Images
  • New Document (15)
    Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

KOMENTAR: Bagaimana Raya disambut di S'pura dulu-dulu

BERITAmediacorp: Pernahkah kita terfikir bagaimana umat Islam Singapura, khususnya orang Melayu, menyambut Hari Raya lama dahulu. Apakah perubahan yang telah dialaminya sejak sekurun lalu?

SAYA tertanya-tanya sebenarnya, bagaimana agaknya umat Islam (khusus orang Melayu) menyambut Hari Raya pada masa dahulu. Apakah perubahan yang telah dialami memandangkan kemajuan dan kemodenan yang pesat melanda kota pelabuhan ini dalam tempoh seratus tahun.

Pada tahun 1924, umat Islam meminta bantuan kerajaan British untuk menentukan tarikh sebenar Aidilfitri.

Akhbar ‘Kabar Slalu’ bertarikh 5 Mei 1924 menyatakan, Imam Haji Mohamed Said ikut serta melihat anak bulan di Bukit Tiang Bendera (Fort Canning), dan Bukit Telok Blangah Tiang Bendera.

Akhbar tersebut menyatakan begini:

‘Pasal ini tahon punya Hari Raya, nanti di jalan-kan d’ngan l’beh samporna deri biasa-nya. Pasal tengok bulan sudah tak boleh di yakin (sure) – kan, dan sudah minta Captain W.H Calthrop-Calthrop biarkan orang-orang mengambil hitongan pasal perjalan-an bulan deri perkakasan Government, di Observatory, di Bukit Tiang B’ndera.’

PENETAPAN SYAWAL

Barangkali ini adalah kali pertama peralatan canggih digunakan untuk melihat anak bulan Syawal dalam menentukan Hari Raya Puasa, iaitu pada tahun 1924.

Dalam pada itu terdapat satu kepercayaan dalam kalangan orang Melayu yang Hari Raya yang jatuh pada hari Jumaat ‘tidak elok’. Misalnya pada tahun 1964, segelintir orang Melayu amat lega apabila Aidilfitri terelak disambut pada hari Jumaat.

Dalam satu laporan akhbar misalnya, seorang suri rumah bernama Che Safiah yang diwawancarai mengatakan: ‘Shukor kapada Tuhan Hari Raya tidak jatoh pada hari Juma’at, kalau tidak dua khutbah akan dibacha pada hari ini yang mengikut keperchayaan sa-tengah2 orang tidak baik kira-nya berlaku bagitu.’

SURAM BERAYA

Manakala pada tahun 1970, Hari Raya ternyata suram di Singapura apabila ia disambut lewat sehari berbanding Malaysia.

Media waktu itu menyatakan ramai orang Melayu Singapura sengaja dan sanggup menyeberang Tambak Johor untuk beraya di Johor Bharu . Kekecewaan ini dilaporkan di halaman hadapan akhbar ketika itu.

Bagaimanapun Hari Raya kembali ria pada tahun 1973 apabila umat Islam di Singapura menyambut Raya sebanyak tiga kali. Iaitu dua kali Hari Raya Haji (4 Januari dan 24 Disember) dan Hari Raya Aidilfitri pada 10 Oktober.

Hari Raya Aidilfitri juga merupakan cuti umum pada tahun 1935 yang mana Hari Raya jatuh pada 23 Disember iaitu tarikh yang sangat hampir dengan Krismas, justeru seluruh koloni Inggeris diberikan cuti panjang. Tahun tersebut Hari Raya diisytiharkan sebagai Mohamedan Festival yang jatuh pada hari Jumaat.

Berbeza pada tahun 1970 umat Islam Singapura merungut kerana Hari Raya bukan cuti umum dan mereka terpaksa bekerja meskipun dibenarkan ke masjid untuk bersembahyang sunat pagi raya.

Rungutan ini misalnya boleh dibacakan di akhbar yang mana umat Islam mengharap Majlis Ugama Islam Singapura merundingkan dengan ‘pehak pemerentah’ agar ‘biar-lah kami di-rumah pada Hari Raya itu’ dan bukan ‘terpaksa bekerja pada hari itu’.

AKTIIVITI RAYA

Agak-agaknya apa yang dilakukan oleh umat Islam pada waktu lampau ketika hari kebesaran Islam ini?

Salah satu aktiviti yang resmi dilakukan adalah Perarakan Hari Raya. Pada tahun 1938 sebagai misalan, umat Islam menganjurkan perarakan ini yang bermula di pusat hiburan Happy World. Hari Raya juga menjadi kesempatan untuk bersiar-siar di mana pada tahun 1935, antara tempat perkelahan pada pagi Hari Raya yang tersohor adalah di Raffles Museum Singapore.

Pada tahun 1932 tumpuan diberikan kepada pertunjukan hiburan secara terbuka oleh Javanese Alexandra Musical. Tentu sahaja acara ronggeng dan tari menari mengisi slot Raya datuk nenek kita zaman dahulu. Misalnya Kelab Kota Raja di Sultan Gate begitu macet pada tahun 1952 untuk acara Ronggeng Raya.

Tidaklah menghairankan ‘hiburan melampau’ di Hari Raya sepanjang dekad itu mendapat teguran oleh Kadi Besar Singapura, Haji Ali Haji Mohd Said Salleh dalam tahun 1960 ‘jangan melakukan perbuatan2 yag ma’asiat dalam masa Hari Raya’.

Sebaliknya ia dihiasi dengan kunjungan kepada ibu bapa dan saudara mara selain menziarahi kuburan.

Selain dari aktiviti di atas, tentu sahaja tayangan istimewa sempena Hari Raya di pawagam menjadi perhatian. Pada tahun 1947 sebagai misalan, filem yang mendapat sambutan adalah Village Girl, sebuah filem Hindi lakonan Nur Jehan.

MENONTON FILEM

Budaya menonton ‘filem Raya’ ini masih mempengaruhi orang Melayu sehingga dekad 1980an, sebagai contoh pada tahun 1984 filem Indonesia berjudul ‘Penakluk Serigala’ lakonan Tuti Wasiat dan Richie Ricardo disesaki penonton.

Filem tayangan khas itu dijoloki sebagai ‘Persembahan Hari Raya Aidilfitri Changi dan Woodlands’ dengan iklan filem berbunyi ‘Ramai Gadis-Gadis jadi Mangsa: Tanpa Kekerasan Bukan Artinya Pengechut. Mereka Berikrar Akan Balas.’ Nah, tidakkah ‘retorik feminisme’ terasa kuat di situ?

Untuk mereka yang tidak berminat dengan filem corak seram, atau filem Indonesia, mereka memilih filem komedi di Regal Bedok di mana ‘filem super super komidi untuk tayangan hari raya puasa’ lakonan pertama kali Liza Abdullah, A.R Badul, A.R Jaafar dan Dewi Jacquelin bertajuk Pagar-Pagar Cinta terbitan Sabah Filem Productions dihidangkan.

Untuk golongan elit dan hartawan, parti atau jamuan makan dianjurkan antara lain di hotel-hotel dan antara tempat berprestij untuk acara seumpama ini pada tahun 1959 adalah di Hotel Embassy. Majlis makan-makan ini disediakan oleh Chempaka Putih Hiboran Parti.

Sementara pertemuan ‘Majlis Gembira’ yang seumpamanya turut dianjurkan di Balai Raya Keppel Harbour pada tahun 1960.

HIBURAN RAYA

Suatu yang agak pasti adalah Hari Raya yang juga dirujuk ‘Hari Gembira’ ini menyediakan kesempatan untuk umat Islam bersuka-ria dan berhibur.

Harus diingat Singapura adalah sebuah bandaraya dan bukannya pedalaman di Malaysia maka sebagai pusat kegiatan manusia ketika itu, tentulah sambutan dan suasana Hari Raya amat lain.

Apakah acara hiburan yang dianjurkan ketika musim Raya di Singapura selain aktiviti yang disebutkan sebelumnya?

Pada tahun 1968, tentu sahaja wahana hiburan pada waktu itu tidak begitu banyak. Radio memainkan peranan penting.

Antara program Raya atau diberi jolokan ‘Achara Lebaran’ yang disediakan oleh Radio Singapura pada tahun 1968 adalah Puisirama (iaitu program membaca puisi bertemakan Hari Raya).

Selain itu terdapat rancangan membacakan cerpen sempena hari meriah ini. Terdapat juga rancangan ‘uchap selamat Hari Raya’ dan ‘Kugiran Berhari Raya’.

Tidaklah menghairankan acara berbentuk sastrawi ini datangnya daripada idea bernas Penyelia Bahagian Melayu Radio Singapura tatkala itu iaitu Zaharah binti Za’ba, anak perempuan Pendeta Za’ba.

BELI BELAH RAYA

Kita tidak dapat memisahkan Hari Raya dari aktiviti berbelanja tentunya. Seperti yang kita maklum, pusat tumpuan berbelanja orang Melayu sejak tahun 1960-an adalah perkarangan Masjid Sultan yang menjual ‘beratus2 jenis makanan’ sementara pelbagai kuih atau biskut moden yang menurut akhbar ‘disesuaikan dengan perkembangan dan pergolakan tanah ayer’.

Justeru kuih Raya anehnya diberi nama Kuih Maphilindo (sempena pakatan Malaysia Filipina dan Indonesia) malah terdapat Kuih Konfrontasi’ yang merujuk kepada konfrontasi Malaysia (dan Singapura) dengan Indonesia.

Pusat membeli belah untuk orang Melayu adalah di Change Alley, Arab Street, Kampung Jawa, High Street, Joo Chiat Road dan Geylang Serai (sepanjang hadapan Panggung Garrick).

Mereka yang mampu turut membeli barang kemas di North Bridge.

KAD HARI RAYA

Hari ini Kad Raya tidak lagi begitu meriah. Sebetulnya budaya menghantar kad Raya ini bermula dalam tahun 1960-an di Singapura. Sebelum merebak ke Malaysia.

Pada tahun 1967 misalnya Kad Raya sangat laris dan gerai menjual kad raya yang dibuka di Arab Street diserbu.

Kad Raya dengan wajah artis begitu mendapat sambutan ketika itu di mana antara lain wajah Jefri Din, Rafeah Buang, Ahmad Jais, S. Roha, Eddie Ahmad dan Kartina Dahari menjadi buruan.

Akhbar melaporkan kad raya dijual lebih seribu keping di Geylang Serai dan mendatangkan keuntungan buat peniaga. Kad Raya dengan desain biasa termasuk gambar pemandangan bagaimanapun kurang mendapat sambutan.

SEMBAHYANG RAYA

Tentu tidak tepat kita hanya mengaitkan Hari Raya dengan suka ria. Masih ada golongan umat Islam yang memberi tumpuan kepada ibadat khusus di Aidilfitri iaitu sembahyang Hari Raya.

Namun demikian adalah sangat menarik untuk dinyatakan di sini, sembahyang Hari Raya di zaman dahulu diadakan antara lain mengikut puak atau komuniti.
Sebagai misalan, orang Minang berhimpun untuk sembahyang Raya sesama mereka. Pada tahun 1962, masyarakat Minang bersembahyang Raya secara terbuka di hadapan panggung wayang Hollywood di Tanjung Katong Road.

Sementara mereka yang berpegang kepada faham Salafi berkumpul di padang Shell Recreation Sport’s Club di Upper Paya lebar Road pada tahun 1977.
Sembahyang Hari Raya menurut fahaman puak tertentu, atau komuniti ini menyebabkan gejala berpuak-puak dan fenomena tidak sihat ini mendapat teguran akhirnya pada tahun 1980 oleh Dr Ahmad Mattar.

Dalam amanat Hari Raya Aidilfitrinya beliau mengatakan: ‘Kita tidak seharusnya menghabiskan tenaga yang ada untuk mengejar perkara-perkara yang menjadikan kita berpuak-puak.’

Selain bersembahyang di padang atau tempat terbuka, pilihan lain adalah di kompleks sukan seperti mana yang dianjurkan di Kompleks Sukan Queenstown anjuran Jamiyah Queens Crescent pada tahun 1973. Atau di kolong flat seperti dilaporkan oleh akhbar di Aljunied pada tahun 1979.

Adalah penting untuk dinyatakan di sini, kata ‘solat atau salat Raya’ mulai digunakan pada tahun 1979 berbanding kata ‘Sembahyang Hari Raya’ sebelumnya.

Perubahan pemilihan kata ini menjadi garis masa pemisah kebangkitan nuansa Islam di Singapura (dan menimpa seluruh dunia).

Saya ingin menamatkan artikel ini dengan menurunkan serangkap pantun Hari Raya yang diterbitkan di akhbar Berita Harian pada 19 April 1958 iaitu kira-kira 60 tahun lalu:

Berakhir-lah sudah bulan Ramadhan,
Menyambut kita Shawal yang mulia,
Wahai adek dan sakalian teman,
Mari-lah kita sama2 bergembira.

Selamat Hari Raya. Maaf lahir dan batin buat semua pembaca.

MENGENAI PENULIS:
Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.  

Top