Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Apabila agama dan Nabi dihina – panduan sejarah bagi umat menanganinya

Dengan melihat sejarah hidup Nabi dan para sahabatnya bagaimana kita boleh meraih pedoman dalam menangani cabaran ketika agama menjadi kutukan dan penghinaan orang lain? 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dengan melihat sejarah hidup Nabi dan para sahabatnya bagaimana kita boleh meraih pedoman dalam menangani cabaran ketika agama menjadi kutukan dan penghinaan orang lain? 

Setiap kali berlaku peristiwa penghinaan dan kutukan terhadap Islam dan Nabi Muhammad seperti yang berlaku di Perancis bulan lalu, umat Islam sebulat suara dan bersatu dalam menonjolkan cinta mereka terhadap Nabi dan mengecam semua perbuatan penghinaan dan kutukan itu.

Namun, kebanyakan respons yang ditunjukkan oleh umat Islam itu dikhuatiri boleh merosakkan kemurniaan ajaran agama Islam itu sendiri.

Jadi, persoalannya adalah, respons bagaimanakah yang terbaik bagi seorang Muslim yang mencintai dan yang mencontohi akhlak baginda?

KEBEBASAN BERSUARA 

Pada awal bulan Oktober, Presiden Emmanuel Macron mengumumkan pelan undang-undang untuk mempertahankan nilai sekular Perancis atau lebih dikenali dengan dasar laïcité yang mula diperkenalkan pada tahun 1908 dan menyangkal ancaman “kumpulan pemisah Islam” dengan lebih keras lagi.

Secara tidak langsung, beliau juga melabelkan Islam sebagai agama yang sedang mengalami krisis dan mendakwa Islam adalah punca kepada semua krisis yang berlaku di dunia ketika ini. Beliau juga melihat komuniti Muslim di Perancis sebagai tidak dapat berasimilasi dengan masyarakat bukan Islam.

Ini menyusuli insiden pada awal bulan September 2020 di mana, syarikat akhbar Charlie Hebdo mencetak semula karikatur kontroversi yang menghina Nabi Muhammad.

Penerbitan semula ini bersempena pembukaan perbicaraan persidangan ke atas individu yang melakukan serangan bersenjata di pejabat akhbar itu di Paris pada tahun 2015.

Penerbitan semula itu telah menyebabkan ramai daripada masyarakat Islam dari beberapa negara mengecam tindakan akhbar itu. Namun, Presiden Macron mempertahankannya atas dasar kebebasan bersuara/berekspresi yang tidak secara langsung juga menyatakan, mereka bebas untuk menghina.

Presiden Perancis Emmanuel Macron. (Gambar: AFP/bertrand GUAY)

Presiden Perancis Emmanuel Macron. (Gambar: AFP/bertrand GUAY)

INSIDEN KEJAM

Masyarakat Islam mengecam tindakan akhbar Charlie Hebdo yang mencetak ulang karikatur yang menghina Nabi Muhammad dan juga pemerintah Perancis yang mengizinkan provokasi tersebut.

Tunjuk perasaan dan demonstrasi, dengan laungan perasaan benci dan marah ditonjolkan terhadap Presiden Macron. Individu-individu dan pasar-pasar raya di beberapa negara Arab dan yang ramai penduduk Islam juga memboikot barangan Perancis sebagai respons terhadap tindakan Perancis yang mengizinkan Nabi Muhammad dihina.

Selain dari itu, ada juga yang mengambil tindakan lebih kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Pada pertengahan bulan Oktober 2020, seorang guru sekolah di Perancis, Samuel Paty dibunuh dengan kejam apabila kepalanya dipenggal oleh seorang lelaki Rusia keturunan Chechen selepas menunjukkan karikatur Nabi Muhammad dalam kelasnya.

Di hujung bulan yang sama, satu lagi insiden kejam berlaku, di mana dua orang dibunuh di sebuah gereja di kota Nice, Perancis.

Serangan pada 29 Okt 2020 berlaku di gereja di bandar Nice, Perancis (Gambar: AFP/Eric Gaillard)

Serangan pada 29 Okt 2020 berlaku di gereja di bandar Nice, Perancis (Gambar: AFP/Eric Gaillard)

PENYEBAB KEMARAHAN

Penghinaan dan kutukan ke atas Nabi yang orang Islam sanjungi dan contohi tentu sekali akan membuat seorang Muslim teramat marah.

Emosi marah itu adalah lumrah pada diri kita dan penyebab kemarahan sedemikian juga sangat banyak.

Seperti contoh, gangguan, kritikan yang tidak adil, ancaman kepada kepercayaan kita dan sebagainya. Namun, bagaimanakah harus kita menyalurkan emosi marah tersebut?

Sebagai seorang Muslim yang mencintai, menghormati, dan menyanjungi Nabi, sering kali kita diajar untuk menjadikan Nabi Muhammad sebagai idola kita, yang mana akhlaknya dituntut untuk kita contohi.

Mari kita singkap sejarah hidup Nabi untuk memahami tindak tanduk beliau ketika berhadapan dengan kutukan dan penghinaan ke atas dirinya.

Ummul Mukminin, Sayidatuna Aisyah memberitahu sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah tidak pernah mempertahankan dirinya atau membalas dendam atas kejahatan yang dilakukan ke atas dirinya. Bahkan Rasulullah senantiasa membalas kejahatan dengan kebaikan.

Tidak asing bagi kita dengan kisah perjalanan dakwah baginda ke kota Taif, di mana beliau disambut dengan kata-kata nista dan lemparan batu-batu dari para penduduk Taif termasuk anak-anak kecil.

Walaupun ketika itu ditawarkan malaikat untuk dihancurkan semua penduduk Taif, respons baginda hanyalah berharap agar Allah mengeluarkan dari tulang sulbi mereka keturunan-keturunan yang akan menyembah Allah dan tidak mensyirikkannya.

TAHAP KESABARAN

Pernah suatu ketika Sayidina Anas Bin Malik berjalan dengan Nabi dan pada ketika itu Rasulullah membawa kain burdah (seperti shawl) yang berjenis kasar buatan Najran.

Tiba-tiba mereka didatangi oleh seorang badwi yang tidak semena-mena mengasari Rasulullah dengan menarik kain burdahnya yang kasar itu dengan sekuatnya di sekeliling leher baginda sehingga membekas merah di lehernya.

Badwi itu seraya berkata: “Oi Muhammad, berilah aku sebahagian daripada harta yang diberikan kepadamu oleh Tuhanmu.”

Maka Nabi pun menoleh lembut kepadanya dengan tersenyum lebar dan memerintahkan agar diberikan kepada lelaki itu apa yang dipintanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Bahkan para Ulama hadis pernah meriwayatkan suatu ketika, seorang rahib Yahudi bernama Zaid Bin Sa’nah mendatangi Rasulullah untuk menguji tahap kesabaran baginda.

Dia telah menuntut barang yang dibelinya daripada Rasulullah sebelum tiba masa penyerahaan barang yang dijanjikan iaitu selama dua atau tiga hari.

Beliau mendatangi Rasulullah sambil menghela cekak leher baginda seraya berkata kepadanya dengan wajah yang bengis:

“Hei Muhammad! Berikanlah kepadaku hak aku! Demi Allah, kamu ini keturunan Bani Abdul Mutalib adalah orang-orang yang suka melengah-lengahkan pemberian hak orang. Aku sudah mengetahui perangai kamu ini semenjak aku bergaul dengan kamu.”

Melihat kejadian itu, Sayidina Umar yang sedang berada di situ bersama para sahabat yang lain menengkingnya dan berkata:

“Hei musuh Allah! Apakah benar apa yang aku dengar ucapan kau terhadap Rasulullah dan perilakumu terhadapnya? Demi Yang Mengutusnya dengan kebenaran, jika tidak kerana menghormati suruhan dan tegahan Rasulullah, nescaya akan aku penggal lehermu dengan pedangku ini!”

KELURUHAN BUDI

Ketika melihat kemarahan Sayidina Umar itu, Rasulullah pun meredakan keadaan sambil berkata:

“Wahai Umar! Aku dan beliau (si Yahudi) lebih memerlukan tindakan selain ini. Sepatutnya engkau menyuruh aku untuk mempercepat pemberian barangannya dan engkau sepatutnya menyuruh dia untuk meminta dengan cara baik.

Pergilah dengan dia, wahai Umar, dan berikanlah dia haknya dan tambahkan dua puluh so’ (sekitar 48 kilogram) tamar (kurma) sebagai bayaran kekasaranmu terhadapnya.”

Menurut riwayat itu, Yahudi tersebut pada akhirnya memeluk Islam setelah melihat keluruhan budi Rasulullah.

BERSIFAT MULIA 

Pernah suatu ketika sekumpulan Yahudi bertemu dengan Rasulullah SAW, mereka pun menyapanya dengan ucapan ‘Assamu’alaikum’ yang bermaksud (Kecelakaan ke atasmu).

Mendengar ucapan mereka itu, Sayidatina Aisyah pun menjawab: “Wa alaikumus sam wal la’nah (kecelakaan dan laknat ke atas kamu semua).”

Mendengar ucapan Aisyah itu, Rasulullah pun menegur, tenanglah wahai Aisyah. Sesungguhnya Allah suka kelembutan di dalam segala urusan. (Riwayat Bukhari).

Di sini, boleh kita lihat bahawa pengetahuan tentang sejarah akhlak Nabi boleh membantu kita dalam mengatasi konflik masa kini dengan lebih matang lagi demi menjaga kemurniaan ajaran agama Islam.

Dengan melihat sejarah kehidupan Nabi bersama sahabat-sahabatnya, pasti kita akan jatuh cinta dengan akhlak-akhlak yang insani dan nilai-nilai yang ingin diajar dan diterapkan oleh Nabi kepada umatnya.

Antaranya adalah bersifat mulia kepada siapa pun, tidak kira yang berbuat baik kepada kita mahupun yang berniat jahat dan menghina kita.

MENGENAI PENULIS

Ustaz Muhammad Saiful 'Adli Ayob adalah Penolong Pengurus di Pejabat Mufti (Skim Pengiktirafan Asatizah & Penyelidikan) MUIS dan Ustaz Syed Huzaifah Bin Othman Alkaff adalah Zamil Penyelidikan Bersekutu di Sekolah Pengajian Antaranbangsa S. Rajaratnam (RSIS). 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan