Images
  • ASATIZAH
    Lebih 2,500 asatizah yang bertauliah di negara ini antara lebih 4,500 tenaga ahli pelbagai bidang agama yang membimbing masyarakat Singapura. (Gambar fail: MUIS)

KOMENTAR: Asatizah bantu masalah keganasan keluarga, bagaimana mereka boleh mainkan peranan berkesan?

Masalah keganasan keluarga melibatkan pelbagai faktor yang harus dikaji dengan teliti. Sejauh mana inisiatif melibatkan golongan asatizah boleh bantu dalam usaha menangani gejala ini?

Suatu inisiatif baru telah diperkenalkan untuk memperluaskan lagi peranan golongan asatizah dalam membantu menangani keganasan keluarga. Kini, para asatizah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) perlu menjalani Latihan Kesedaran Keganasan Keluarga.

Dalam meneliti inisiatif baru ini, ada beberapa persoalan yang perlu dibincangkan terlebih dahulu. Pertama sekali, adakah peranan asatizah penting dalam menangani keganasan keluarga?

Dalam proses membantu mangsa keganasan keluarga, adakah para asatizah mampu memberikan pendekatan yang lain jika dibandingkan dengan peranan kaunselor yang sedia ada? Sejauh manakah isu keganasan keluarga dalam masyarakat Melayu dapat dipisahkan daripada soal agama?

DITELITI LEBIH DEKAT

Laporan media tentang bilangan kes penderaan kanak-kanak yang melonjak sebanyak 50 peratus sepanjang lima tahun lalu amat membimbangkan. Meskipun begitu, usaha menangani masalah keganasan keluarga sama ada penderaan kanak-kanak, wanita ataupun golongan dewasa, memerlukan penilaian yang lebih holistik dan terperinci.


Kes-kes keganasan keluarga harus diteliti dengan lebih dekat agar punca berlakunya keganasan dapat difahami dengan lebih mendalam. Ini termasuk mengkaji pengalaman mangsa keganasan keluarga dengan lebih terperinci agar kesimpulan yang tidak tepat dapat dielakkan.

Idea-idea atau kepercayaan yang mereka ada terhadap institusi keluarga dan perkahwinan serta respons mereka apabila berhadapan dengan keganasan mesti diambil kira. Ini kerana pengalaman mangsa mesti dijadikan sandaran bagi membentuk sesuatu inisiatif dan bukan dibentuk atas spekulasi pemimpin masyarakat tentang masalah keganasan keluarga.

Penting juga bagi kita untuk memikirkan tentang kesan jangka masa sesuatu inisiatif yang bakal dilaksanakan kepada masyarakat umum terutama sekali kepada keluarga yang terjejas dengan isu-isu tersebut.


TANGGAPAN NEGATIF

Berikut adalah tukilan daripada pengalaman seorang wanita yang pernah berhadapan dengan keganasan keluarga selama 12 tahun. Siti (bukan nama sebenar) yang berusia 40an tahun mempunyai dua orang anak perempuan yang berumur 9 dan 12 tahun.

Dia berumahtangga pada tahun 2003 sebelum meninggalkan suaminya pada tahun 2015. Prosiding perceraiannya mengambil masa selama empat tahun. Namun, masih ada hal-hal yang belum selesai hingga ke hari ini.

Hampir setiap hari, selama 12 tahun, Siti terpaksa melalui pelbgai bentuk penderaan iaitu penderaan secara lisan, emosi, kewangan, psikologi dan fizikal.

 Dia (bekas suaminya) selalu mengatakan kepada saya bahawa saya ini sangat gemuk, hodoh dan bodoh seperti seorang pelacur...Saya tidak dibenarkan pergi ke mana-mana dengan anak-anak saya kerana ada kamera di rumah yang membolehkan dia untuk sentiasa memerhatikan saya... Sepanjang perkahwinan itu, saya ditendang...saya dirogol

Menurut Siti, bukan mudah untuk dia meninggalkan bekas suaminya. Hal ini berlaku disebabkan ramai di kalangan masyarakat Melayu yang memandang rendah terhadap perceraian. Pasangan yang bercerai seringkali dianggap sebagai mereka yang telah gagal untuk memelihara institusi keluarga.

Malah, perceraian dianggap sebagai sebuah perkahwinan yang telah ‘rosak’, menjadikan keluarga itu ‘tidak normal’ ataupun pincang. Siti terpaksa menahan keperitan daripada keganasan bekas suaminya kerana dia ingin mengelakkan diri daripada menanggung malu.

 Masyarakat mempunyai idea bahawa perceraian adalah salah ...Ianya sangat memalukan jika orang ramai mengetahui bahawa ini adalah gaya hidup yang sebenarnya saya alami…Ibu saya selalu pesan bahawa setelah saya berkahwin, saya tidak boleh bercerai…tambahan pula tidak pernah ada kes perceraian dalam keluarga saya.

PERSEPSI PERKAHWINAN

Persepsi masyarakat dan dasar pemerintah berkenaan institusi keluarga dan perkahwinan di Singapura akan mempengaruhi pilihan wanita-wanita Melayu seperti Siti untuk terus mempertahankan rumah tangga mereka walaupun terdapat unsur-unsur keganasan.


Antara persepsi dominan ialah keluarga ‘ideal’ mesti mempunyai unit yang ‘utuh’. Persepsi ini telah membentuk konsep budaya perkahwinan di mana institusi rumah tangga mesti berkekalan buat selama-lamanya.

Lantas, perceraian dianggap sebagai suatu kegagalan bagi pasangan berkahwin. Di samping itu, perkahwinan sebagai pilihan peribadi. Maka, perceraian juga dilihat sebagai ketidakupayaan pasangan suami isteri untuk menangani masalah peribadi mereka. Oleh hal demikian, keganasan keluarga dianggap sebagai perkara domestik yang perlu diselesaikan secara peribadi tanpa campur tangan daripada pihak luar.

AGAMA DISALAHGUNAKAN

Fenomena penyalahgunaan agama (religious abuse) merupakan salah satu bentuk keganasan keluarga. Siti menyatakan bahawa bekas suaminya kerap merasionalisasikan keganasan terhadapnya melalui tafsiran misoginistik Islam.

 Walaupun pada bulan madu, dia katakan "Sebagai seorang Muslim saya mampu menceraikan awak pada bila-bila masa sahaja"…Ramai lelaki Muslim berfikir bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menceraikan isteri mereka dengan mudah.

Kepercayaan wanita sering dimanipulasi oleh sang suami agar dominasi lelaki kekal dalam hierarki keluarga. Budaya institusi keluarga dan perkahwinan yang digabungkan dengan ajaran Islam yang bersifat patriarkal menyebabkan wanita mengalami ketandusan spiritual kerana kedudukan mereka dalam keluarga sering diperkecilkan.

Kita juga perlu akur bahawa agama merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi cara seseorang individu dan komuniti memahami dan respons kepada keganasan keluarga. Faktor lain seperti jantina, status pekerjaan, taraf pendidikan, kepercayaan dan pemahaman masyarakat terhadap sebuah institusi keluarga dan perkahwinan serta dasar-dasar pemerintah terhadap institusi-institusi ini turut menyumbang kepada pemahaman gejala keganasan keluarga.


KAUNSELING DAN LITERASI AGAMA

Oleh hal demikian, para asatizah perlu sentiasa peka dengan rumitnya isu keganasan keluarga. Para asatizah juga mesti sedar akan bahayanya beberapa fahaman dan tafsiran agama yang seolah-olah memberikan peluang dan alasan untuk golongan lelaki menggunakan kekerasan terhadap isteri mereka sehingga berlakunya penindasan wanita dalam sesebuah rumahtangga yang memang sudah seringkali berlaku.


Justeru, para asatizah harus bersikap lebih terbuka dalam memahami dan menangani isu keganasan keluarga. Adanya pemimpin-pemimpin agama yang progresif mungkin sahaja mampu membanteras masalah keganasan keluarga.

Mereka mempunyai potensi dan pengaruh besar untuk menetapkan piawai masyarakat mengenai bukan sahaja apa yang dianggap boleh diterima dalam unit keluarga, tetapi juga respons terhadap tingkah laku yang salah dalam hal kekeluargaan.

AMBIL KIRA HAL LAIN

Secara tuntas, literasi keagamaaan mampu untuk memberi dorongan kepada mangsa keganasan keluarga. Namun, kerja kaunseling tidak sepatutnya berlandaskan hanya kepada literasi keagamaan sahaja.

Gejala keganasan keluarga yang juga berkait rapat dengan landskap ekonomi dan sosio-budaya masyarakat memerlukan kepekaan pekerja sosial dan kaunselor untuk melihat secara keseluruhan dinamika hubungan kekuasaan (power relations) yang wujud dalam institusi keluarga dan perkahwinan.


(dari kiri) Ahli ARB, Ustaz Mokson Mahori; Pengerusi ARB Ustaz Ali Mohd; AP Dr Yaacob Ibrahim dan Ustaz Ziyaudeen Ahmed Sirajuddeen. (Gambar: MUIS)

Seandainya skop inisiatif Latihan Kesedaran Keganasan kurang mempertimbangkan hal-hal selain agama, usaha para asatizah dalam menangani keganasan keluarga mungkin tidak hanya mempunyai keberkesanan yang terhad.

Lebih buruk lagi, ia mungkin boleh memudaratkan lagi kesejahteraan keluarga-keluarga mangsa apabila diagnosis masalah keganasan keluarga yang tidak wajar dikedepankan.

MENGENAI PENULIS:


Nurshirah Tabrani adalah seorang siswazah Universiti Nasional Singapura (NUS) dari Jabatan Pengajian Melayu. Kajiannya meliputi keganasan rumah tangga yang dihadapi oleh wanita Melayu di Singapura. 

- BERITAmediacorp/ur

Top