Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bahasa Melayu mampu sebagai wadah bagi wacana kritis

 Banyak perbincangan isu masyarakat kini lebih senang menggunakan bahasa Inggeris sebagai wadah. Sudah tiba masanya bahasa Melayu harus dinaikkan tarafnya sebagai wadah pembentukan wacana kritis?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Bahasa Melayu mampu sebagai wadah bagi wacana kritis

Guru Bahasa Melayu di prasekolah, Norhaizahwati Mohd, sewaktu mengajar di kelas pada 2017. (Gambar fail: TODAY)

BERITAmediacorp: Banyak perbincangan isu masyarakat kini lebih senang menggunakan bahasa Inggeris sebagai wadah. Sudah tiba masanya bahasa Melayu harus dinaikkan tarafnya sebagai wadah pembentukan wacana kritis?

Lewat hasil tinjauan pemerintah tahun 2015, di Singapura, tahap penggunaan bahasa Inggeris semakin ketara di rumah. Pada tahun 2005, hanya 18.2 peratus yang ditinjau menyatakan mereka menggunakan bahasa Melayu secara kerap di rumah.

Pada tahun 2010, peratusan ini menurun kepada 12.2 peratus dan dua tahun kemudian turun lagi kepada 10.7 peratus.

Natijah hasil cerapan saya sendiri, penggunaan bahasa Melayu di rumah akan semakin menurun. Penilaian saya ini berdasarkan perbincangan secara tidak rasmi dengan keluarga-keluarga muda yang seangkatan dengan saya.

Masyarakat kita pada umumnya masih boleh menulis dan membaca dalam sekurang-kurangnya dua bahasa. Ini adalah hasil dasar dwibahasa pemerintah sekian lama. Ini sememangnya adalah aset kerana kita didedahkan dalam lebih dari satu bahasa sejak kecil.

Secara peribadi, ia telah membantu saya dalam kajian dan penulisan saya. Di universiti-universiti merata dunia, penulisan tesis akademik adalah dalam bahasa Inggeris, melainkan di pengajian Melayu di universiti-universiti Singapura.

Disebabkan isu yang saya ketengahkan bersangkutan hal-hal rantau ini, seperti di Malaysia dan Indonesia, bahasa Melayu membolehkan saya melebarkan jaluran saya bertukar-tukar pandangan dengan sarjana-sarjana di Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Tidak kurang yang prihatin sejauh mana penguasaan bahasa Melayu dalam masyarakat, yang menjangkau sekadar keupayaan bertutur atau membaca.

Namun, untuk mengatakan seorang boleh menguasai dua bahasa itu agak mustahil dalam konteks dwibahasa. Salah satu bahasa pasti akan beri laluan.

KEKUATAN BAHASA

Justeru, jika ada kumpulan yang mengatakan boleh menguasai tiga bahasa, Inggeris, Melayu dan Arab, pasti sukar untuk diketemui.

Kumpulan ini mungkin boleh membaca dan berkomunikasi, tetapi untuk berwacana atau menulis secara serius dalam lebih daripada dua bahasa, belum ada yang saya jumpa dari Singapura.

Malah agamawan bertaraf ulama, yang menulis dalam bahasa Arab atau Inggeris buat bacaan ilmuan-ilmuan Islam seantero dunia, belum ada.

Walaupun hasil tinjauan mengatakan penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat semakin berkurangan, harapan saya adalah untuk tidak terus menyerah kalah.

Ada yang menganggap bahasa Inggeris sebagai hegemoni, tetapi saya fikir kita boleh menunggang arus globalisasi ini untuk membina kekuatan bahasa kita.

Ada pelbagai usaha baik yang sudah dijalankan dan harus diteruskan malah dipertingkatkan. Misalnya, ada usaha yang dilakukan Puan Rilla Melati Bahari untuk menerbitkan buku-buku kanak-kanak dalam bahasa Melayu.

JATI DIRI MELAYU

Program Ops Baca dan NILAM adalah usahasama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan Kementerian Pendidikan bagi memupuk anak-anak muda supaya menghargai bahasa Melayu. (Gambar-Gambar: Mediacorp)

Usaha ini baik kerana ia mendedahkan anak-anak kita di peringkat prasekolah lagi kepada bahasa Melayu. Selain itu, acara-acara dianjurkan semasa Bulan Bahasa setiap tahun pula adalah baik, demi memasyarakatkan penggunaan bahasa kepada umum.

Ada yang beranggapan acara-acara seperti ini kurang serius, atau bersifat perayaan, namun sebenarnya ia berpotensi menarik minat golongan yang belum kenal dengan bahasa Melayu untuk lebih cenderung ke arah itu.

Unsur seni dan hiburan boleh menarik semangat golongan muda untuk mendekati bahasa Melayu. Mudah-mudahan pendedahan awal ini akan mekar menjadi cinta kepada bahasa. Tetapi acara-acara ini bukanlah matlamat, tetapi usaha. Ada pelbagai lagi usaha-usaha serius yang harus difikirkan.

Mengapa bahasa Melayu kekal relevan dan penting walaupun dikatakan penggunaannya menurun? Ini kerana jati diri Melayu tidak boleh terpisah daripada bahasa, budaya, warisan dan agama Islam.

Malah, ada yang beranggapan aspek-aspek ini lebih penting daripada keturunan atau nasab, sehingga ada istilah “masuk Melayu”.

Ini adalah antara sebab mengapa pemimpin Melayu mesti fasih berbahasa Melayu, kerana jika tidak, mereka tidak dianggap sebahagian daripada masyarakat tersebut.

LEBIH UTAMA

Walau bagaimanapun, aspek terpenting bagi orang Melayu adalah empati terhadap masalah masyarakat. Bagaimana hendak ada sifat empati jika tidak faham masalah mereka? Di sini, bahasa memainkan peranan sebagai titi untuk mendekati golongan tersebut.

Malangnya, perbincangan soal bahasa sering kali menjurus ke arah formalistik atau estetika. Sebagai contoh, kita terus-menerus mencari kesilapan ejaan, atau struktur ayat dalam laporan-laporan media massa.

Tambahan lagi, yang sering dipertikai adalah sejauh mana perkataan Inggeris atau asing digunakan dalam satu makalah sedangkan ada istilah-istilah sama dalam bahasa Melayu. Golongan ini tetap merungut walaupun istilah-istilah asing ini diterima oleh kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pengambilan istilah-istilah baru ini sebenarnya adalah satu proses yang memperkayakan kosa kata sesuatu masyarakat dan ini satu tindakan progresif.

Tentu sekali golongan pemurnian bahasa akan mempersoalkan kenapa saya menggunakan perkataan “progresif” sedangkan ada perkataan “maju”. Tetapi, bukankah yang lebih utama ialah hujah yang ingin saya ketengahkan?

MASALAH SERIUS

(Gambar fail: TODAY)

Ada pula pencinta bahasa yang cenderung ke arah kapitalisme/utilitarianisme. Golongan ini menganggap bahawa bahasa Melayu ada potensi ekonominya sebagai wadah perniagaan, membina rangkaian (networking), atau pengembangan sektor pelancongan.

Saya lebih melihat aspek ini sebagai aspek sampingan, kerana ia bukanlah asas utama cinta kepada bahasa. Ia ibarat cinta pada seseorang kerana status ekonominya.

Ada pula golongan yang saya sifatkan sebagai romantik bahasa. Golongan ini bukanlah golongan sasterawan atau penulis yang karya-karya mereka berbentuk puitis kerana golongan ini amat halus pertuturan dan penyampaian mesejnya.

Golongan romantik ini di saat berbicara soal bahasa, yang dikaitkan adakah isu-isu kampung, yang dilihat sebagai tidak zaman yang belum “tercemar”.

Saya rasa sudah tiba masanya bahasa Melayu digunakan sebagai wahana demi membincangkan masalah-masalah serius.

WACANA KRITIS

Kegiatan Bahasa Melayu di Wisma Geylang Serai (Julai, 2019)

Sejauh ini, masalah-masalah pengangguran, sosio-ekonomi, reformasi agama dibicarakan dalam bahasa Inggeris. Bagi saya, bahasa Melayu harus diangkat tarafnya sebagai pembentukan wacana kritis.

Bahasa Melayu dalam konteks perbincangan masalah orang bandar seperti di Singapura, malah kita harus berdepan dengan perdebatan-perdebatan di rantau ini, yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Wacana kritis tidak boleh dibina jika kita tidak selongkar wacana-wacana terpinggir atau kurang arus perdana.

Dengan membiasakan diri kepada bacaan-bacaan yang mungkin kita kurang senang pada asalnya, kita boleh faham isi hati golongan yang sebelum ini tidak masuk dalam kerangka atau mandala pemerhatian mereka.

Ini mungkin permulaan bagi sifat empati yang perlu wujud sebagai orang Melayu yang juga rakyat Singapura yang baik.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)
Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan