Images
  • pub mujahidin
    Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli bersama para murid pusat tajaka di Masjid Mujahidin. (Gambar: Facebook/ PUB, Singapore's National Water Agency)

KOMENTAR: Ayuh bangkit dengan semangat baru; kita sememangnya sebuah Masyarakat Gemilang

BERITAmediacorp: Dalam ucapannya di Majlis Perjumpaan Hari Raya Jumaat lalu, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli menggariskan bahawa masyarakat Melayu/Islam Singapura adalah Masyarakat Gemilang kerana ia kini menunjukkan penuh keperibadian, kemahiran dan kewarganegaraan. Berikut sedutan ucapan beliau yang menggariskan kenapa masyarakat Melayu/Islam perlu menghayati semangat baru ini..

Seperti yang diingatkan Mufti kita dalam khutbah Hari Rayanya, kita di Singapura harus bersyukur bahawa kita dapat melaksanakan kehidupan beragama dalam suasana yang damai di masyarakat majmuk. Tidak seperti di negara lain, masyarakat kita tidak dipalit imej negatif disebabkan perbuatan kumpulan pengganas walaupun di kalangan kita juga ada yang diberkas kerana berpandangan extremis. Namun, apa yang membezakan, ialah kita sama menolak dengan sekeras-kerasnya fahaman pelampau ini.

Sikap kita terus berwaspada, bekerjasama dengan pihak agama dan pihak berkuasa untuk membendung masalah dan menanam keyakinan warga. Inilah cara kita buktikan kepada semua bahawa kita, orang Islam mahu hidup aman damai.

Justeru, perbezaan masyarakat Melayu/Islam dengan kaum minoriti Islam di banyak negara lain begitu ketara. Dan ini bukan sekadar sikap menolak pengganasan. Kita bersama mengejar kemajuan dengan warga lain dan kita tidak menyifatkan diri kita mangsa keadaan. Sebaliknya, kita diyakini dan dihormati masyarakat umum Singapura.



Kita bukan masyarakat bermasalah kepada negara. Sebaliknya semakin ramai masyarakat kita maju menyumbang kepada ekonomi dan negara, menjadikan kita masyarakat yang yakin dapat menyelesaikan masalah kita sendiri.

Saya mengajak kita bersama meninggalkan tanggapan negatif kita terhadap masyarakat dan diri kita sendiri. Tidak ada pasukan yang akan menang jika bertemu lawan dengan merasakan serba kekurangan. Tidaklah masuk akal apabila ramai pembesar memuji pencapaian kita, kita pula hanya melihat kepada kelemahan kita.

Saya mengajak kita bersama dengan berani dan megah mengatakan bahawa kita adalah sebuah Masyarakat Gemilang! Masyarakat Gemilang yang berdiri atas tiga dasar yang kukuh, yang saya singkatkan Dasar 3K, iaitu Keperibadian, Kemahiran dan Kewarganegaraan kita.

KEPERIBADIAN MASYARAKAT

Keperibadian masyarakat iaitu satu dari ciri 3K yang kita titikberatkan. Jika akhlak mencorak identiti seseorang individu, keperibadian masyarakat pula terbentuk daripada kelakuan kolektif setiap individu yang mencerminkan identiti masyarakatnya.

Di Singapura, kita telah lama membina identiti masyarakat kita dari ciri-ciri Islam dan budaya Melayu. Justeru itu, Identiti Muslim Singapura atau SMI telah diolah MUIS berdasarkan lima kualiti yang berkait rapat dengan prinsip ajaran Islam. Singkatan dalam Bahasa Inggerisnya adalah RICAP iaitu ‘religious resilience’, ‘inclusivity’, ‘contributiveness’, ‘adaptiveness’ dan ‘progressiveness’. Dalam Bahasa Melayu pula, ‘berdaya tahan dalam hal keagamaan’, ‘bersifat inklusif’, ‘suka menyumbang’, ‘mudah menyesuaikan diri’, dan ‘berfikiran progresif’.

Dengan RICAP dan etos Rahmatan Lil Alamin, masyarakat Islam Singapura telah hidup dalam harmoni dengan kaum yang berbeza agama bukan sekadar mengamalkan sikap toleransi, tetapi dengan menghormati pandangan yang berbeza.

Sebagai kaum terbesar dalam masyarakat Islam Singapura, orang Melayu dan budaya Melayu banyak mencorak amalan orang Islam di sini. Selain sopan santun orang Melayu yang masyhur, sifat bergotong-royong dan rajin membantu mereka yang memerlukan adalah nilai orang Nusantara yang harus kita lestarikan. Ini juga sesuai dengan seruan agama agar kita memperbanyakkan amal jariah dalam membantu satu sama lain, kerana banyaknya amal adalah ukuran kejayaan orang Islam, bukan setakat banyaknya harta atau besarnya kuasa dan pengaruh kita. Sebaliknya, sebagai masyarakat, pincanglah kita jika semakin ramai dari kita maju, tetapi semakin ramai pula yang hanya mementingkan diri sendiri.


Justeru, saya sangat gembira dengan sambutan hangat kepada inisiatif M3. Sejak dilancarkan setahun lalu, hampir 200 asatizah, tampil menyokong projek-projek M3 seperti Bersamamu dan Fitrah termasuk dari para Naib Kadi dan kaunselor agama. Saya juga berbesar hati kerana di samping itu, hampir 200 karyawan dan orang awam tampil menjadi sukarelawan untuk berbakti walaupun mereka sibuk mengimbangi pelbagai komitmen lain.

Selain para sukarelawan, telah lama badan-badan Melayu/Islam (MMO) dan India-Muslim (IMO) gigih membantu memenuhi keperluan sosial masyarakat kita khususnya golongan yang kurang berdaya. Malah sebahagian besar ditubuhkan lama sebelum adanya MUIS dan Mendaki, dan merupakan nadi penting masyarakat kita. Mereka telah lama memastikan tiada golongan yang terpinggir. Ini termasuk warga tua, wanita dan kanak-kanak yang kurang bernasib baik serta mereka yang sedang menjalani pemulihan.

MENGATASI CABARAN

Mungkin ada pula yang mengkritik, apakah kita sudah dapat berbangga hanya kerana karyawan mula ramai tampil ke hadapan. Malah mereka akan berkata kita seharusnya berasa segan menggelar masyarakat kita sebagai Masyarakat Gemilang kerana jumlah karyawan dan yang cemerlang masih jauh lebih kecil berbanding masyarakat lain.

Kepada mereka saya katakan, lihat sahaja pada sejarah awal Islam. Meskipun jumlah Muslimin ketika itu kecil, namun mereka dapat mengatasi cabaran yang luar biasa apabila mereka bersatu dan yakin. Begitu juga sebaliknya, amatilah peristiwa di mana adakalanya kaum Muslimin tewas meskipun jumlah mereka ramai kerana mereka gagal bersatu hati dan memiliki matlamat yang tidak tepat atau apabila mereka mementingkan diri sendiri.

Keperibadian masyarakat kita yang murni menimbulkan semangat kesatuan yang membuat sumbangan besar kepada masyarakat. Buktinya? Kita mula dengan melihat pada pungutan Zakat kita. Pada 2018, masyarakat kita yang kecil ini menyumbang sebanyak $43 juta kepada MUIS dan membantu ramai keluarga yang memerlukan. Pada tahun lalu juga, masyarakat kecil kita ini menyumbang $18 juta untuk membina masjid.



Kalau kita jumlahkan dana untuk pembinaan masjid sejak 1975, jumlahnya melebihi $250 juta. Ini belum termasuk derma yang dihulurkan di masjid-masjid secara seharian, yang jumlahnya juga berjuta-juta dolar.

NILAI-NILAI MURNI

Masyarakat kecil kita, jika mahu membina masjid baru, atau menaiktarafkan masjid lama, kita kendalikan sendiri acara mengumpul dana, dan tidak mengharap dana dari pihak luar negara mahupun dari pemerintah. Ramai pula peniaga-peniaga kita yang mapan menyumbang. Cuba kita lihat pula pada aset hartanah wakaf yang dikumpulkan oleh generasi perintis kita.

Pada 2018, aset wakaf kita sudah bernilai lebih $940 juta. Hasil pulangan wakaf pula telah memanfaatkan ramai umat Islam di Singapura dan di merata dunia. Kalau kita jumlahkan zakat, dana pembinaan masjid dan dana wakaf, masyarakat kecil kita mengendalikan aset-aset yang melebihi satu bilion dolar! Itulah berkat bersatu dari keperibadian masyarakat kita yang dibanggakan.

Justeru, masyarakat Melayu/Islam kita kuat bukan kerana ramainya yang berpendapatan tinggi dan peniaga jutawan di kalangan kita, tetapi kerana nilai-nilai murni yang kita pegang. Ini terserlah juga dari semangat sukarelawan kita.

KEMAHIRAN

Keperibadian masyarakat itu adalah teras Masyarakat Gemilang. Namun untuk hidup dengan makmur, kita juga harus mempunyai kemahiran, sebagai individu dan juga anggota masyarakat. Kita harus menjadi masyarakat yang menyumbang, dan bukan sekadar menerima.

Contohnya, Puan Bibi Fatimah, seorang suri rumah yang terpaksa menggalas tanggungjawab setelah suaminya jatuh sakit dan tidak boleh lagi bekerja. Puan Bibi tidak mahu menjadi beban pada sesiapa. Beliau mengambil kursus menaip, dan mendapat pekerjaan sebagai kerani di SingPost. Berkat usaha gigih untuk mempertingkatkan diri, beliau berjaya menampung keluarganya sehingga anak-anaknya lulus pengajian tinggi – ada di tahap sarjana muda, ada juga yang meraih diploma.



Jelas, seperti Puan Bibi Fatimah, ciri khas masyarakat Melayu/Islam Singapura ialah mahu mencurahkan segala-galanya pada pendidikan. Kerana masyarakat kita peka bahawa pendidikan menjadi asas kemahiran kita. Hal ini telah kita sedari sejak dahulu lagi, lalu kita menggembleng aset masyarakat untuk memastikan pendidikan yang baik buat anak-anak kita.

Ada di kalangan kita mungkin teringat bagaimana pada tahun-tahun 80an, kita berjaya menggandakan peratusan pelajar Melayu/Islam yang berjaya meraih kelulusan dalam lima subjek di GCE Peringkat ‘O’ dalam masa kurang sedekad. Ini kerana setiap orang Muslim menyumbangkan hanya 50 sen kepada Mendaki setiap bulan untuk membiayai tuisyen yang pelajar kita perlukan pada zaman itu.

Pada zaman ini pula, Pemerintah komited untuk memberi ruang dan peluang untuk terus meraih kejayaan, agar sesiapa sahaja boleh mencapai potensi mereka tanpa mengira latar belakang mereka, termasuk mereka yang tertinggal peluang mencapai pendidikan yang sempurna.

Contohnya, Encik Firdaus Abdul Hamid. Beliau tidak datang dari keluarga yang senang. Sebagai seorang remaja, Encik Firdaus tidak berpeluang untuk menghabiskan pendidikan menengah. Sebaliknya, beliau terpaksa bekerja untuk menampung keluarganya. Pada 2017, beliau ditimpa kemalangan pula.

Pada masa itu, beliau sedar bahawa kaunseling memainkan peranan yang genting dalam mencorak pemikiran seseorang. Ketika berusia 38 tahun, menampung yuran sekolah, beliau kembali ke sekolah memburu diploma dalam bidang kaunseling.

Untuk membantu Encik Firdaus menerima Anugerah Pendidikan Mendaki. Kini, Firdaus memanfaatkan kemahiran barunya untuk mendampingi dan membimbing golongan belia sebagai seorang mentor. Tahniah Firdaus!

Satu lagi contoh ialah Encik Arif Rahman yang terpaksa meninggalkan bangku sekolah setelah menduduki GCE Peringkat ‘N’. Beliau melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk menjadi pemandu kereta sewa privet. Tetapi, beliau minat pada bidang IT, dan inginkan kerjaya yang lebih baik.

Beliau mengikuti Program Penyerapan dan Penempatan Pekerjaan dalam Bidang Teknologi kendalian IMDA. Kini, beliau merupakan karyawan teknologi dalam syarikat pemula (start-up) block chain antarabangsa. Bagi Arif, kembara pembelajaran sepanjang hayat yang diikutinya sangat menarik dan seronok. Syabas Arif!

MENCAPAI KEJAYAAN

Di Singapura, mencapai kejayaan adalah lebih mudah berbanding di negara lain kerana kita ada sistem dan infrastruktur pendidikan bertaraf dunia, dan ia terbuka kepada setiap warga Singapura. Kita ada universiti, politeknik dan ITE yang dibangunkan untuk memacu pertumbuhan di setiap tahap. Justeru, sebagai masyarakat Melayu/Islam, kita mempunyai dua misi.

Pertama, kita harus pastikan bahawa setiap pelajar Melayu/Islam boleh sekurang-kurangnya memasuki dan lulus ITE. Ini adalah “garisan merah” yang kita tentukan, iaitu kita tidak mahu sesiapapun mundur melewati “garisan merah” ini. Kedua, kita harus berusaha bersama supaya seramai mungkin memasuki universiti. Kedepan, tugas utama Mendaki bersama masyarakat memastikan “garisan merah” ini terkawal, dan “garisan biru” ini ditingkatkan lagi.


Justeru, MUIS juga akan melabur dalam mempertingkatkan keupayaan profesional bagi sektor agama, dengan bermula dari memastikan seramai-ramainya pelajar agama kita melewati “garisan biru” juga. MUIS akan berusaha lebih dari itu. Awal tahun ini, kami membentuk Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA), yang bertanggungjawab untuk memahami tren sosio-agama yang menjejas masyarakat Melayu/Islam, dan memberi saranan mengenai bagaimana kita boleh membangunkan para asatizah untuk menjadi pemimpin masa hadapan yang berkeyakinan.

Saranan-saranan yang dikemukakan COFA akan dijadikan sebagai panduan kepada usaha-usaha MUIS untuk pastikan bahawa para asatizah kita terlatih dan dikerahkan untuk memenuhi keperluan masyarakat Melayu/Islam yang berubah-ubah.

MASYARAKAT PENYUMBANG

MUIS akan menyesuaikan strategi di sektor-sektor lain di bawah SkillsFuture, dan menekankan kemahiran serta latihan yang sesuai agar para asatizah juga dapat merebut peluang kerjaya dan laluan baru. Ia menjangkaui di luar bidang-bidang tradisional di masjid dan madrasah. Ini akan membuka peluang kerjaya yang lebih baik untuk para asatizah kita, dan supaya masyarakat kita mendapat manfaat yang terbaik dari kemahiran mereka.

Kemahiran masyarakat kita mencorakkan apakah kita masyarakat yang menyumbang atau menjadi beban negara. Mujur, golongan pekerja kita sedar bahawa kita akan lebih berdaya tahan dan boleh merebut peluang jika kita terus mempertingkatkan diri, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang deras berubah.



Hari ini, kita harus berbangga kerana semakin ramai anak-anak kita diberi tanggungjawab yang besar dan anak-anak Melayu/Islam memainkan peranan penting dalam kemajuan Singapura di sektor privet dan awam seperti menjadi pengurus besar, sebagai penjawat awam ataupun sebagai pemegang jawatan politik di kementerian-kementerian dan seperti Presiden Halimah Yacob, yang menjadi ketua negara.

KEWARGANEGARAAN

Sejauh ini, saya telah berkongsi bagaimana kita telah membangunkan masyarakat Islam Singapura dengan keperibadian murni dan kemahiran kukuh. Namun, untuk membangunkan Masyarakat Gemilang, kita juga memerlukan satu lagi sifat “K” yang ketiga, iaitu semangat Kewarga-negaraan. Nilai inilah yang akan memperkukuhkan ikatan masyarakat kita kepada warga lain dan meterai masyarakat kita sebagai aset penting kepada Singapura.

Justeru, sebagai Masyarakat Gemilang kita tidak harus puas hanya sekadar berintegrasi kerana tahu hanya sifat kewarga-negaraan yang dapat menyemai kepercayaan antara warga demi mencipta kemakmuran untuk semua dan memperteguh jadi diri kita sebagai anak watan Singapura.



Yang menjadi persoalan adalah apakah model kewarga-negaraan orang Islam sebagai masyarakat minoriti? Ini adalah persoalan penting. Oleh kerana ia tidak banyak difikirkan, ramai masyarakat Islam yang hidup sebagai kaum minoriti, kurang faham bagaimana mereka dapat hidup secara rukun dan sejahtera apalagi dalam masyarakat majmuk sambil berpegang teguh pada ajaran Islam.

Akibatnya, ramai yang hanya berpaut pada hak beragama dan tidak yakin untuk sempurnakan tanggungjawab sebagai warga dan Muslim yang baik dengan selari. Hasilnya juga, ramai memilih hidup secara terasing. Yang lebih memburukkan keadaan ialah apabila pemerintah atau kaum majoriti memaksa mereka untuk berasimilisasi. Di sini ingin saya berkongsi panduan daripada seorang Ustaz.

SEJARAH ISLAM

Sejarah Islam telah menunjukkan bagaimana masyarakat Islam awal di Habsyah tinggal di negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Kristian. Yang kurang kita tahu ialah mereka turut keluar mempertahankan negara itu daripada berbagai serangan dan ancaman musuh. Justeru mereka dihormati dan dilindungi oleh pemimpin dan penduduk asal negara itu yang beragama Kristian. Mereka hidup tanpa penindasan.

Episod dari sejarah ini boleh memberi kita panduan. Jelas, masyarakat Islam Singapura harus dipandu oleh nilai-nilai keagamaan serta kemasyarakatan yang positif. Tetapi ia hanya akan dapat dihargai apabila diterjemahkan menjadi inisiatif serta langkah konkrit yang mana manfaatnya dapat dirasai ramai.

Seperti mana kaum Muhajirin di Habsyah keluar perang bersama mempertahankan tanah pelindung mereka, kewarganegaraan masyarakat Islam serta nilai yang menjadi pegangan mereka akan diukur oleh sejauh mana kehadiran mereka dapat membawa harapan, kesejahteraan serta pembangunan untuk semua. Oleh itu, amat sesuai sekali apabila seorang Muslim hendaknya menjadi ibarat pepohon kurma yang akarnya berpegang teguh pada bumi, manakala pepohon daun dan buahnya dinikmati ramai.

KEWARGANEGARAAN KUKUH

Kita beruntung, kerana kitalah satu-satunya masyarakat minoriti Islam, yang mempunyai tidak kurang dari 4,500 tenaga ahli berbagai bidang agama yang membimbing kita. Lebih 2,500 dari mereka pula merupakan asatizah yang bertauliah. Saya ingin menggalakkan asatizah setempat untuk bekerjasama dengan Pejabat Mufti serta kepimpinan masyarakat yang lain untuk membangunkan suatu bentuk pemikiran Islam setempat yang dapat memandu masyarakat Islam Singapura. Matlamatnya adalah memastikan bahawa masyarakat Islam di Singapura dapat terus hidup dengan penuh keyakinan.


Dengan berbekalkan keyakinan keagamaan inilah, kita akan dapat terus turut sama menyumbang dalam aliran perdana masyarakat Singapura dan mewujudkan sikap kewarga-negaraan yang kukuh. Kita tidak lagi disibukkan dengan kebimbangan bahawa menghadiri upacara keagamaan teman atau mungkin saudara sekeluarga yang berlainan agama itu satu masalah keagamaan.

Bahkan kita turut sama mengucapkan selamat kepada mereka pada keramaian keagamaan atau budaya mereka. Keagamaan yang lebih jitu, akan meramaikan lagi kita yang aktif menyertai aktiviti sosial sama ada di tempat kerja, kejiranan mahupun sekolah kita.



Kerana sistem dan model yang membolehkan kita mengecapi kehidupan yang makmur sebagai masyarakat minoriti Islam adalah sesuatu yang selalu dipantau dan boleh dikongsi sama, saya ingin mengumumkan satu persidangan di Singapura tentang masyarakat gemilang pada tahun hadapan.

Antara lain ia akan membahaskan panduan agama untuk minoriti Islam hidup secara warga yang dihormati. Ini kerana sumbangan MUIS, para alim dan asatizah kita selama ini sangat kaya dari pengalaman, fatwa dan irsyad dan boleh dikupas dan dibangunkan bersama ulama arif dari setiap pelusuk dunia. Singapura boleh beri sumbangan yang bermakna kepada dunia.

Baru-baru ini, saya mengunjungi Pameran 200 Tahun Singapura, dan diingatkan bahawa nilai-nilai tersebut telahpun diterapkan dalam masyarakat kita sejak 700 tahun dahulu. Tiga nilai yang dikongsi bersama, ialah

i) keyakinan kita tentang manfaat kepelbagaian budaya,
ii) komitmen untuk menentukan nasib kita sendiri, dan
iii) keterbukaan kita kepada perubahan. Nilai-nilai ini telah mencorak sikap dan minda orang Melayu/Islam di Singapura juga hingga kita berbeza dengan orang Melayu di Nusantara.

SIMBOL KEWARGANEGARAAN

Semasa lawatan saya ke pameran 200 Tahun Singapura, saya melihat dengan jelas simbol kewarga-negaraan orang Melayu/Islam Singapura tertukil dengan pengorbanan Leftenan Adnan Saidi. Leftenan Adnan dan rakan seperjuangannya dari Regimen Melayu menghadapi pertempuran sengit dengan tentera Jepun demi mempertahankan Pasir Panjang. Pertempuran itu adalah satu-satunya perang habis-habisan di tanah Singapura.

Walaupun mereka kekurangan makanan dan air, mereka tidak putus asa dan terus berjuang. Semasa pertempuran itu, Leftenan Adnan ditembak di lengannya, dan walaupun kehabisan peluru, beliau terus menentang musuh hingga ke saat-saat akhir. Malah, beliau bukan sahaja berani, tetapi bijaksana.

Antara kisah yang dikongsi mengenai beliau adalah bagaimana beliau berjaya menggagalkan rancangan tentera Jepun untuk menyelinap masuk ke Regimen Melayu dengan memakai seragam British, hasil ketelitian dan kepandaian beliau.

Saya amat terharu dengan kisah Leftenan Adnan, kerana pengorbanan beliau merupakan contoh terunggul ketiga-tiga “K” yang saya sebutkan, iaitu keperibadian murni, dan kemahiran bermanfaat, manakala sifat kewarga-negaraan Leftenan Adnan pula dibuktikan melalui pengorbanannya mempertahankan negara daripada musuh.

Tokoh seperti Leftenan Adnan serta kisah-kisah inspirasi yang saya kongsikan tadi mencerminkan nilai-nilai yang telah membina Masyarakat Gemilang kita. Sambil kita berhimpun untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada malam ini, kita juga meraikan pencapaian masyarakat kita yang membanggakan.

SEMANGAT BARU

Kita masyarakat yang penuh keperibadian, kemahiran, dan kewarganegaraan. Kita bukan masyarakat bermasalah, tetapi masyarakat yang menyelesaikan masalah kita sendiri. Kita masyarakat minoriti yang memberi sumbangan besar. Bilangan kita yang kecil tidak menjadi hambatan.

Tujuan saya adalah untuk menunjukkan bahawa kita mesti hapuskan sebarang tanggapan negatif kita terhadap masyarakat kita sendiri kerana banyak yang harus kita syukuri dan banggakan. Cabaran akan sentiasa wujud.

Namun, seperti askar, kita tidak boleh masuk ke medan pertarungan bersikap ragu-ragu tanpa keyakinan diri. Maka tewaslah kita. Ayuh, kita bangkit dengan semangat baru yang membara berlandaskan keperibadian murni, kemahiran kukuh dan semangat kewarnagenaraan yang jitu kerana kita sememangnya, sebuah Masyarakat Gemilang.



Saya akhiri dengan tiga ungkap pantun:

Makan nangka makanlah jerami,
Tinggal seulas ingatlah kami;
Keperibadian masyarakat, mengukuh silaturahmi,
Kemahiran umat memperkukuh ekonomi.

Maaf dipohon di pagi raya,
Sudah menjadi adat nan kawi;
Kewarganegaraan benteng negara
Demi Singapuraku bumi pertiwi.
Membeli Lepat dan ketupat di Geylang,
Dijadikan bekalan anggota tentera;
Masyarakat kita Masyarakat Gemilang,
Berpadulah kita Membangunkan negara.   

- BERITAmediacorp/fz

Top