Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Apakah kita semakin ekstrem dalam pendirian dan tindak tanduk

Apakah masyarakat dunia kini di ambang satu lagi era ‘ekstrem’ di mana jurang pandangan, fahaman,  dan kepercayaan semakin meluas dan sukar untuk dirapatkan semula?  

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Apakah kita semakin ekstrem dalam pendirian dan tindak tanduk

Tunjuk perasaan ganas di Jakarta, Indonesia, 22 Mei 2019. (Gambar: AP/Dita Alangkara)

Mereka yang pakar mungkin akan terus membahaskannya: apakah kita sedang memasuki suatu era ‘ekstrem’ yang baru dalam sikap dan pendirian ala ‘Age of Extremes’ seperti yang diungkapkan oleh sejarawan British Eric Hobsbawn.

Hobsbawn merujuk kepada tahun-tahun Perang Dunia Pertama hinggalah kepada tahun-tahun 1990an di mana wujudnya pelbagai jurang perbezaan meluas dari segi ideologi dan fahaman sehingga memecah-belahkan dunia kepada puak-puak yang bertentangan.

Ada yang berpendapat era pertentangan fahaman dan kepercayaan yang kita hadapi sekarang mungkin belum sampai ke peringkat yang sama.

Maknanya kebanyakan daripada kita masih terikat kepada pendirian dan fahaman sederhana dan belum sampai ke peringkat kehilangan jalan tengah sehingga berpecah menjadi pelbagai pola yang bertentangan.

Namun apakah trend-trend polarisasi sekarang ini - dengan kemunculan puak-puak politik dan ideologi yang keras bertentangan dan kelunturan fahaman sederhana - belum cukup membimbangkan kita bahawa dunia mungkin menghampiri satu lagi ‘zaman ekstrem’?

FAHAMAN POPULIS

Tergolong dalam trend polarisasi ini adalah kebangkitan fahaman seperti nasionalisme populis yang memainkan isu perkauman dan ketuanan kaum atau agama.

Turut semakin ketara pandangan dan fahaman politik ekstrem yang menggalakkan kebencian kerana  perbezaan kepercayaan atau warna kulit – termasuklah kebencian terhadap warga atau pekerja asing.

Di peringkat global misalnya, kita berhadapan dengan kebangkitan fahaman-fahaman ekstrem agama, kaum dan bahasa dalam bentuk ideologi radikal dan semangat kebangsaan populis.

Begitu juga kita melihat bertambahnya polarisasi dari segi politk identiti berlandaskan kaum dan agama serta meluasnya ‘perang budaya’ melibatkan kumpulan-kumpulan bertentangan mengenai hak-hak wanita, jantina (LGBT) dan sebagainya.

Dalam dunia Islam pula, kita saksikan pelbagai ketegangan dalam polarisasi mazhab baik antara mazhab Sunni dengan Syiah. Dan di kalangan Sunni sendiri adanya kepuak-puakan antara mereka yang berorientasi progresif dan terbuka dengan kumpulan-kumpulan yang lebih tradisional dan konservatif.

Apa yang membezakan era sekarang dibandingkan dengan dua atau tiga dekad yang lalu adalah bukan sahaja semakin ketara perbezaan-perbezaan ini, malah juga dari segi bagaimana semua perbezaan ini diluah dan diketengahkan kepada masyarakat.

PERANAN EMOSI

Apapun label yang mungkin digunakan: sama ada era polarisasi, era nasionalisme populis atau pun era fahaman esktrem, persamaan antara kesemua gejala ini adalah peranan penting yang dimainkan oleh emosi, lebih-lebih lagi perasaan amarah meluap-luap.

Peranan emosi besar sekali dalam ia mempengaruhi tindak tanduk dan dalam menjadi asas utama pertimbangan sesuatu keputusan.  

Kalau dalam zaman era perang ideologi faktor intelektual dengan pertimbangan rasionalnya menjadi pertimbangan dasar, dalam era ekstrem faktor emosi semakin lebih ketara.

Yang menjadi pertimbangan utama bukanlah penilaian akal fikiran yang waras, objektif dan saintifik.

Sebaliknya yang lebih mendasarinya adalah luahan emosi dan sikap naluri yang tidak objektif ataupun rasional.

Kalau dahulu luahan perasaan antara pihak-pihak yang bertentangan agak ‘terkawal’ dengan sentimen keras terhad kepada sekumpulan kecil masyarakat sahaja.

Kini sentimen keras jelas mudah tersebar luas kepada lebih ramai anggota masyarakat, lebih-lebih kerana adanya media sosial yang menjadi wadah utama perkongsian pandangan dan sentimen.

Segala perbezaan pendapat dan kelainan fahaman mudah merebak ke setiap pelosok masyarakat menyebabkan jurang antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain semakin meluas.

JAUH BERBEZA 

Dibandingkan dengan beberapa dekad lalu di mana masyarakat pada umumnya diikat dengan fahaman dan pendirian yang lebih sederhana, kini tali ikatan itu semakin goyah.

Ini kerana dalam persepsi masyarakat jurang perbezaan itu dilihat sebagai jauh lebih besar dibandingkan dengan apa-apa persamaan sesama mereka.   

Melihat kepada keadaan hari ini, penulis buku ‘Age of Anger’ Pankaj Mishra mengingatkan kita kepada istilah ‘ressentiment’ yang digunakan oleh Nietzsche untuk merujuk kepada perasaan ‘marah dendam kesumat yang tidak boleh dikawal lagi’.

Jelas bahawa  jika keadaan ini tidak dibendung hubungan masyarakat pada umumnya boleh menjadi semakin renggang akibat polarisasi yang tidak terkawal.  

Ia diburukkan dengan adanya suara-suara dan sentimen keras dan tidak toleran yang sentiasa mengapi-apikan kumpulan masing-masing dan masyarakat umum demi untuk terus mendapatkan sokongan bagi menjayakan agenda mereka.

Inilah sebabnya kalau dahulu fahaman dan pegangan keras serta melampau tidak mempunyai ramai penyokong, kini ia semakin mendapat tempat di tengah-tengah arus umum masyarakat.

KESAN-KESAN

Dengan masyarakat semakin berbelah bahagi sehingga ke tahap terkecil kerana  berlainan fahaman, pandangan, dan kepercayaan, ia boleh membawa kepada keadaan berpuak-puak atau partisan dari segi ideologi politik.

Tentunya jika tidak ditangani dengan baik keadaan sebegini akan hanya melemahkan institusi demokrasi kerana ia akan menjadi kurang berkesan dalam mewakili suara dan aspirasi masyarakat keseluruhannya.

Fungsinya akan menjadi bertambah lemah lagi apabila ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan mempergunakan isu-isu kepentingan puak-puak kecil untuk menambah sokongan politik kepadanya.

Inilah yang berlaku sekarang baik di Amerika Syarikat, Eropah, mahupun Amerika Selatan di mana para pemimpin yang pandai menggunakan isu-isu sempit tetapi penting kepada puak-puak kecil tertentu yang berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan.      

Jelasnya kesan polarisasi dan perpecahan masyarakat ini adalah besar sekali sehingga boleh menimbulkan banyak kerosakan ke atas masyarakat dan negara termasuk menggugat keberkesanan institusi demokrasi dan kepimpinan negara keseluruhannya.

Kesan jangka panjangnya, tentunya ini semua boleh melemahkan keutuhan dan perpaduan masyarakat serta mengancam keselamatan dan kemantapan negara.

HURAIAN

Perpecahan dan ketegangan dalam masyarakat akibat polarisasi dan pendirian ekstrem yang semakin ketara hari ini memang tidak boleh dibiarkan berterusan.

Antara usaha penting yang boleh diambil di peringkat nasional adalah dengan mengukuhkan lagi institusi-insitusi kebangsaan yang boleh mengukuhkan semangat saling mempercayai antara satu sama lain.

Institusi nasional seperti badan-badan pemerintah dan juga badan-badan sivil yang lain haruslah dilihat sebagai berperanan dalam memastikan sikap saling mempercayai ini sentiasa terjaga.

Semua pihak yang berlainan fahaman dan pendiran juga boleh memainkan peranan dalam menyederhanakan pandangan masing-masing.

Mereka haruslah bertanggungjawab untuk membawa semua anggota masyarakat ke jalan tengah dan mengelakkan sikap pengasingan dan suka berpuak-puak.

Turut penting juga adalah usaha masyarakat dan negara ke arah memupuk suatu identiti bersama yang lebih besar di mana semua orang dapat merasakan mereka mempunyai tempat dan peranan untuk dimainkan.  

Hanya dengan amalan dan sikap yang bertanggungjawab ini, kita boleh menjangkakan bahawa bibit-bibit polarisasi dan perpecahan dapat dikurangkan lagi pengaruhnya di dalam masyarakat.


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan