Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bahasa Melayu Dijunjung, Bahasa Inggeris Digendong

Adakah kita memerlukan strategi dwibahasa? Dan kita juga perlu memikirkan isu pelestarian Bahasa Melayu dengan lebih mendalam. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Bahasa Melayu Dijunjung, Bahasa Inggeris Digendong

Istana Kampong Gelam. (Gambar: NHB)

BERITAmediacorp: Tajuk yang saya pilih untuk siri Cendekiawan Lestari sempena sambutan Bulan Bahasa tahun ini ialah "Bahasa Melayu Dijunjung, Bahasa Inggeris Digendong" yang akan melihat sejarah perkembangan bahasa Melayu di Singapura yang akan turut menyelongkar perancangan bahasa Melayu menjelang tahun 2065.

Para pelajar Sekolah Menengah Pasir Ris menggunakan PLD dalam kelas. (Gambar: BERITAmediacorp)

Gambar fail para pelajar Sekolah Menengah Pasir Ris menggunakan PLD dalam kelas. (Gambar: BERITAmediacorp)

Pembentangan saya ini adalah berdasarkan dua buku yang telah saya tulis. Buku pertama "Bilingualism & It’s Effects on Malay Language Planning in Singapore" adalah berdasarkan kajian PhD saya yang melihat kesan dasar dwibahasa terhadap perkembangan bahasa Melayu.

Dan juga pendekatan pedagogi yang diperlukan untuk menyokong perkembangan ini dan kerelevanan peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu sebagai pendinding budaya.

Inilah permulaan perjalanan saya dalam perancangan bahasa Melayu.

Semasa saya memulakan perjalanan ini, ada juga orang yang mengatakan ada ke kita merancang bahasa Melayu ini?

Saya berpendapat, apabila kajian itu dijalankan dengan lebih mendalam, kita akan dapat melihat bahawa perancangan bahasa kita, sama ada secara langsung ataupun tidak, ada dilaksanakan.

Buku ini diterbitkan pada tahun lalu. Isu-isu dalam perancangan bahasa, "Heart Truths" ini, saya kumpulkan beberapa kajian oleh pengkaji-pengkaji pasca merdeka selepas 1965.

Terdapat beberapa pengkaji di peringkat PhD dan Sarjana. Dan saya kumpulkan esei kajian perancangan bahasa Melayu dari segi perancangan status, korpus atau pemerolehan bahasa. Dan buku ini juga meninjau keinginan dan juga harapan pengkaji-pengkaji ini menjelang 2065.

Buku ini bukan untuk dibaca hanya sekarang tetapi juga dijadikan bahan sumber untuk mereka yang akan membacanya pada 2065 nanti untuk melihat apa yang telah dilakukan pada tahun ini untuk perancangan 2065 itu.

MENGAPA 2065?

Ia menandakan ulang tahun ke-100 Singapura. Sama ada kita ada di sini pada waktu itu ataupun tidak, kita tidak tahu tetapi perancangannya mesti dimulakan lebih awal.

Mengapa kita perlu membincangkan perkara ini? Ini kerana isu yang diketengahkan dalam banci penduduk baru-baru ini menunjukkan bahawa ramai yang menyuarakan keprihatinan mereka.

Kalau diperhatikan, penggunaan bahasa Melayu pada tahun 1980 adalah 97.7 peratus, pada 1990 pula, 93.7 peratus dan pada 2000, 91.6 peratus.

Semasa saya memulakan kajian iaitu apabila kita melihat kadarnya sekitar 90 peratus, semua pengkaji baik pengkaji bahasa Melayu ataupun Inggeris ataupun penggunaan bahasa Mandarin, mereka berpendapat bahawa tiada masalah pada bahasa Melayu.

Jadi kita mahu melihat bagaimana ini berlaku, mengapa ia berlaku dan bagaimana kita boleh menangani cabaran ini sebagai sebuah masyarakat.

Saya pecahkan perancangan bahasa Melayu Singapura mengikut perancangan dalam konteks fasa pendidikan. Ini kerana Singapura tidak mempunyai satu entiti yang mengkaji perancangan bahasa.

Perancangan di Singapura dilakukan melalui Kementerian Pendidikan (MOE). Jadi kita perlu melihat fasa-fasa pendidikan. Dari 1965 hingga 1978, ia adalah fasa berteraskan penakatan semasa kita keluar daripada Malaysia dan sistem pendidikan kita masih lagi pada tahap awal dan kita tidak ada persaingan di setiap peringkat. Dan saya menyifatkannya sebagai zaman kegemilangan bahasa Melayu di Singapura.

ZAMAN KEGEMILANGAN BAHASA MELAYU ANTARA 1965 HINGGA 1978?

Kenapa saya menyatakan tahun 1965 hingga 1978 adalah zaman kegemilangan, ini kerana terdapat sekolah-sekolah Melayu. Aliran Melayu. Ini memang zaman kegemilangan. Saya suka menggunakan pengalaman 'anecdotal' saya ini. Semasa saya di sekolah menengah, saya ingat lagi tentang perjumpaan Hari Raya. Perjumpaan Hari Raya ini adalah aktiviti kalendar yang penting dalam kehidupan kita sebagai pelajar pada waktu itu. Dan perjumpaan Hari Raya ini bermula dari 8.00 pagi sehingga 8.00 malam.

(Gambar: Facebook/ Malay Heritage Centre)

(Gambar hiasan: Facebook/ Malay Heritage Centre)

Fasa Berteraskan Kecekapan iaitu dari tahun 1979 sehingga 1991 dan mengapa ia dianggap sebagai tempoh penakatan, ini kerana terdapat perubahan pada sistem pendidikan.

Perubahan yang ketara sekali semasa Dr Goh Keng Swee sebagai Menteri Pendidikan pada waktu itu melaksanakan semakan pada sistem pendidikan kita.

Bermula dari Darjah 3, kemudian ditukar kepada Darjah 4. Tetapi kita adalah antara negara yang pertama di dunia yang melaksanakan 'streaming' pada peringkat Darjah 3 iaitu pada umur 9 tahun. Mengapa keperluan itu? Dan laporan Encik Goh ini juga diadakan disebabkan oleh keperluan dwibahasa.

Seterusnya, Fasa Berteraskan Kebolehan dari 1992 sehingga 2010. Maka itu, terdapat sekolah-sekolah khas, program-program khas dan dari situ pula, bermula Program MLEP dan EMAS dalam konteks fasa ini.

Sistem atau pengajaran bahasa Melayu juga berkembang sama. Kita mempunyai program bahasa untuk pelajar-pelajar yang berminat dan berkeupayaan dalam bahasa Melayu. Maka ruang diberikan kepada mereka. Jadi setiap fasa, walaupun tidak dikhususkan untuk perancangan bahasa Melayu, perancangan pendidikan bahasa Melayu turut mendapat manfaat daripada perubahan-perubahan ini.

Selepas itu, kita ada pula Fasa Berteraskan Nilai daripada tahun 2011. Apabila Encik Heng Swee Keat menjadi Menteri Pendidikan, beliau menekankan betapa pentingnya nilai dalam pendidikan dan juga konsep "Joy of Learning". Bukan setakat "rote learning" atau latih tubi tetapi perlu juga memikirkan tentang bagaimana pengajaran dan pembelajaran boleh menarik minat pelajar kita.

Tetapi apakah impaknya terhadap pendidikan bahasa Melayu dan penggunaan bahasa Melayu di Singapura?

Dalam konteks Singapura, siapa yang merancang bahasa di Singapura? Adakah Majlis Bahasa Melayu?

Tetapi Majlis Bahasa Melayu adalah pemelihara status, peneraju kegiatan dan pendukung pengembangan.

Tugas Majlis Bahasa Melayu bukan khusus untuk merancang bahasa Melayu. Jadi apa yang saya ingin katakan di sini adalah sebenarnya kita tidak mempunyai perancangan bahasa Melayu di luar daripada sistem pendidikan. Bukan hanya bahasa Melayu. Bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Tamil juga begitu. Saya berharap agar apabila ada perancangan dalam pendidikan, bahasa Melayu akan berkembang dan terus digunakan dalam masyarakat.

Ramai yang bertanya apakah harapan bahasa kalau sudah begitu peratusannya?

Tetapi perlu diingat bahawa perancangan kita adalah perancangan pendidikan. Oleh itu, konsep-konsep perancangan bahasa, saya akan menyentuhnya dalam konteks perancangan bahasa di Singapura, sama ada dalam konteks pendidikan ataupun di luar bidang pendidikan. Kita akan melihat dari segi perancangan status bahasa, perancangan korpus bahasa dan perancangan pemerolehan bahasa. Itulah sebabnya saya mengatakannya dari perspektif seorang perancang bahasa. Ramai orang akan cakap, kalau orang itu adalah seorang guru sekolah atau dia seorang waris pada pelajar, atau masyarakat biasa, mungkin dia telah fikirkan tentang perancangan bahasa itu dari segi ketiga-tiga perkara ini.

BAHASA MELAYU BAHASA KEBANGSAAN & BAHASA RASMI

Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan adalah antara empat bahasa rasmi dalam perlembagaan Singapura.

Ramai juga bertanya mengapa bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan tidak digunakan dengan meluas?

Penonton semasa NDP 2021 (Gambar: MCI)

Penonton semasa NDP 2021 (Gambar: MCI)

Jadi bahasa Melayu memainkan dua peranan. Fungsinya pula ada dua - iaitu kebangsaan dan rasmi.

Tetapi bahasa Melayu juga bahasa Ibunda di sekolah. Dulu tidak ada istilah bahasa Ibunda. Dulu kita panggil bahasa kedua. Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Sekarang istilah itu sudah berubah menjadi bahasa Ibunda. Beberapa bulan kebelakangan ini saya juga mendengar bahasa Melayu adalah bahasa warisan.

BAHASA MELAYU SEBAGAI PENDINDING BUDAYA

Kalau kita memerhatikan aktiviti-aktiviti Bulan Bahasa, maka kita akan dapat melihat elemen-elemen budaya juga.

Bahasa Melayu juga pendinding kepada luasnya penggunaan bahasa Inggeris. Jadi bahasa Inggeris itu tetap penting. Sebab itu saya katakan, kita junjung bahasa Melayu, kita gendong bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris itu tidak boleh ditinggalkan dalam konteks Singapura.

Bagi saya, 1956 adalah tahun keramat bagi perancangan bahasa Melayu kerana pada tahun itu, kita mula mempunyai sistem dwibahasa. Pada 1976, kita memulakan sistem ejaan baru bagi bahasa Melayu yang dimulakan dengan peringkat sekolah rendah. Kita ubah sebutan kerana kita mahu bakukannya. Pembakuan bahasa itu termasuk penulisan, ejaan dan sekarang termasuk juga sebutan. Perubahan yang membawa kepada peluasan penggunaan bahasa Melayu.

Majlis Bahasa Melayu pada 1982-1983 ketika itu menyokong dan menasihatkan pemerintah agar menerima sebutan baku dan Kementerian Pendidikan kemudian melaksanakannya. Ia dilaksanakan bagi tujuan keseragaman dengan anggota-anggota MABBIM yang lain.

Menjelang 2065, sudahkah tiba masanya untuk kita melaksanakan ataupun menghasilkan perancangan kita yang akan mementingkan keperluan kita?

Ini kerana penggunaan bahasa kita akan dijadikan sebagai pendinding budaya. Penggunaan bahasa kita sebagai bahasa Ibunda, walaupun ia bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, tapi dalam konteks pendidikan, ia adalah status bahasa Melayu.

Program-program bahasa Melayu kita juga semakin luas, ada program khas seperti MLEP. Kalau dahulu sewaktu saya baru mula mengajar, kita tidak ada kursus sarjana muda dengan kepujian di peringkat universiti. Kita tidak ada kursus Sarjana ataupun PhD dalam bahasa Melayu. Tetapi sekarang sudah ada.

Dalam konteks pemerolehan bahasa, ia adalah satu kejayaan yang besar.

AJAR BAHASA MELAYU GUNA BAHASA LAZIM PELAJAR

Maka itu, perlu ada perubahan pada cara kita mengajar. Sekarang kita mengajar bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa Melayu. Mungkin menjelang 2065, ada keperluan untuk kita mengajar bahasa Melayu menggunakan bahasa lazim pelajar. Ini kerana bahasa Melayu mungkin tidak lagi menjadi bahasa lazim pelajar-pelajar kita semasa di rumah.

Mungkin kita memerlukan strategi dwibahasa. Dan apakah bahasa lazim pelajar itu? Kemungkinan besar ia adalah bahasa Inggeris.

Tetapi kita perlu fikirkan perkara ini dengan mendalam.

Lebih banyak kajian perlu dilakukan, perlu ada perubahan minda untuk masyarakat menerimanya.

Setakat ini saya rasa kadang-kadang ada golongan masyarakat yang mungkin tidak dapat menerima bahasa Inggeris digunakan dalam mengajar bahasa Melayu.

CABARAN HARI MUKA

Pemerintah telah mengusahakan banyak inisiatif. Sebagai contoh, sejak 2018 terdapat juga kursus untuk guru-guru prasekolah diberikan pentauliahan mengajar bahasa Melayu.

Saya yakin ia akan tercapai tidak lama lagi dengan setiap prasekolah di Singapura akan mempunyai seorang guru bahasa Melayu dan seorang guru bahasa Melayu tambahan di setiap prasekolah.

Saya juga dapat melihat banyak buku dwibahasa di media sosial. Menggiatkan aktiviti bahasa, sastera dan budaya.

Bukan hanya sempena Bulan Bahasa. Kalau dahulu, mungkin cuma semasa Bulan Bahasa sahaja. Tetapi sekarahat banyak aktiviti bahasa Melayu diadakan di luar Bulan Bahasa.

Menyediakan ruang dan peruntukan. Dalam konteks ini pula, Yayasan Warisan Melayu boleh menjadi penggerak kepada usaha tersebut dan menyediakan ruang dan domain kemudahan bahasa Melayu.

Kalau dahulu mungkin ada beberapa pertubuhan. Sekarang sudah bertambah.

Pemerintah juga telah menjalankan banyak aktiviti dan inisiatif. Tetapi untuk keluarga, apa yang boleh sesebuah keluarga lakukan?

Penggunaan bahasa Melayu di sekolah dan tempat-tempat awam, semua itu sudah dilaksanakan oleh pemerintah.

IBU BAPA JUGA BERPERANAN

Dan masyarakat yang saya maksudkan di sini adalah rumah, keluarga, individu. Ruang yang anda boleh sediakan untuk menggalak penggunaan bahasa Melayu bersama dengan anak-anak anda dan juga bersama dengan keluarga anda.

Gambar fail sebuah keluarga Melayu dengan anak kecil.

Gambar fail sebuah keluarga Melayu dengan anak kecil.

Bukan setakat ibu bertutur dalam bahasa Melayu dan bapa pula bertutur dalam bahasa Inggeris, bukan setakat itu saja.

Tetapi juga menyediakan ruang perbincangan dalam keluarga bersama dengan anak-anak dan anak-anak perlu mendengar ibu bapa mereka menggunakan bahasa Melayu dan anak-anak juga seharusnya menggunakan bahasa Melayu.

Maka itu, ia juga menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menggunakan bahasa Melayu di rumah. Jadi kita sebagai ibu bapa mesti menyediakan ruang itu di rumah kita.

Apakah pendekatan-pendekatan yang boleh diambil?

Biasanya semasa Bulan Bahasa ada banyak aktiviti untuk ibu bapa membaca kepada anak-anak mereka. Sediakan ruang untuk anak-anak membaca dalam bahasa Melayu.

Selepas membaca, adakah anak-anak kita menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian di rumah?

Ini penting kerana anak-anak kita akan mendengar dan menggunakan bahasa Melayu.

Dr Mohamed Aidil Subhan (Gambar ihsan: Yayasan Warisan Melayu)

Dr Mohamed Aidil Subhan (Gambar ihsan: Yayasan Warisan Melayu)

*Komentar ini adalah sedutan daripada siri Cendekiawan Lestari bertajuk "Bahasa Melayu Dijunjung, Bahasa Inggeris Digendong" yang disampaikan oleh Dr Mohamed Aidil Subhan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan