Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Apakah pekerjaan bergaji rendah tetapi menyediakan khidmat penting ‘mengarut’?

Krisis penularan COVID-19 jelas membuka mata kita betapa pentingnya sesetengah pekerjaan dalam khidmat penting. Namun kebanyakannya juga adalah pekerjaan yang sekian lama bergaji rendah. Bagaimana keadaan ini boleh diperbaiki lagi? 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Apakah pekerjaan bergaji rendah tetapi menyediakan khidmat penting ‘mengarut’?

Seorang pembersih estet menyapu blok di flat Yishun Avenue 2. (Gambar fail: Najeer Yusof/TODAY)

BERITAmediacorp: Krisis penularan COVID-19 jelas membuka mata kita betapa pentingnya sesetengah pekerjaan dalam khidmat penting. Namun kebanyakannya juga adalah pekerjaan yang sekian lama bergaji rendah. Bagaimana keadaan ini boleh diperbaiki lagi?

Ahli antropologi, David Graeber, menulis bahawa pekerjaan mengarut atau ‘bullsh*t’ adalah pekerjaan yang jika hilang, tidak ada bezanya terhadap mutu kehidupan kita.

Masyarakat pula tidak merasakan apa-apa kerugian akibatnya.

Sebaliknya, kesan pekerjaan tidak mengarut yang benar-benar berguna dan diperlukan akan terasa jika pekerjaan itu tidak dilakukan.

Namun, pada pendapat Graeber, semakin berguna pekerjaan kita, semakin rendah pula gaji yang dibayar jika dibandingkan dengan pekerjaan besar yang dihormati dan dihargai, walaupun ia "benar-benar sia-sia".

Dalam bukunya, Bullshit Jobs: A Theory, Graeber berkongsi contoh pekerjaan mengarut yang saya rasa mungkin ramai tidak setuju.

Saya tidak akan mempertikaikan apa itu pekerjaan tidak mengarut - krisis COVID-19 sekarang ini telah membuktikannya.

Jururawat bersiap sedia di ruang menanti di pusat pemeriksaan Tuas (Gambar: Try Sustrisno Foo)

Saya merujuk kepada pekerja seperti pekerja pembersihan, pengawal keselamatan, jururawat dan ramai lagi yang berada di barisan hadapan memerangi penularan COVID-19 dan menjalankan tugas mereka supaya masyarakat berpeluang menjalani kehidupan normal.

KHIDMAT PENTING

NTUC, bersama dengan kesatuan sekutu kami, telah lama memperjuangkan pekerja khidmat penting yang bergaji rendah. Walaupun saya berbesar hati kerana kami ada mencapai kemajuan, masih banyak yang perlu dilakukan.

Menjelang Julai 2020, tahap gaji asas bulanan Pembersih Umum di bawah Model Gaji Progresif (PWM) akan meningkat sebanyak 3% kepada S$1,236.

Walaupun dengan kenaikan ini, mereka akan tetap berada di persentil kelima tenaga kerja penduduk dari segi gaji bulanan kasar.

(Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

Gaji pengawal keselamatan swasta kita juga tidak lebih hebat.

Dengan gaji bulanan kasar purata S$2,184 untuk pengawal keselamatan (berdasarkan purata 95 jam lebih masa setiap bulan), mereka berada di sekitar persentil ke-21, tetapi ini memerlukan mereka bekerja 12 jam sehari, 6 hari dalam seminggu.

Sekiranya kita hanya mempertimbangkan gaji asas pengawal keselamatan swasta yang sebanyak S$1,250, mereka juga tidak jauh dari persentil kelima.

Kebenaran yang sejujurnya: Adakah kita menutup mata terhadap apa yang sebenarnya perlu dilakukan?

TUNJUKKAN PENGHARGAAN

Terdapat banyak pekerja khidmat penting seperti pekerja pembersihan, pekerja pengurusan sampah, pengawal keselamatan swasta dan ramai lagi yang memberikan perkhidmatan yang sangat penting dalam membendung / memerangi penyebaran COVID-19 yang tidak mendapat insentif tambahan daripada syarikat mereka.

Gambar fail. 

Bolehkah masyarakat kita terus memuji para pekerja khidmat penting untuk menunjukkan penghargaan tetapi terus menutup mata ketika masa untuk mengambil tindakan yang lebih konkrit bagi mereka?

Ketika saya bercakap dengan beberapa pihak industri mengenai kenaikan gaji, saya diberi amaran bahawa mungkin tidak sensitif untuk melakukannya sekarang memandangkan banyak syarikat mengalami masalah kewangan.

Namun, pada masa kemakmuran ekonomi, pekerja ini jarang merasakan kemakmuran yang sama dengan yang dinikmati oleh orang lain melalui kenaikan gaji ataupun bonus yang lebih tinggi.

Walaupun pada masa-masa yang baik, majikan mereka akan dibatasi oleh harga kontrak tetap yang dijamin melalui penawaran yang kompetitif dan selalu dengan mengorbankan faedah yang lebih baik untuk pekerja-pekerja tidak mengarut ini.

Walaupun terdapat Bonus PWM yang wajib untuk pekerja pembersihan, ia hanya bonus dua minggu dan bukannya bonus satu bulan atau bulan ke-13 yang diterima oleh banyak pekerja lain, termasuk mereka yang sedang bekerja dalam ‘pekerjaan mengarut.’

Sebenarnya banyak syarikat penyumberan luar ini enggan memberi bonus wajib kerana banyak pembeli khidmat mereka tidak mahu membayar harga kontrak yang lebih tinggi.

GAJI LEBIH BAIK

Sebagai sebuah masyarakat, saya berharap krisis COVID-19 ini akan mendorong kita untuk melakukan perkara yang betul dan memberi pekerja khidmat penting dalam industri penyumberan luar gaji dan kebajikan yang lebih baik.

Kriteria pendapatan untuk Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) kini berada pada persentil ke-20 iaitu S$2,300 yang menjadi proksi untuk menentukan kumpulan gaji rendah.

Terdapat 46,000 pekerja pembersihan di Singapura. (Gambar: Mediacorp)

Dengan anggapan ini tidak meningkat (dan ini tidak mungkin terjadi), dan dengan kenaikan tahunan 3% setiap tahun, gaji asas pekerja pembersihan awam hanya akan mencecah S$2,300 dalam masa 21 tahun. Sedih, bukan? Di persentil berapakah harus gaji pekerja pembersihan kita berada? Dan bilakah?

Sebagai pengguna akhir perkhidmatan penting, adakah kita bersedia untuk membayar lebih banyak atau mengubah tingkah laku kita untuk menjadikan pekerjaan pekerja khidmat penting lebih mudah?

Sebagai pembeli perkhidmatan yang bertanggungjawab, adakah kita bersedia untuk mendapatkan perkhidmatan daripada syarikat yang lebih mengutamakan kebajikan pekerja mereka?

TENAGA KERJA ASING

Para pekerja asing melakukan kerja-kerja binaan jalan raya di Singapura. (Gambar fail: Ngau Kai Yan)

Peristiwa baru-baru ini juga telah mengungkap beberapa kebenaran yang tidak selesa mengenai keadaan tenaga kerja di Singapura.

Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia menunjukkan bahawa perkhidmatan penting kita sangat bergantung kepada tenaga kerja asing apabila kita terpaksa bekerja pantas untuk menyediakan tempat tinggal bagi mereka yang tidak dapat pulang ke Malaysia.

Ia menunjukkan bahawa demi memastikan kesinambungan dan pengekalan perniagaan yang lebih baik, kita memerlukan pekerja Singapura yang lebih muda untuk mengambil peranan penyeliaan dan pengurusan dalam sektor khidmat penting kita.

Sebagai sebuah masyarakat, jika kita benar-benar menghargai pekerjaan khidmat penting ini dalam kehidupan seharian kita, kita mesti berjuang untuk gaji dan kebajikan yang lebih baik dengan lebih agresif melalui undang-undang, jika perlu.

BAYARAN LEBIH TINGGI

(Gambar fail: TODAY)

Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) telah memberi banyak manfaat kepada pekerja kita dalam perkhidmatan penting dengan meningkatkan simpanan CPF mereka dan menambah pendapatan mereka dengan pembayaran tunai.

Bagaimanapun, skim ini dapat diperbaiki lagi.

Satu cadangan adalah dengan memberikan pembayaran WIS yang lebih tinggi kepada pekerja dalam perkhidmatan penting untuk menghargai nilai sosial mereka dan kesulitan yang dihadapi dalam pekerjaan mereka.

Cara lain adalah dengan adanya perbezaan yang lebih besar dalam pembayaran untuk pekerja sepenuh masa berbanding pekerja sambilan.

Kita harus memberi insentif kepada pekerja sepenuh masa dengan pembayaran WIS yang lebih tinggi dan dengan itu mendorong lebih ramai rakyat Singapura untuk mengambil pekerjaan sepenuh masa dalam perkhidmatan penting.

LAYANAN LEBIH BAIK

Tidakkah pekerja perkhidmatan penting kita berhak mendapat gaji yang lebih baik? Sebagai pengguna akhir, adakah kita akan berdendam sekiranya kos gaji yang lebih tinggi akhirnya diturunkan kepada kita?

Gaji pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan pekerja perkhidmatan penting lain mesti ditingkatkan dengan ketara.

Kita semua mendapat manfaat daripada kerja keras pekerja perkhidmatan penting kita dan sekarang adalah masanya untuk membuat sesuatu yang konkrit bagi mereka.

Sekiranya kita tidak dapat hidup tanpa mereka, tidakkah kita harus melayan dan memastikan mereka mendapat gaji lebih baik?

MENGENAI PENULIS:  

Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Zainal Sapari. (Gambar: Zainal Sapari/ Facebook)

Encik Zainal Sapari adalah Penolong Setiausaha Agung NTUC yang juga Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol. Beliau berkelulusan ijazah sarjana dalam Pengurusan Pendidikan dan pernah berkhidmat sebagai guru selama 20 tahun.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan