Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Apabila ulama berbeza pandangan, pendapat siapa yang harus diikuti

Perselisihan pendapat boleh sahaja berlaku di kalangan ulama dan agamawan seperti dalam usaha bersama kita melawan pandemik COVID-19. Yang penting bagaimana dapat dielakkan perbuatan menghasut atau fitnah demi menjaga hubungan yang harmoni?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Apabila ulama berbeza pandangan, pendapat siapa yang harus diikuti

(Gambar: Al-Muttaqin Mosque/Facebook)

BERITAmediacorp: Perselisihan pendapat boleh sahaja berlaku di kalangan ulama dan agamawan seperti dalam usaha bersama kita melawan pandemik COVID-19. Yang penting bagaimana dapat dielakkan perbuatan menghasut atau fitnah demi menjaga hubungan yang harmoni?

Khutbah Jumaat yang disampaikan baru-baru ini mengajak masyarakat Islam supaya berlapang dada dalam menghadapi isu kepelbagaian dan perbezaan pendapat. Hakikatnya kerencaman adalah lumrah kehidupan dan berbeza pendapat akan terus wujud selama usia dunia ini.

Di antara isu perbezaan pendapat yang jelas dan hangat dibahaskan sekarang adalah isu-isu yang berkaitan dengan hukum-hakam pelaksanaan ibadat ketika wabak COVID-19 melanda. Terkini, isu vaksin menjadi bahan bicara di kalangan masyarakat mengenai keberkesanannya terhadap imuniti fizikal manusia.

Sebelum itu, status vaksin tersebut sama ada ia halal atau tidak untuk digunakan. Selain itu, persoalan mengenai hukum penjarakan ketika melakukan solat berjemaah di masjid juga dibangkitkan. Begitu juga soal solat Jumaat diawalkan sebelum masuk waktu Zuhur dan memakai pelitup muka ketika solat.

Setiap isu yang terkait dengan COVID-19 dibahas dan dibicarakan oleh orang ramai, termasuk yang ahli dan yang bukan ahli.

Dari sudut yang positif, ia menunjukkan keprihatinan pelbagai pihak, khususnya golongan pemimpin agama agar setiap usaha dan tindakan yang dilakukan sejajar dengan perintah agama.

KEANJALAN ISLAM

Namun, terdapat pula nasihat-nasihat dan pendapat yang diberi seperti mencabar dan mempertikaikan pandangan pihak berwenang dalam urusan keagamaan yang dianggap lemah dan tidak mempunyai prinsip yang tegas di dalam menguruskan hukum Tuhan.

Akibatnya, masyarakat menjadi bingung dan timbul persoalan siapakah yang paling betul di dalam memberi pendapat agama dalam suasana pandemik ini.

Gambar hiasan sebuah masjid di Malaysia. (Gambar: Bernama)

Dalam soal pengendalian hukum, terdapat proses yang perlu diambil kira untuk mengeluarkan sesuatu hukum. Proses-proses seperti merujuk kepada al-Quran, hadis, pandangan para sahabat Nabi, Ijma’ ulama, berqiyas dan sebagainya merupakan kaedah wajib dalam penghasilan hukum atau fatwa.

Seperti bidang perubatan atau kejuruteraan, semestinya ada proses yang perlu dilalui sebelum membuat keputusan yang muktamad bagi menghuraikan masalah yang dihadapi.

Tidak dinafikan terdapat banyak pendapat dalam urusan agama yang harus diambil dan diamalkan. Itulah indahnya keanjalan Islam dalam pengamalan agama. Perbezaan pendapat dalam Islam bertujuan memberi kemudahan kepada umat Islam mengamalkan Islam menurut ruang lingkup yang dibenarkan syariat.

PANDANGAN SEPAKAT

Namun, dalam keadaan gawat yang memerlukan usaha sama masyarakat untuk membendung wabak yang mengganas, pandangan siapa yang perlu dituruti? Pandangan asatizah mapan yang lebih tepat atau pandangan fatwa yang dikeluarkan?

Adakah pandangan yang berselisih dengan pandangan fatwa perlu disisihkan terus?

Satu dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech disediakan di Balai Rakyat Tanjong Pagar pada 27 Jan 2021. (Gambar: Jeremy Long)

Semenjak dahulu, para ulama bersepakat mengenai jalan yang perlu diikuti oleh masyarakat Islam apabila menghadapi cabaran-cabaran baharu yang terkait dengan hukum agama.

Bagi mereka yang menjadi ahli atau pakar bidang, seperti para ulama dan pemikir Islam yang mampu mengendalikan proses pengeluaran hukum, mereka layak menentukan pandangan mana yang sesuai untuk diambil dan diamalkan.

Bagi golongan awam yang tidak mempunyai kemahiran di dalam mengendalikan proses tersebut, mereka dinasihati untuk mengikut panduan agama yang telah dikeluarkan oleh ahli-ahlinya.

AHLI TERSENDIRI

Sama seperti dalam ilmu perubatan, sudah pasti seorang doktor pakar yang telah mendalami kajian-kajian mengenai ubat-ubatan dan penjagaan kesihatan tahu dan mampu mengendalikan isu-isu yang berkaitan kesihatan dan perubatan secara mandiri.

Dia tidak perlu pergi bertemu doktor lain hanya untuk mendapat konsultasi dan bertanya mengenai ubat. Begitulah juga pakar-pakar bidang yang lain, mereka mampu berdikari di dalam mencari penyelesaian bagi masalah yang dihadapi.

(Gambar: Reuters)

Setiap bidang kemahiran mempunyai ahlinya yang tersendiri. Bagi mereka yang bukan ahli dalam bidang-bidang tertentu maka hukum baginya adalah seperti orang awam dalam pengambilan hukum agama.

Dia perlu ikut panduan yang dikeluarkan oleh ahli dan pakarnya. Begitulah kedudukannya bagi golongan ulama atau agamawan, jika mereka tidak mempunyai ilmu dan kemahiran di dalam bidang lain seperti perubatan, kejuruteraan, sains dan sebagainya, mereka sebenarnya adalah golongan awam bagi ahli-ahli dan pakar-pakar bidang tersebut.

Seperti mana seorang doktor atau mekanik tidak layak membicarakan hal ehwal urusan pengeluaran hukum agama, begitu jugalah tidak layak seorang agamawan berbicara mengenai hal pengurusan kesihatan dan perubatan serta masalah enjin kereta. Seorang yang bergelar alim atau ulama bukanlah bermaksud dia tahu dan pakar dalam segala perkara mengenai urusan kehidupan.

PANDANGAN BERBEZA

Tidak dinafikan, isu-isu yang terkait dengan urusan keagamaan ketika pandemik COVID-19 melanda mempunyai pendapat yang berbeza mengenai cara pengamalannya.

Misalnya solat jemaah secara berjarak di masjid, memakai pelitup muka ketika solat, solat Jumaat dilaksanakan sebelum masuk waktu Zuhur dan isu kehalalan vaksin.

Jemaah di Singapura menanti dengan teratur untuk diperiksa suhu badan sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid pada 26 Jun 2020. (Gambar fail: MUIS)

Semua itu mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza di kalangan para ulama. Ada yang mengharuskan solat jemaah secara berjarak, solat Jumaat sebelum masuknya waktu Zuhur dan memakai pelitup muka ketika solat. Ada pula yang melarang.

Majoriti ulama seluruh dunia mengharuskan solat berjarak atas sebab memelihara nyawa adalah wajib, sedangkan solat dengan saf yang renggang pula tidak membatalkan solat langsung. Hal ini disepakati oleh para ulama.

Tiada seorang pun di antara mereka mengatakan batal solat jika tidak rapatkan saf. Begitu juga tentang masalah memakai pelitup muka ketika solat, ia dilarang apabila tiada keperluan. Solat Jumaat diawalkan sebelum masuknya waktu Zuhur juga terdapat dalil dari hadis sahih yang mengakuinya.

Soal vaksin halal atau tidak juga telah dibahaskan dan akhirnya tiada bukti ia mengandungi bahan-bahan yang tidak halal padanya.

JALAN TERBAIK

Jalan selamat dan mudah adalah menurut panduan yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti. Ini bertepatan dengan seruan di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah, juga taatlah kamu kepada Rasul dan Ulil Amri di kalangan kamu.”

Ulil Amri di dalam ayat itu bermaksud pihak yang mempunyai kuasa dan autoriti. Walaupun begitu, tiada paksaan bagi masyarakat Islam untuk mengambil dan menerima panduan dari pihak berautoriti dalam agama.

Mereka boleh sahaja mengambil pandangan yang diyakini sesuai untuk diri mereka berpandukan nasihat dan panduan yang diperolehi daripada sumber agamawan mereka selagi mana sumber itu benar dan sesuai diamalkan.

RASA HORMAT

Pandangan asatizah tempatan perlu diutamakan. Begitu juga bagi golongan agamawan, mereka juga tidak diwajibkan untuk menurut segala fatwa yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Mufti.

Namun, yang paling penting adalah sikap dan tanggungjawab bersama untuk kekalkan hubungan yang baik dan elakkan persengketaan.

Sekitar majlis Maulidur Rasul di Masjid Yusof Ishak pada 1 Nov 2020. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITAmediacorp)

Para agawaman tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berbaur hasutan atau fitnah terhadap pihak berwenang yang mengendalikan urusan keagamaan masyarakat Islam.

Mereka sepatutnya bekerjasama dalam menimbulkan rasa hormat terhadap usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak berwenang.

Berbeza pendapat tidak semestinya perlu memerangi atau menjatuhkan idea dan pendapat pihak lawan. Hubungan yang harmoni perlu terus dihidupkan walaupun terdapat perbezaan pendapat.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan