Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Apabila negara dalam krisis - pemimpin bagaimana yang boleh diharapkan

Negara yang mengambil iktibar daripada sejarah sedar bahawa setiap krisis yang dihadapinya perlu diakui segera supaya langkah-langkah pembetulan dapat dilaksanakan.

Anggaran Waktu Membaca:

Mungkin tidak ramai yang sedia akui bahawa Singapura adalah sebahagian kecil negara yang cepat bertindak setiap kali ia merasakan bahawa krisis bakal menimpanya.

Baik semasa awal kemerdekaannya selepas berpisah daripada  Malaysia dengan pelbagai masalah yang dihadapi, hinggalah kepada dekad-dekad selanjutnya dalam ia bergelut dengan cabaran-cabaran sebagai negara membangun.

Dalam soal mewujudkan pekerjaan, menyediakan perumahan, pendidikan, kesihatan, prasarana, sehinggalah kepada menangani jenayah dan rasuah, Singapura membuktikan ia cepat mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan tiada masalah bakal membesar menjadi krisis yang genting.

Sikap dan ciri kepimpinan begini memang jarang kedapatan bagi kebanyakan negara lain.

DIBIARKAN BERLARUTAN

Kita ambil sahaja negara jiran terdekat seperti Indonesia dan Malaysia di mana pelbagai masalah yang menghambat kebajikan rakyat kerap dibiarkan berlarutan sehingga ia menjadi krisis yang sukar diatasi.

Kalau masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa misalnya, sebelum ini memang sukar sekali ia dibanteras kerana tiadanya kesedaran bahawa ia sudah menjadi krisis yang sukar dibendung.

Papan tanda 1MDB di Kuala Lumpur. (Gambar fail: Olivia Harris/Reuters)

Sesetengah pihak mungkin tidak melihat gejala rasuah sebagai krisis selagi masalah ini tidak menjejas kepentingan mereka, malah sebaliknya mendatangkan lebih banyak lagi faedah peribadi.  

Ada juga yang beranggapan bahawa oleh kerana gejala tersebut sudah menjadi ‘budaya hidup’, mereka tidak lagi dapat melihatnya sebagai krisis keruntuhan moral atau akhlak.

Ia bukan lagi suatu krisis tetapi suatu lumrah yang diterima sebagai sebahagian daripada kehidupan.  

Dalam keadaan beginilah apabila masyarakat dan pemimpin sudah sama-sama bersekongkol dalam membiarkan masalah bertukar menjadi krisis, agak sukar bagi negara bertukar haluan menuju ke jalan yang betul.

KENALPASTI MASALAH

Jared Diamond, sejarawan dan profesor dalam bidang geografi dan anthroplogi, menulis bahawa kepimpinan yang dapat mengenalpasti masalah awal-awal lagi antara faktor penentu yang membolehkan sesebuah negara mengatasi krisis yang dihadapinya.

Yang membezakan antara satu negara dengan negara lain, adalah bagaimana kepimpinannya mengenalpasti krisis dan kemudian bertindak untuk mengatasinya.

 Dalam mengenalpasti sesuatu krisis itu, mereka terlebih dahulu mestilah mengakui adanya krisis dan berasa bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu.

PELAJARI DARI SEJARAH

Dalam contoh negara-negara yang dikajinya,  Diamond mendapati Jerman dan Australia antara negara yang mempelajari daripada sejarah dan mengakui mereka berhadapan dengan krisis.

Jerman dengan kesediaan pemimpin dan rakyatnya untuk mengakui kesilapan dan kekejaman yang dilakukannya semasa Perang Dunia Kedua, sementara Australia pula dengan pengakuannya bahawa ‘dasar kulit putih’ negara itu adalah satu kesilapan yang perlu diperbetulkan.

Pengakuan Jerman itu akhirnya membolehkan penyatuan semula Jerman Barat dan Jerman Timur, kerana ia menyakinkan negara-negara lain tentang keikhlasan rakyat Jerman menuntut maaf terhadap kesilapan yang dilakukannya, terutama kekejamannya ke atas masyarakat Yahudi di negara itu.

Menurut Diamond krisis yang dihadapi sesebuah negara, seperti juga manusia,  merupakan peluang baginya untuk membuat penyesuaian tertentu.

Bagi sebuah negara,  penyesuaian yang perlu dibuat termasuklah dalam merubah dasar-dasar tertentu.

Dalam contoh Australia tadi, perubahan yang dibuat adalah dengan menamatkan dasar kulit putihnya dan sebaliknya mencorak semula identiti negara daripada sebuah negara kulit putih kepada negara berbilang budaya.

Dengan penyesuaian itu, Australia kini muncul sebagai antara negara paling berbilang budaya di dunia.

Dalam pengamatan Diamond tidak seperti manusia – kita kadangkala sedia mempelajari daripada kelemahan dan krisis yang dihadapi – negara-negara pula jarang bersedia untuk mengakui bahawa mereka berhadapan dengan krisis.

Tunjuk perasaan menuntut perbezaan dan hak sama rata dihormati.   

Sebaliknya para pemimpin dan masyarakat di negara kuasa besar itu terus berbalah dan tidak sehaluan untuk mengakui masalah yang dihadapinya.

Ia seperti manusia yang sakit tenat tetapi masih belum mengaku bahawa ia mempunyai masalah kesihatan dan memerlukan rawatan secukupnya.

Sikap sedemikian tidak membolehkan kita berasa optimis bahawa negara seperti Amerika Syarikat akan dapat keluar daripada segala kemelut yang dihadapinya hari ini.

Selagi ia tidak dapat mempelajari daripada sejarah, ramai pengamat seperti Diamond khuatir  mungkin lebih banyak kesilapan bakal dilakukannya pada masa depan.

Bagi negara seperti Singapura pula sejauh ini ia tidak pernah memandang ringan segala pelajaran daripada sejarah.

Ini memberi kita keyakinan bahawa sekiranya ia bakal berhadapan dengan krisis, rakyat dan kepimpinannya tidak akan mengambil jalan mudah dengan berdiam diri dan memeluk tubuh sahaja.

 

Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan