Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Apa yang diharapkan daripada pemimpin – terutama sekali dalam keadaan mencabar

Kepimpinan yang ‘celik’ terhadap cabaran-cabaran hari ini boleh menyedarkan kita bahawa krisis seperti pandemik virus korona bukanlah malapetaka semata-mata, tetapi juga menyediakan peluang-peluang tersembunyi.

Anggaran Waktu Membaca:

Baik pada zaman klasik Eropah (seperti Plato misalnya) mahu pun dalam zaman kegemilangan Islam (seperti filosof Al Farabi) soal kepimpinan yang baik memang telah lama difikirkan dalam peradaban manusia.

Bagi  Plato dan Al Farabi mereka melihat negara dan pentadbiran  yang ideal adalah apabila ia dipimpin oleh mereka yang cukup terlatih dalam disiplin berfikir (seperti seorang filosof) dan juga mencerminkan akhlak dan keperibadian yang tinggi (dalam bahasa hari ini seperti mereka yang mempunyai hemah, integriti dan kepertanggungjawaban).

Oleh kerana standard atau piawai yang mereka letakkan adalah terlalu tinggi, kepimpinan sedemikian memanglah bukan mudah untuk dicapai.

Melihat kepada keadaan hari ini – dengan masalah pandemiknya dan pelbagai cabaran ekonomi, politik dan sosial – jangkaan terhadap kepimpinan yang ideal ini memanglah terlalu tinggi nampaknya.

Apa yang lebih mendesak adalah adanya kepimpinan yang cukup terlatih dalam memahami apa sebenarnya masalah-masalah mendesak dan kritikal yang dihadapi negara dan masyarakat.

Bukan sahaja memahami, pemikiran mereka juga jelas tentang apakah jalan keluar sebaiknya yang harus diambil untuk menangani dan mengatasi segala cabaran besar yang dihadapi.

TIDAK BERTAHAN LAMA

Setelah lebih enam bulan krisis ini melanda dunia, banyak negara terutama di Eropah dan Amerika baru mahu menghela nafas panjang selepas berbulan-bulan hidup dalam sekatan dan larangan.

(Gambar: Reuters)

Kesan besar-besaran ke atas ekonomi dan pekerjaan pula dijangka semakin menggigit pada empat lima bulan terakhir tahun ini.

Bagaimanakah kita dapat mengatasinya dengan baik masih sukar untuk dibayangkan. Walaupun sudah bertrilion dunia membelanjakan simpanan masing-masing, bagaimana ekonomi dunia akan bangkit semula masih sukar diramalkan.

PELBAGAI TEKANAN

Namun mahu tak mahu di sinilah di mana banyak perhatian dan sumber harus ditumpukan bagi menangani kesan-kesan berterusan pandemik ini,  sebelum ia menimbulkan pelbagai tekanan lebih besar ke atas masyarakat dan negara.

Walaupun banyak usaha sudahpun diambil para pengamat sepakat,  COVID-19  masih mampu mencengkam dan  menimbulkan kesan mendalam kepada seluruh dunia – mungkin sehebat Perang Dunia Kedua dan Kemelesetan Besar-Besaran tahun-tahun 1930’an.

Selain krisis kesihatan dan kesan ke atas ekonomi, ia juga dijangka memburukkan lagi gejala yang sudah pun menjadi trend yang nyata di kebanyakan negara.

Ia termasuklah trend anti-globalisasi dan sikap anti-pendatang serta pekerja asing, bantahan terhadap meningkatnya ketidaksamarataan.

GARIS PEMISAHAN

Semakin meningkat  juga adalah trend meluasnya jurang persefahaman antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain – tidak kiralah antara kumpulan agama, bahasa, warna kulit, perbezaan pandangan dan orientasi sikap serta gaya hidup.

Ini semua mencetuskan ketegangan yang semakin bertambah antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Ia kemudian menjadi bahan bagi golongan-golongan oportunis mempergunakan setiap garis pemisahan dalam masyarakat bagi kepentingan politik masing-masing.

Di beberapa negara keadaan digambarkan dengan meluapnya politik kaum atau agama.

Di sebahagian dunia yang lain pula gejala ini dijelmakan pula dengan kemunculan fahaman populis, kepimpinan nasionalis sempit dan agak melampau (ultra/extreme).  

Tidak kira apa bentuknya hakikat bahawa munculnya fahaman dan kepimpinan sebegini menimbulkan tanda tanya tentang kemampuan dunia keseluruhannya dalam menangani cabaran-cabaran sebegini.

CABARAN UTAMA

Apa yang jelas pula sejak beberapa tahun lalu masyarakat antarabangsa terutama sekali kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan Rusia tidak menunjukkan kepimpinan tegas dalam memimpin dunia menangani cabaran-cabaran utama ini.

Ibu pejabat WHO di Geneva. (Gambar: Fabrice COFFRINI/AFP)

Tiadanya kesepakatan dan muafakat yang bulat menyebabkan pandemik ini berkembang daripada satu krisis jangkitan kepada krisis kesihatan global.   

Lebih mendesak lagi kebanyakan negara kini bukan sahaja berhadapan dengan cabaran menangani kesan-kesan pandemik terutama ke atas ekonomi dan pekerjaan.

Banyak negara juga berhadapan dengan risiko masyarakat yang semakin berpecah belah yang mengancam kesepaduan dan keutuhan sesebuah negara.

BIJAK DAN BERHEMAH

Tanpa kepimpinan sejagat yang bijak dan berhemah adalah dikhuatiri semua krisis tempatan ini dengan mudah boleh berubah menjadi krisis geopolitik yang boleh mencetuskan pelbagai konflik politik dan ketenteraan di sana sini.

Pada masa yang sama perkembangan pandemik ini boleh dilihat dari kacamata yang tidak semestinya penuh pesimis.

Mereka yang agak opmitis berpendapat bahawa kepimpinan dan cerdik pandai dunia tidaklah buta sejarah.

Sejarah mendidik kita bahawa tiada krisis sebesar manapun tidak boleh ditangani manusia.

Malah dalam setiap krisis besar itu tersimpan bibit-bibit penting yang boleh dijadikan panduan untuk membuat perubahan kepada masyarakat.

Dalam hal pandemik ini, mereka yang optimis melihat banyaknya peluang untuk kita melakukan transformasi dan adaptasi yang boleh membawa manfaat besar kepada masyarakat dunia.

PELUANG BAIK

Jika peluang-peluang untuk melakukan transformasi dan adaptasi ini dapat dimanfaatkan sebaiknya, jelas krisis seperti ini tidak harus dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Untuk sampai ke tahap pemahaman dan penghayatan yang betul mengenai segala peluang baik ini, memanglah perlu ada jenis kepimpinan yang bijak dan berhemah baik di peringkat masyarakat, negara dan global.

Mereka mungkin bukan peringkat kepimpinan tahap ideal seperti yang diidamkan oleh Plato atau Al Farabi.

Mungkin sudah mencukupi sekiranya mereka ‘celik’ terhadap apa sebenarnya yang ada di sebalik krisis ini dan bagaimana ia boleh diubah menjadi peluang yang baik untuk semua.

Kepimpinan yang menunjukkan kecelikan sebegini menyedarkan kita bahawa COVID-19 bukanlah malapetaka yang datang dan pergi untuk menimbulkan porak peranda kepada manusia sahaja.

Ia juga menyediakan peluang-peluang tersembunyi bagi yang tahu  memanfaatkannya.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan