Images
  • komentar main
    (Gambar: NDPeeps/YouTube)

KOMENTAR: Apabila raja mengkhianati rakyatnya – pengajaran apa yang diselitkan oleh Sejarah Melayu

BERITAmediacorp: Teks klasik Sejarah Melayu mengandungi pelbagai pengajaran yang boleh diambil iktibar, termasuk pentingnya pihak kepimpinan tidak mengkhianati rakyat dan perlunya mereka mendapatkan nasihat yang betul.

PUTERA Sri Rana Wikerma, iaitu Paduka Sri Maharaja, memerintah Temasik selama dua belas tahun dan enam bulan. Dalam tempoh tersebut, sekurang-kurangnya terdapat dua peristiwa yang boleh kita rujuk sebagai pengkhianatan terhadap rakyat.

Pertama, ia membabitkan seorang yang diberi nama Tun Jana Khatib.

Tun Jana Khatib berasal dari Pasai dan memiliki apa yang disebut sebagai ‘ilmu khayal lillah lagi tauhid dua belas alam’.


Tidak ada penjelasan dalam Sejarah Melayu mengenai ilmu khayal tauhid ini. Pun, kita diberitahu sewaktu Tun Jana berjalan di lorong hadapan istana, kebetulan isteri Paduka Sri Maharaja sedang menjenguk ke luar tingkap dan mereka saling bertentang mata. Tun Jana, dikatakan membelah sepohon pinang untuk menunjukkan kesaktiannya.

Mengapa dan bagaimana Tun Jana melakukan hal yang sangat magik tersebut memang tidak dijelaskan. Di dalam Sejarah Melayu, hal tersebut tidak begitu penting.

Malah, watak dan perwatakan Tun Jana juga tidak dihuraikan terperinci.

PERTUMPAHAN DARAH

Akan tetapi terdapat pengajaran lain yang ingin diserlahkan oleh kanun Melayu tersebut. Paduka Sri Maharaja menitahkan Tun Jana Khatib dihukum bunuh atas alasan Tun Jana Khatib dengan sengaja menunjuk-nunjuk bakat beliau, mungkin dengan tujuan menggoda.

Barangkali itu saja benar, kita tidak dapat menolak apa pun kemungkinan.

Tetapi menghukum bunuh seseorang kerana itu sungguh lah berlebihan.

Tun Jana Khatib pun dihukum di khalayak ramai. Pembunuhan kejam terhadap beliau itu dilakukan berhampiran sebuah kedai bikang, sejenis kuih tempatan yang masih boleh diperolehi sehingga hari ini.

Hukuman yang dilakukan berdekatan kedai itu merupakan satu tanda ia memang bertujuan untuk mempamerkan kengerian agar timbul kegerunan.

Ia juga bertujuan untuk mengaibkan Tun Jana. Harus diingat, tiada sebarang jenayah dilakukan.

Pembunuhan Tun Jana itu adalah pertumpahan darah yang tidak adil di mana darah beliau menitik di Singapura tetapi jenazahnya menjelma di Langkawi.

Ada sebuah pantun mengenai kejadian ini:

Telor itek dari Singgora
Pandan terletak dilangkahi
Darahnya titek di Singapura
Badannya terhantar di Langkawi.

ARAHAN DUNGU

Mengapa Singapura (yang merupakan Temasik tatkala itu) dan mengapa pula Langkawi, saya pun tidak tahu. Apa pun diberitakan juga, peniaga bikang telah menutup tempat darah Tun Jana berlumur itu dengan kuali dan lama kemudian, ia bertukar menjadi batu.

Kejadian kedua yang penting adalah apabila Singapura diserang ikan todak. Sungguh saya tidak akan menghuraikan episod ini bertali-tali memandangkan kita semua telah menghafal adegan ini di luar kepala.

Pun, satu hal yang mesti disentuh adalah seorang budak (boleh jadi lelaki, atau perempuan) telah membantah perbuatan bodoh menahan serangan todak itu dengan paha.


(Gambar: NDPeeps/YouTube)

Tentu arahan dungu tersebut datangnya daripada seorang raja yang tiada wawasan dan seperti terlihat dalam kes Tun Jana Khatib, boleh menjadi zalim.

Paduka Sri Maharaja tanpa memikir kemudian mendengar nasihat orang sekelilingnya. Baginda memutuskan untuk membunuh budak yang menyarankan agar batang pokok pisang digantikan untuk menahan pulau dari terus dilanggar todak.

Mengapa budak itu dibunuh, kita semua mengetahui perihalnya, ialah kerana raja tidak mahu anak tersebut membesar dewasa dan terlebih arif lalu satu hari kelak mencabar pula dirinya.

UNDANG-UNDANG RIMBA

Inilah pertama kali mungkin, dalam sejarah raja-raja Melayu apa yang kita boleh namakan sebagai undang-undang rimba dipilih sebagai teras hukum.

Undang-undang rimba ini tentu sahaja bertentangan dengan undang-undang adat yang mempunyai akibat atau implikasi dari segi undang-undang.

Undang-undang rimba ini seperti terlihat dalam dua kes di atas diwarnai oleh kuasa tunggal seorang raja, sama ada rakyat bersetuju atau tidak.

Ia adalah gambaran ketidakadilan dari segi polisi, kegersangan dari sudut keadilan dan mempersetankan kemanusiaan.

Bahkan undang-undang rimba kemudian terserlah dalam kes pembunuhan puteri Sang Rajuna Tapa yang mana ia bukanlah berasaskan undang-undang adat, tetapi, adalah bertunjangkan kemarahan, emosi, hukuman, tanpa sebarang usul periksa.

Undang-undang rimba ini wujud dalam pelbagai peradaban, dan ia menjelaskan kenapa raja tergamak menyula anak Sang Rajuna Tapa, suatu hukuman yang sangat memalukan dan kejam.

SEJARAH SEBAGAI PELAJARAN

Siri diskriminasi inilah yang diturunkan oleh Tun Seri Lanang dalam Sejarah Melayu, untuk menceritakan perangai dan tingkah laku buruk raja-raja Melayu. Maka sederet setelah diplomasi dan kebijaksanaan Badang berurusan dengan Sri Rana Wikerma, kita ditonjolkan pula oleh dengan kejahatan raja Melayu.

Menurut saya, tidak syak lagi, episod ini dikarang (mungkin sebagai satu alegori) untuk menonjolkan kekejaman penguasa. Siri pembunuhan ini membawa kepada kejatuhan Temasek ke tangan Majapahit apabila Sang Rajuna Tapa tidak lagi merasakan perlu setia kepada Singapura.


Apa lagi yang ia perlu lakukan? Akur dengan kejahatan raja?

Oleh sebab itu, episod Badang dan Tun Jana Khatib harus dibacakan sekali. Bukan secara terpisah. Ia mengajar kita buruk baik dalam sejarah sebagai satu pelajaran, ia adalah ‘the boon and bane of the history’ yang mana kebaikan adalah apabila dialog, keterbukaan, perbincangan, dan kebebasan berbicara diberikan penekanan sementara yang buruk adalah jelas sekali mendorong kepada kekacauan, kegerunan, penderitaan, kemarahan seperti yang terlihat di bawah era Paduka Sri Maharaja.

PIAWAI MORAL MELAYU

Dalam konteks ini kita mendapati Temasik, Singapura pada zaman purba; merosot dari sebuah kerajaan yang bertolak ansur seperti di era Sri Rana Wikerna menjadi sebuah pemerintahan yang tirani di bawah telunjuk Paduka Sri Maharaja.


(Gambar: NDPeeps/YouTube)

Sememangnya Undang-Undang Adat akan hanya dikodifikasi di Melaka kemudiannya, tetapi kita harus beringat, orang Melayu ketika itu sudah ada satu piawai moral yang dirujuk sebagai wa’ad atau suatu kovenan. Satu statut yang dimeterai antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba atau wa’ad purba itu berbunyi:

‘Maka sembah Demang Lebar Daun. ‘Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak.’

Maka titah Sang Sapurba, ‘Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.’

Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Janji yang mana itu, Tuanku?’

Maka titah Sang Sapurba, ‘Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.’

Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah’

Maka titah Sang Sapurba, ‘Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu.’

KESILAPAN PILIH PENASIHAT

Kejahatan raja hanya dapat berlaku apabila terdapat kelalaian dan kesilapan memilih orang kanan atau sang penasihat. Raja Sri Rana Wikerma sebagai contoh dikelilingi oleh ‘pemain institusi’ yang bijak, berdedikasi dan memandang ke depan.


(Gambar: NDPeeps/YouTube)

Maka seperti yang saya ungkap dalam siri sebelumnya, Badang boleh berurusan dan bekerjasama dengan pihak istana demi mengangkat nama Singapura.

Terlihat juga bagaimana raja Perlak mendapat dorongan yang betul daripada menterinya Tun Perpateh Pandak agar tidak membodohkan diri meletakkan Benderang dan Badang dalam gelanggang kerana kekalahan hanya akan merumuskan jadi aib.

Dalam hal bertentangan, Paduka Sri Maharaja dinasihati oleh orang kanan yang jahat, sehingga membuatkan raja memutuskan hal yang buruk.

Ini terlihat apabila budak yang memberi rencana dan cadangan mulia telah dihukum tanpa sebab munasabah.

Ini adalah pelajaran yang sangat mustahak untuk orang Melayu, datang dari Singapura.


Mengenai Penulis:


Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.  

- BERITAmediacorp/ai

Top