Images
  • Masagos
    Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli. (Gambar: MBMS)

KOMENTAR: Bagaimana sistem & prinsip PAP pastikan S’pura terus maju, makmur dan bersatu padu

BERITAMediacorp: Parti Tindakan Rakyat (PAP) sudah lebih 50 tahun memerintah Singapura secara berkesinambungan. Ia antara parti politik yang paling lama dan paling berjaya di dunia dalam soal pemerintahan. Apakah formula-formula kejayaan parti tersebut sehingga bertahan begitu lama? Apakah pula cabaran-cabaran sekarang dan yang menanti di hadapan?

Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli, berkongsi perspektif PAP berhubung persoalan-persoalan tersebut di satu pertemuan peringkat tinggi di China awal bulan ini, dalam satu dialog dengan parti-parti politik sedunia. BERITAMediacorp menerbitkan semula hujah-hujah beliau itu dalam ruangan KOMENTAR ini:

PARTI Tindakan Rakyat (PAP) ditubuhkan pada tahun 1954 oleh sekumpulan peguam, wartawan dan anggota kesatuan sekerja berkarisma yang dipimpin oleh mendiang Encik Lee Kuan Yew.

Ia sudah menjadi parti politik dan Pemerintah sejak tahun 1959. Ia bukanlah suatu yang sememangnya terjadi begitu.

Ia terbentuk hasil keupayaan PAP membangunkan sebuah pemerintah yang boleh merancang, menyesuaikan diri dan mengharungi cabaran-cabaran baru di samping memelihara sebahagian prinsip teras bagi memastikan perpaduan politik dan sosial.

Saya akan berkongsi dengan anda pendekatan yang diambil PAP untuk menangani tiga cabaran yang perlu dihadapi pemerintah dan parti-parti politik hari ini - rakyat, dasar dan prinsip.

PEMBAHARUAN POLITIK DAN KEPIMPINAN

Kesukaran pertama adalah untuk meyakinkan generasi muda dan yang berbakat untuk menyertai politik. Di Singapura, ini bukan sahaja bermakna mereka yang bijak, berdaya bingkas dan yang mampu berfikir.

Ia juga termasuk mereka yang berupaya meyakinkan orang lain, boleh dipercayai serta boleh memenangi pilihan raya.

Tambahan lagi, anda juga perlu memastikan kewibawaan mereka tidak dapat dipertikaikan. Sungguhpun demikian, kini semakin sukar untuk meyakinkan golongan sedemikian menyertai politik, meskipun anda tahu di mana mereka berada.

BAKAT POLITIK DARI SEMUA SEKTOR

PAP sudah menangani isu ini sejak bertahun-tahun. Kami mengenal pasti lebih awal para pemimpin berpotensi dan mempelawa mereka menghadiri "sesi jamuan teh" yang sebenarnya bukan bertujuan untuk menikmati secawan teh Cina.

Kami mencari bakat dari semua sektor. Kami bersedia bersaing dengan sektor swasta untuk mendapatkan calon yang baik.

Pemilihan calon politik adalah proses yang memerlukan ketelitian. Ini bagi memastikan kami memilih calon terbaik yang berpendirian dan boleh melaksanakan tugas seperti yang diharapkan.

Sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama, sistem kami juga memastikan kaum-kaum minoriti dan hak mereka diwakili dengan betul.

MENCEGAH POLITIK PERKAUMAN DAN AGAMA

Di bawah sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC), parti-parti politik perlu menubuhkan pasukan-pasukan calon dengan setiap pasukan mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang wakil dari kumpulan minoriti.

Ini mencegah politik perkauman dan agama kerana parti-parti politik tidak boleh lagi dilantik semata-mata kerana kaum dan agama mereka.

Mereka mesti menggunakan wadah yang menarik minat semua kaum, disamping membentuk pasukan dengan anggota dari pelbagai kaum dan agama.

Yang terbaru, kami juga sudah meminda Perlembagaan untuk memastikan kaum-kaum minoriti berpeluang dipilih menjadi Presiden.

Pilihan raya Presiden akan dikhususkan buat individu dari satu-satu kaum yang belum lagi dipilih dalam tempoh lima penggal berturut-turut.

PERWAKILAN YANG PELBAGAI

Hari ini, 23 daripada 88 Anggota Parlimen Singapura yang dipilih adalah bukan dari kaum Cina. Lima daripada lapan Presiden, termasuk Puan Halimah Yacob, adalah dari golongan minoriti. Seramai 20 daripada 88 Anggota Parlimen (AP) pula adalah wanita.

Menjangkaui pembaharuan dan perwakilan, PAP dengan teliti bersiap sedia untuk mewariskan tampuk kepimpinan politik. Ahli politik berpangkat rendah yang boleh dipercayai dinaikkan pangkat menyandang jawatan kanan.

PAP mengendalikan proses itu dengan amat teliti dalam tempoh bertahun-tahun. Kami yakin Singapura akan mempunyai pasukan yang berupaya dan berdedikasi untuk menerajui negara dan memastikan kami terus maju.

TIDAK TOLAK ANSUR TERHADAP RASUAH

Atas sebab ini juga Singapura mengambil pendekatan tidak bertolak ansur terhadap rasuah. Rasuah menyebabkan hilangnya kepercayaan yang merupakan komoditi paling bernilai bagi mana-mana pemerintah.

Apabila rakyat tidak lagi yakin dengan pemerintah, ia menyukarkan pelaksanaan dasar walaupun ia adalah keputusan yang betul. Seperti pepatah Konfusius, "jika rakyat tidak yakin dengan para pemimpin mereka, negara itu tiada tarafnya".

Untuk mengurangkan dorongan melakukan rasuah, Pemerintah Singapura memastikan gaji ahli politik dan para pegawai kanan awam seiring dengan sektor swasta. Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) membuat laporan hanya kepada Perdana Menteri dan bebas untuk menyiasat sesiapa yang disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah.

Ketua CPIB dilantik oleh Presiden dan apabila kegiatan rasuah dikesan, Pemerintah menanganinya dengan segera dan telus untuk mengembalikan keyakinan.

MUDAH MEMBUAT PENYESUAIAN

Kesukaran kedua yang dihadapi pemerintah di merata dunia adalah menjangka dan menyesuaikan diri dengan cabaran-cabaran. Kita sedang bergelut dengan pengaruh-pengaruh yang mengganggu disebabkan oleh revolusi digital dan maklumat.

Pengaruh-pengaruh ini mencetuskan ketegangan dalam cara perusahaan-perusahaan melakukan perdagangan (ekonomi); bagaimana rakyat berhubungan (masyarakat); dan bagaimana pemerintah mentadbir (politik).

Para pengundi lebih kritikal dan bijak menilai namun juga lebih mudah terpengaruh dengan "berita palsu" dan maklumat yang salah.

PENDEKATAN PEMERINTAHAN YANG BERUBAH

Di Singapura, intipati pemerintahan perlu sentiasa berubah. Dalam banyak hal, pemerintah perlu menjadi "pertubuhan yang belajar" dan "pengurus perubahan": memudahkan pemahaman mengenai perkara-perkara yang sentiasa berubah, segera menyesuaikan diri dan menangani cabaran-cabaran dengan berkesan.

Contohnya bagaimana pemerintah Singapura berinkteraksi dengan rakyat. Semasa awal penubuhan negara, pembangunan industri dan prasarana adalah keutamaan kami.

Kami mengambil pendekatan "Memerintah Anda". Pemerintah memimpin dan memberitahu rakyat apa yang perlu dilakukan.

Pada tahun 1990-an, kami beralih kepada pendekatan "Memerintah untuk Anda". Ini merupakan pendekatan yang lebih konsultatif memberi tumpuan kepada sekitaran untuk rakyat maju.

MEMERINTAH BERSAMA RAKYAT

Beberapa tahun lalu, kami beralih kepada pendekatan “Memerintah bersama Anda”. Ini adalah pendekatan di mana kami bekerjasama dengan rakyat.

Ia adalah mengenai Pemerintah yang memberi perhatian kepada keperluan rakyat; dan rakyat memahami keperluan Pemerintah.

Ia adalah mengenai kedua-duanya, Pemerintah dan rakyat, bekerjasama untuk mewujudkan huraian.

(Gambar: OurSGConversation/ Facebook)

Inisiatif “Perbincangan Singapura” (Our Singapore Conversation) adalah satu contoh di mana kami mendampingi sekitar 50,000 rakyat untuk mendengar keprihatinan dan aspirasi mereka.

Inisiatif “SGfuture” adalah satu lagi wadah bagi Pemerintah dan rakyat sama-sama mewujudkan masa depan kolektif. Gerakan “SGfuture” itu menggalak masyarakat untuk berwaspada terhadap ancaman pengganasan global.

INISIATIF MEMUDAHKAN PENYESUAIAN DIRI

Dari segi ekonomi, pendekatan kami dalam penggubalan undang-undang sudah berubah. Model-model perniagaan seperti Uber, AirBnB dan khidmat beli-belah online mencabar definisi barangan dan khidmat.

Kami juga sudah memulakan pelbagai inisiatif bagi memastikan rakyat Singapura boleh menyesuaikan diri kepada cabaran-cabaran dan peluang-peluang ekonomi digital dan bersaing di peringkat global.

Salah satu inisiatif seumpama itu adalah SkillsFuture. Rakyat kini mahu bekerja lebih lama kerana mereka hidup lebih lama. Pemerintah membantu mereka mencapainya. Ia juga membantu menangani cabaran penduduk yang semakin menua.

Jika warga tua kekal aktif, maka tekanan ke atas golongan muda yang bekerja akan berkurangan. Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan adalah satu lagi inisiatif untuk menangani perubahan ekonomi disebabkan trend-trend global dan kemajuan teknologi.

PERLU KEKAL RELEVAN

Di peringkat antarabangsa, sebagai sebuah negara yang kecil, Singapura perlu kekal relevan supaya kami terus bermanfaat kepada rakan-rakan utama kami.

Sejak beberapa tahun lalu, Singapura sudah bekerjasama dengan China dalam projek-projek utama dua hala di Suzhou, Tianjin dan yang terbaru di Chongqing, sebagai respons kepada keperluan pembangunan China yang berubah-ubah.

Singapura merupakan penyokong kuat inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera. Kami menanti-nantikan untuk bekerjasama dengan China dalam menjalankan projek-projek yang bukan setakat bermanfaat bagi kedua-dua negara malah bagi rantau ini dan dunia.

SOKONG PERDAGANGAN TERBUKA

Sebagai sebuah negara, Singapura menyokong kuat undang-undang dan sistem perdagangan berbilang pihak yang terbuka. Kami akan mempengerusikan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 2018.

Antara keutamaan kami adalah memanfaatkan teknologi-teknologi digital menerusi Inisiatif Negara Bijak dan mewujudkan lebih banyak peluang dengan mempertingkat penyepaduan ekonomi serantau.

Untuk menangani perubahan iklim, kami sudahpun menetapkan 2018 sebagai tahun Singapura bertindak terhadap perubahan iklim dan akan bekerjasama dengan rakan-rakan kami untuk menangani perubahan iklim.

MERITOKRASI, SEKULARISME DAN BERBILANG KAUM

Cabaran ketiga adalah perlunya sebuah politik yang inklusif. Dari awal lagi sejak merdeka, soal kaum, bahasa dan agama sudah menjadi isu-isu penting. Sejarah kami sendiri dan contoh-contoh lain mengingatkan kami sejauh mana isu-isu tersebut sensitif dan berkontroversi.

Politik yang eksklusif dan berfahaman pelampau boleh menyebabkan penyisihan. Rasa curiga dan tidak percaya akan timbul. Kemudian keganasan tercetus. Masyarakat berpecah-belah.

Di Singapura, kami menggunakan prinsip asas meritokrasi, sekularisme dan hidup berbilang kaum untuk terus kekal mengikut haluan kami. Izinkan saya menjelaskan setiap satu prinsip ini.

PELUANG SAMA DAN ADIL

Meritokrasi terangkum dalam Perlembagaan kami. Ia memastikan setiap orang mempunyai peluang sama dan adil untuk berjaya.

Rakyat diberi ganjaran mengikut pencapaian masing-masing. Tiada yang didiskriminasi atau dipilih berdasarkan kaum, bahasa atau agama.

Kami menyediakan peluang sama rata untuk semua, meskipun kami tidak dapat menjanjikan hasil yang sama.

Namun kami menanganinya menerusi dasar-dasar dan campur tangan untuk mencegah ketidakadilan sosio-ekonomi dan kurang daya mobiliti disebabkan perpaduan yang diganggu-gugat.

BANTU KEKALKAN KEHARMONIAN

Sekularisme adalah mengasingkan keputusan dasar Pemerintah daripada pertimbangan agama. Ia membantu mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Pemerintah tidak mengawal kegiatan keagamaan namun bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan agama untuk menyampaikan program-program yang dapat memanfaatkan masyarakat secara keseluruhannya.

Satu ciri unik di Singapura adalah kumpulan-kumpulan agama sering menjalankan kegiatan-kegiatan kebajikan yang menyediakan bantuan kepada masyarakat selain dari kaum dan agama mereka sendiri.

MENERIMA KEUNIKAN DAN KERENCAMAN

Kehidupan berbilang kaum bermakna menerima keunikan dan kerencaman. Setiap masyarakat digalak untuk memelihara dan menyampaikan tentang warisan budaya serta mengamalkan adat mereka.

Sekalipun begitu, sekiranya amalan-amalan tersebut mencabuli hak-hak dan sensitiviti masyarakat lain, Pemerintah akan segera mengambil tindakan untuk menghentikannya.

Pemerintah juga memastikan terdapat ruang-ruang sosial untuk dimanfaatkan bersama - seperti sekolah-sekolah, perumahan awam, perkhidmatan awam, pusat-pusat penjaja.

Ini memastikan masyarakat dari kaum yang berbeza terus bergaul dan berinteraksi.

Prinsip-prinsip itu memastikan Pemerintah adil dan saksama kepada semua masyarakat. Ia sudah membantu mencegah berlakunya ketidakadilan dan hak istimewa hanya untuk sebahagian orang sehingga menjejaskan orang lain.

Ia juga memastikan Singapura terus maju dan makmur sebagai sebuah negara yang rakyatnya bersatu padu.

KESIMPULAN

PAP sudah wujud sekitar lebih enam dekad. Saya sudah berkongsi dengan anda sebahagian cabaran yang perlu diharungi PAP, apa yang sudah kami pelajari dan bagaimana kami berkembang.

Namun kami masih sebuah parti yang muda dan masih banyak lagi yang boleh dipelajari.

Walau apa pun, peranan Pemerintah dan parti-parti politik adalah untuk mempunyai sistem yang membawa kepada kehidupan yang lebih baik bagi rakyat.

Ini bukanlah tugas yang mudah. Namun jika kita mahukan sesuatu yang mudah, kita tidak akan menjadi ahli politik!

(KOMENTAR Encik Masagos Zulkifli ini dipetik dari ucapan beliau semasa Perbincangan Panel mengenai "Membina Parti-Parti Politik Lebih Kuat: Cabaran dan Prospek", atas undangan Parti Komunis China, di Beijing.)


MENGENAI PENULIS:
Encik Masagos Zulkifli ialah Menteri Sekitaran dan Sumber Air (MEWR). Sebelum itu beliau pernah bertugas sebagai Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri (MHA). Beliau lulusan Ijazah Kejuruteraan dengan Kepujian Kelas Pertama pada tahun 1988. 

- BERITAMediacorp/aq

Komen Anda?

Top