Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Apa pedoman sejarah yang boleh kita pelajari tentang kepimpinan

Antara pedoman sejarah adalah pentingnya masyarakat terus menuntut dan mengharapkan kepimpinan yang terbaik mungkin daripada mereka yang bergelar pemimpin.

Anggaran Waktu Membaca:

Pada awal kurun ke-19 seorang aristokrat atau bangsawan Perancis Alexis de Tocqueville menjelajah ke Amerika Syarikat untuk mempelajari keadaan penjara di negara itu.

“Lawatan kajiannya’ selama sembilan bulan itu bukan sahaja berakhir dengan laporan lengkap mengenai keadaan penjara di Amerika.

Lebih penting lagi Tocqueville merumuskan penjelajahannya dengan pengamatan yang teliti tentang keadaan masyarakat Amerika di bawah sistem pemerintahan baru ketika itu,  yakni sistem ‘demokrasi’.

Tocqueville akui demokrasi Amerika dengan sistem ekonomi kapitalisnya berjaya membawa kemakmuran dan pembangunan kepada negara ‘baru’ di benua Amerika Utara itu.

Namun,  Tocqueville juga menyuarakan prihatin tentang beberapa aspek demokrasi yang menurutnya terlalu membesarkan soal kepentingan individu.

Dalam masyarakat sedemikian di mana individu dengan keinginan untuk mengejar seberapa banyak kemewahan, mudah membawa kepada amalan demokrasi sempit yang dipanggilnya ‘kezaliman puak majoriti’ ( ‘tyranny of the majority’).

     Alexis de Tocquiville & Democracy in America 

Di bawah demokrasi modern, suara majoritilah yang membentuk pemerintahan.

Tetapi jika suara majoriti itu pula mewakili nilai-nilai sebuah masyarakat yang mementingkan diri sendiri, Tocqueville khuatir ini boleh membawa kepada pemerintahan ‘despotisme’ -  di mana kuasa mutlak diberi kepada seseorang pemimpin yang sedia melayani setiap keinginan dan sentimen golongan majoriti. 

Sekitar seratus tahun selepas pengamatan Tocqueville itu, inilah yang berlaku di Eropah dengan kemunculan para pemimpin despotik seperti Hitler dan Mussolini yang boleh terpilih di bawah sistem demokrasi.

KEPIMPINAN DALAM ISLAM

Dalam sejarah Islam pula, ia memang memberatkan soal kepimpinan baik yang boleh diamalkan dalam apapun bentuk atau corak pemerintahan.

Pendekatan yang dianjurkan pula lebih menekankan ke arah pemusyawaratan dan pencapaian kata sepakat atau muafakat.

Antara pemikir yang agak tuntas dalam membahaskan soal kepimpinan dalam masyarakat Islam tentunya adalah Ibn Khaldun (kelahiran Tunisia sekitar pertengahan kurun ke-14).

Bagi Ibn Khaldun, khilafah atau kepimpinan baik dalam perspektif Islam menggalakkan nilai-nilai seperti taqwa, integriti, disiplin dan kawalan diri, kesabaran, ihsan, pemurah dan sifat pengasih.        

Dengan kepimpinan yang menggalakkan nilai-nilai murni agama dan budaya, Ibn Khaldun melihat adanya kaitan semua ini dengan kepentingan mengukuhkan kesetiaan, keamanan dan kemantapan negara.

Oleh itu peranan pemimpin dan pentadbiran negara adalah untuk menegakkan hukum dan peraturan demi memastikan ketenteraman dan kemakmuran negara.

Ia termasuklah dalam memastikan adanya hukum atau undang-undang yang menjamin hak pemilikan harta, urusan jual beli dan peraturan perniagaan yang adil.

Dengan melaksanakan tanggungjawab mereka, kepimpinan dan pentadbiran sesebuah negara dapat memastikan adanya kemakmuran serta keadilan sosial dan semua ini boleh mengukuhkan lagi kesetiaan dan ketenteraman dalam negeri.

Arca Ibn Khaldun di Tunis, Tunisia 

Ibn Khaldun membentangkan gagasan beliau mengenai kepimpinan baik bukan berdasarkan teori semata-mata.

Semua prinsip dan gagasan yang dikembangkannya sebenarnya berasaskan juga pada pengalaman beliau yang meluas sebagai penasihat kerajaan, menteri, diplomat dan juga ilmuwan.

REALITI HARI INI

Melihat kepada keadaan kita hari ini tentunya banyak prinsip dan nilai kepimpinan baik yang digariskan oleh tokoh-tokoh pemikir lampau, kini hanyalah sekadar idealisme dan cita-cita murni sahaja.

Perhatikan di mana-mana sahaja di dunia ini, jurang mutu antara kebanyakan kepimpinan hari ini dengan idealisme dan cita-cita murni yang harus diperjuangkan mereka, begitu luas sekali.

Kita kini dalam sekitaran di mana kepimpinan yang cekap, amanah dan berkepakaran tinggi agak terbatas jumlahnya.

Malah dalam sistem demokrasi Barat sekalipun kepimpinan bermutu tinggi dari segi kepakaran dan integriti semakin terancam dengan pelbagai unsur yang menggangu-gugat keutuhan dan keberkesanan sistem demokrasi itu sendiri.

Selepas tiga atau empat dekad sistem demokrasi berkembang di banyak negara, dari Eropah Timur, ke Asia hinggalah ke Amerika Selatan, ia kini mula menunjukkan tanda-tanda apa yang dipanggil oleh Larry Diamond sebagai ‘Kemelesetan Demokrasi’ (Democratic Recession).

Diamond dan ramai pemerhati sains politik seperti Francis Fukuyama melihat ‘Krisis Demokrasi’ ini akibat pelbagai punca termasuklah kemunculan fahaman kepuakan (tribalism) yang berasaskan kaum atau agama (atau juga nasionalisme etnik berasaskan bahasa atau budaya.

Fahaman ini diburukkan lagi dengan sikap dan kecenderungan membenci orang lain (termasuk pendatang asing dan mereka yang tidak sealiran pemikiran, kepercayaan atau corak kehidupan).

FAHAMAN SEMPIT

Sikap membenci dan kecenderungan sempit ini kerap berlaga-laga antara satu sama lain sehingga ia boleh mewujudkan peluang bagi lahirnya pemimpin-pemimpin populis (ala Trump, Putin, Modi, Viktor Urban dan Bolsonaro antaranya).

Bagi kebanyakan pemimpin seperti ini jalan mereka ke arah tampuk pemerintahan adalah dengan ‘menunggang’ sistem demokrasi di mana mereka amat bijak dalam ‘memainkan’ isu-isu populis.

Hanya dengan menggunakan isu-isu populis melibatkan soal kaum, agama, bahasa, warna kulit dan kumpulan etnik, memudahkan mereka mendapat perhatian dan akhirnya sokongan daripada kumpulan-kumpulan tersebut.

Pendeknya, kebanyakan kepimpinan begini mendapat sokongan ramai bukan atas dasar kepakaran dan  kecekapan tertentu, ataupun kerana nilai-nilai kepimpinan baik seperti amanah, integriti dan sebagainya.

Bagi Fukuyama, oleh kerana mereka ini serba berkurangan dari segi nilai-nilai kepimpinan yang baik, tidaklah menghairankan mengapa negara mereka gagal menangani dengan berkesan krisis besar seperti pandemik COVID-19 sekarang ini.

(Gambar fail: Callaghan O'Hare/Reuters)

PEDOMAN SEJARAH

Inilah pengajaran penting yang boleh kita pelajari daripada pengalaman dan sejarah yang telah dilalui oleh negara-negara lain.

Pedoman penting bagi kita adalah bagaimana masyarakat harus terus menuntut dan mengharapkan kepimpinan yang terbaik mungkin daripada mereka yang mahu memegang tampuk kepimpinan.

Mereka mestilah orang yang memahami dan teguh berpegang pada nilai-nilai kepimpinan yang murni dan tidak mudah terpengaruh dengan sikap dan kecenderungan yang boleh mengugat pegangan mereka terhadap nilai-nilai sebegini.

Hanya dengan kepimpinan yang utuh ini sahaja bolehlah kita mengharapkan kemajuan, kemakmuran dan ketenteraman bagi masyarakat dan negara.



Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan