusan bagi sebuah masyarakat yang cekal berdwibahasa; memang tidak banyak pun negara yang berjaya menghasilkan warga tempatan yang benar-benar berkeupayaan dwibahasa.

Mungkin hanya beberapa negara di Eropah sahaja - Belanda, Sweden, Norway dan Denmark,  menurut sesetengah indeks - di mana rakyatnya fasih berbahasa Inggeris dan bahasa ibunda masing-masing.

Baki kebanyakan negara pula penekanan terhadap bahasa ibunda kerap mengakibatkan keupayaan dwibahasa mereka terjejas.

Ini pula mengakibatkan pelbagai keterbatasan terhadap daya mereka untuk berhubung dan menyerap ilmu, teknologi, kebijaksanaan dan pengalaman dari luar.

Sama ada sesebuah bahasa itu perlu terus berubah atau menjalani evolusi demi perubahan sekeliling, sebenarnya bukanlah perkara yang terlalu mendasar dibandingkan dengan persoalan matlamat dan peranan bahasa itu sendiri.

Kalau sesebuah bahasa itu sudah cukup berkesan dalam memainkan peranan utamanya sebagai pemantap budaya dan jati diri, sebagai cerminan nilai dan hati budi, apa sebenarnya bentuk terakhir bahasa itu mungkin menjadi soal kedua.

PENGGERAK JIWA

Walaupun kita tidak boleh menafikan pentingnya peranan estetika dalam  bahasa (dengan slogannya seperti bahasa mencerminkan bangsa atau seni untuk seni dan sebagainya), bahasa memang memainkan peranan penting sebagai ‘perisian’ jiwa dan semangat bangsa.

Ia bukan sahaja berperanan dalam menanamkan nilai-nilai budaya dan tradisi yang sihat,  tetapi juga penting dalam menggerakkan jiwa dan semangat dengan keupayaanya membentuk wacana dan membangkitkan kesedaran.

Tokoh pendidik Brazil, Paulo Freire, melihat peranan bahasa sebegini sebagai pendekatan pendidikan (pedagogi) yang penting untuk memperkasakan masyarakat terutama golongan bawahan yang dibelenggu pelbagai rintangan hidup.   

Dengan menggunakan bahasa sebagai wacana kritikal (dipanggilnya critical pedagogy dan critical literacy),  bahasa apabila dibentuk sebagai wacana membina boleh menggerakkan jiwa dan pemikiran masyarakat.

Jika digunakan sebagai wacana mundur dan tidak kritikal (misalnya, wacana agama dan politik identiti/kaum yang sempit) bayangkanlah kesannya ke atas jiwa, semangat dan pemikiran masyarakat tersebut.   

Usaha perisian ini melibatkan pengkaryaan yang progresif – baik menerusi penulisan sastera, budaya, pendidikan, kewartawanan, drama dan hiburan – bukanlah suatu yang asing bagi masyarakat Melayu Singapura.

PERANAN SEJARAH

Berdasarkan kedudukan dan peranan sejarah yang telah dimainkannya -    antaranya dengan memutuskan sosio-budaya Melayu tempatan dengan pengaruh-pengaruh feudalisme suatu ketika dahulu – memungkinkan pengkaryaan yang lebih memandang ke hadapan dan tidak terikat kepada pemikiran lama.

Penulis agung Indonesia, Pramoedya Ananta Toer, dalam karya besarnya, Bumi Manusia, melihat peranan yang cukup hebat dimainkan oleh bahasa Melayu dalam membangkitkan semangat dan kesedaran baru pada zaman awal menentang penjajahan Barat di Nusantara.

Bukan sahaja kerana bahasa Melayu memang sudah menjadi bahasa perantaraan dan penyatuan di rantau ini sejak ratusan tahun lamanya.

Lebih penting juga adalah kerana bahasa Melayu di sebahagian besar rantau ini tidak lagi terikat pada warisan feudal semata-mata (walaupun masih ada kesan yang tebal di satu, dua negara di rantau Melayu hari ini).

Sebagai salah sebuah masyarakat pewaris bahasa Melayu yang lebih ‘moden’, ‘demokratik’ dan ‘terbuka’ ini, ia  tentunya menjanjikan peluang meluas bagi penghasilan ‘perisian’ yang lebih dinamik dan jauh memandang ke hadapan.



Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan