Images
  • sg mall covid
    Keadaan di sebuah pusat beli-belah semasa penularan COVID-19 di Singapura pada 15 Mei 2020. (Gambar: Edgar Su/REUTERS)

KOMENTAR: Apa yang perlu kita lakukan untuk terus maju selepas COVID-19

BERITAmediacorp: Cabaran pasti meningkat, perubahan asas terus mengelirukan dan persaingan pula akan bertambah sengit. Minda bagaimana harus dibangkitkan untuk menguatkan semangat menangani semua cabaran ini?

Penularan COVID-19 telah dengan mengejut mengendalakan setiap aspek kehidupan kita.

Ia telah menjejas cara kita menuntut ilmu, menjalin persahabatan, mengendalikan urusan, mendidik, berhujah, menyampaikan ceramah, mencari nafkah dan sebagainya.


Pekerjaan yang pada lumrahnya dijangka akan berkekalan atau berpanjangan, juga menghadapi masa depan yang tidak menentu.

Keadaan ini menyebabkan seseorang pekerja itu boleh mengalami tekanan sehinggakan menjejas kesihatan mental dan fizikalnya.

Jawatan-jawatan yang berbentuk pentadbiran misalnya, telah digantikan dengan proses automasi.

Pemindahan ini bukan hanya ketara tetapi semakin lancar sehinggakan ramai di antara mereka yang tidak sempat untuk membuat penyesuaian atau menyertai program-program kemahiran semula (reskilling).

Perkembangan mengejut ini telah menjejas ramai pekerja lama sehinggakan sebahagian besar daripada mereka telah kehilangan pekerjaan dan mengalami kesukaran untuk mendapatkan jawatan baru disebabkan kurang kelayakan.

Penggantian pekerjaan dengan menggunakan automasi dan Kecerdasan Buatan atau AI, akan mendorong tenaga kerja untuk terus berkembang dan menaiki tangga nilai secara aktif agar dapat terus bersaing di pentas dunia.

PEKERJAAN MASA DEPAN

Cabaran pihak tertentu untuk membantu para pekerja di merata dunia untuk terus relevan atas kesan penularan ini kini amat besar sekali.

Ini kerana gambaran masa depan tidak jelas dengan setiap langkah yang diatur mungkin akan lari jauh daripada sasaran yang dijangkakan.


Ibarat kita menyusun permainan ‘jigsaw puzzle’, percubaan kita akan menjadi lebih tidak teratur dan mengambil masa yang lebih lama sekiranya gambar sebenar teka-teki itu tidak pernah kita lihat.

Latihan yang perlu disediakan untuk mempersiapkan setiap pekerja dengan kemahiran yang menajamkan kebolehan mereka bagi menangani masalah terkini, akan menentukan kelestarian sesebuah syarikat atau negara.

BERSIKAP FLEKSIBEL

Disebabkan perubahan keadaan yang begitu pantas sekali, para pekerja perlu fleksibel dengan minda terbuka dan selesa beralih corak.

Tumpuan perhatian harus diberikan kepada latihan dan usaha pembangunan diri yang tidak bersempadan agar ia dapat menghasilkan individu berdaya pemikiran yang tidak terkongkong dengan cara-cara yang kini dianggap kuno.

Untuk melicinkan penerimaan perubahan asas ini, dialog-dialog di peringkat akar umbi dan juga di sekolah-sekolah mesti dianjurkan.


Bantuan menerusi kempen-kempen seperti pentingnya pembelajaran sepanjang hayat akan lebih berkesan jika ia direka dengan pandangan masa panjang dan bukan hanya untuk menangani isu-isu yang sedang dihadapi buat masa kini.

Dengan pandangan ini, kita akan lebih bersedia untuk menerima hakikatnya dan menerajui inisiatif yang membangun.

DINAMIKA KUMPULAN

Dinamika kumpulan dan penyelarasannya juga jauh berbeza sekarang dengan keadaan sebelum wabak virus korona tercetus.

Interaksi antara ahli kumpulan atau pasukan dan antara penyedia-penyedia perkhidmatan dengan pelanggan mereka sekarang lebih bergantung kepada teknologi perhubungan dan internet.

Misalnya, perbincangan serta pemeteraian sesuatu persetujuan atau kontrak kini beralih dari bilik rundingan ke ruang siber; dengan penurunan tandatangan berubah daripada menggunakan pena kepada tandatangan digital sahaja.

TANDA TANYA

Usaha mendorong, memberi inspirasi dan motivasi kepada pekerja juga semakin rancak berlaku di alam bukan fizikal di mana dahulunya ia dibuat secara bersemuka.

Perubahan yang berlaku dengan begitu pantas seperti ini telah menimbulkan tanda tanya sekiranya pejabat fizikal benar-benar penting untuk memastikan keberkesanan operasi sesebuah syarikat atau perniagaan.


Atau ia hanya sekadar memberi sedikit kelebihan yang tidak berbaloi.

Ini akan mengancam kelangsungan hidup beberapa perniagaan seperti penyewaan hartanah komersil, syarikat pinjaman gadai janji dan lain-lain lagi.

MINDA POSITIF

Setiap gangguan yang menjejas kebiasaan dan gaya hidup seharian akan mengakibatkan keadaan mental dan emosi yang kurang menyenangkan.

Ini ada kena-mengena dengan seseorang itu merasakan yang kepercayaannya terhadap sesuatu perkara atau amalan budayanya tercabar dan dinafikan.

Dengan cabaran yang semakin meningkat, perubahan asas yang menghasilkan landskap yang membingungkan serta persaingan yang sudah pasti akan bertambah sengit, minda positif yang berupaya untuk membangkitkan semangat perjuangan akan menjadi penentu nasib atau “game changer”.

NORMAL BARU

Tidak mungkin dengan perubahan dan kemunculan gejala-gejala baru, keadaan akan pulih seperti sediakala.

Ini kerana perubahan yang terjadi akibat keadaan ini telah menjejas perkara asas dan dengan secara langsung telah memutuskan hasilnya.


Kesedaran bahawa keadaan baru atau “new normal” tidak dapat dielakkan dan akan terus berubah dan bermutasi amat penting sebagai tahap pertama untuk membentuk masa depan yang efektif.

Seterusnya, keadaan akan bertambah mengelirukan dan konsep kestabilan yang kita fahami selama ini secara konvensional akan menjadi satu perkara silam.

PERALIHAN PARADIGMA

Setiap kali perubahan struktur berlaku ia akan menyebabkan kehilangan sesetengah pekerjaan, namun ini memang tidak dapat nak dielakkan.

Tetapi ‘lapisan peraknya’ di sini, perubahan struktur juga akan mengakibatkan timbulnya pekerjaan baru yang dulunya tidak wujud atau kurang kejelasan.

Bagi pekerja ia amat penting untuk kita mempunyai sikap pertumbuhan dan memberanikan diri untuk menceburi bidang-bidang lain yang mungkin pada masa lalu tidak pernah terlintas dalam fikiran kita untuk mencubanya.

BERPANDANGAN JAUH

Peralihan paradigma ini amat penting sekali kerana ia akan menghasilkan rakyat yang dinamis dan mampu bertindak segera bagi menghadapi segala cabaran dan merebut peluang-peluang yang ada.

Adalah amat penting sekali untuk kita menyedari bahawa setiap masalah yang ditempuhi memerlukan kematangan dan kesedaran yang jelas dan juga diiringi dengan berpandangan jauh.

Seperti yang dikatakan oleh Albert Einstein: “Kita tidak boleh menyelesaikan masalah kita dengan tahap pemikiran sama yang menyebabkan masalah tersebut.” (“We cannot solve our problems with the same level of thinking that created them.”)

MENGENAI PENULIS:


Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads For Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah. 

- BERITAmediacorp/ha

Top