Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Antara ibadah dengan SOP dalam masa pandemik

Para agamawan memainkan peranan penting, baik menerusi pertuturan mahupun tingkah laku mereka, untuk melindungi kesejahteraan rohani dan jasmani para pengikut mereka di tengah-tengah pandemik sekarang. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Antara ibadah dengan SOP dalam masa pandemik

Para jemaah beribadah dengan menjaga jarak selamat di masjid negeri Pulau Pinang pada 22 Mei 2020. (Gambar fail: Goh Chai Hin/AFP)

BERITAmediacorp: Para agamawan memainkan peranan penting, baik menerusi pertuturan mahupun tingkah laku mereka, untuk melindungi kesejahteraan rohani dan jasmani para pengikut mereka di tengah-tengah pandemik sekarang.

Namun, sikap ‘acuh tak acuh’ yang ditonjolkan sesetengah ulama terhadap langkah-langkah membendung jangkitan hanya menggugat usaha membanteras COVID-19 yang semakin mengganas di Malaysia kebelakangan ini.

Jemaah menjaga garak selamat ketika beribadah di Masjid Putra pada 16 Apr 2021. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

(Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Semasa hari kedua sidang khas parlimen Malaysia untuk membincangkan pandemik COVID-19 pada 27 Julai 2021, mantan perdana menteri Mahathir Mohamad mengecam kerajaan kerana gagal mengawal keadaan di negara itu. Menurut beliau, kerajaan gagal kerana rakyatnya tidak mematuhi protokol-protokol keselamatan.

Meskipun beliau merujuk kepada masyarakat umum, tegurannya itu juga boleh ditujukan kepada golongan agamawan, termasuk sesetengah daripada mereka yang didakwa melanggar protokol-protokol keselamatan. Selain itu, nasihat yang dikeluarkan golongan itu kadang kala menjejas kesihatan orang ramai.

SOLAT BERJEMAAH SEMASA WABAK

Sambutan Hari Raya Haji pada 20 Julai 2021 memperlihatkan bagaimana nasihat-nasihat tertentu sebenarnya bertentang dengan kepentingan untuk memelihara keselamatan orang ramai. Selepas lapan negeri beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengumumkan masjid-masjid dan surau di negeri-negeri itu akan dibuka bagi solat Aidiladha. Namun para jemaah perlu mematuhi protokol-protokol ketat.

Bahkan solat berjemaah dibenarkan di Selangor, yang masih berada dalam Fasa 1 PPN. Di Perlis pula, salah sebuah negeri yang sudah beralih kepada Fasa 2, solat berjemaah dijalankan di kawasan-kawasan terbuka di luar pekarangan masjid.

Anggota polis memeriksa dokumen perjalanan pemandu di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Tun Mustapha berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). (Gambar fail: BERNAMA)

(Gambar fail: BERNAMA)

Langkah itu dikatakan membantu mengurangkan risiko jangkitan dan pada masa yang sama memastikan solat Aidiladha, salah satu sunnah Nabi, masih dapat disempurnakan. Pendekatan tegas untuk menegakkan sunnah Nabi dalam keadaan luar biasa sekarang, sungguhpun ibadah itu sebenarnya boleh dikerjakan dengan selamat di rumah, mendedahkan pemikiran cetek tentang bagaimana ibadah sepatutnya dijalankan.

Pemikiran cetek itu juga kelihatan daripada perbuatan sesetengah agamawan yang didakwa melanggar protokol keselamatan untuk melangsungkan upacara-upacara keagamaan lain.

(Gambar: Agensi berita)

(Gambar: Agensi berita)

Sebagai contoh, pendakwah-pendakwah popular seperti Azhar Idrus, Don Daniyal dan Iqbal Zain hadir di majlis tahnik bagi menyambut kelahiran bayi penyanyi terkemuka Siti Nurhaliza pada Mei 2021 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Dr Zulkifli Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ehwal Agama), turut menyertai keramaian itu dan enggan mengulas tentang kehadirannya di majlis tersebut.

Sedang mereka menumpukan perhatian untuk memastikan ibadah-ibadah tertentu masih dapat dijalankan di tengah-tengah pandemik, dengan membuat beberapa penyesuaian, mereka pada hakikatnya terlepas pandang atau mengabaikan keperluan mendesak masyarakat umum.

Misalnya, salah sebuah keperluan itu adalah semakin ramai penduduk yang berdepan dengan kekurangan makanan dan barangan keperluan asas akibat masalah kewangan. Keadaan ini mencetuskan gerakan bendera putih, yang membolehkan para penduduk untuk memberi isyarat mereka memerlukan bantuan mendesak.

Meskipun terdapat sesetengah agamawan yang menyokong gerakan itu, ada juga yang bersikap acuh tak acuh. Sikap demikian kelihatan apabila anggota parlimen dari Parti Islam Se-Malaysia, Nik Abduh Nik Aziz, menggesa orang ramai supaya “angkat tangan berdoa” dan tidak “mengangkat kekalahan” dengan memacakkan bendera putih.

Selepas satu tahun setengah rakyat Malaysia hidup dalam persekitaran pandemik dan mengharungi beberapa tempoh PKP, orang ramai kian berasa lesu dan kesejahteraan mental mereka juga semakin terjejas: bilangan kes bunuh diri meningkat daripada 631 kes pada 2020 kepada 468 dalam lima bulan pertama 2021.

Ibu tunggal Tilda Kalaivani menggunakan kemeja T sebagai 'bendera putih' untuk meminta bantuan pada 6 Jul 2021. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Ibu tunggal Tilda Kalaivani menggunakan kemeja T sebagai 'bendera putih' untuk meminta bantuan pada 6 Jul 2021. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Lantaran itu, sedang pandemik COVID-19 terus berlarutan, perhatian terhadap kelesuan masyarakat umum semakin perlu dititikberatkan dan terdapat juga keperluan untuk menghulurkan bantuan emosi dan kewangan yang sewajarnya.

Namun dalam konteks masyarakat Islam, pendekatan sedia ada terhadap keperitan rakyat lebih cenderung berkisar dengan naratif agama, seperti yang dijelaskan di atas. Tidak memadai bagi para agamawan untuk setakat menasihati umat Islam supaya berdoa dan bersabar dalam kesusahan, lebih-lebih lagi apabila mereka menjauhkan diri mereka daripada penderitaan rakyat dengan melanggar protokol dan mengancam keselamatan orang lain.

Selain itu, naratif agama semata-mata tidak membantu untuk menghuraikan pelbagai masalah lain yang didatangkan pandemik, seperti sistem jagaan kesihatan yang lemah, kempen-kempen anti-vaksinasi, pelanggaran protokol oleh selebriti dan ahli-ahli politik dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) dan denda secara berat sebelah.

Lantaran itu, naratif-naratif agama sedemikian membangkitkan soalan penting tentang keupayaan untuk menyesuaikan idea-idea keagamaan tertentu di tengah-tengah keadaan yang berubah-ubah dan sukar. Lebih banyak usaha tentunya perlu dilaksanakan.

Seperti mana yang dikatakan cendekiawan terkemuka Malaysia Chandra Muzaffar, apa yang perlu dilakukan para agamawan adalah untuk memahami perkaedahan asas dan prinsip di sebalik tafsiran agama dan menyesuaikan perkaedahan itu untuk menepati konteks semasa. Ini akan menggalakkan pemahaman agama yang menjangkaui ibadah-ibadahnya dan membuka ruang bagi huraian-huraian lebih kreatif dan peka terhadap kesusahan rakyat.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS-Institut Yusof Ishak bertajuk “Between Religious Rituals and Safety Protocols in the Time of a Pandemic”.

MENGENAI PENULIS-PENULIS:

Pegawai Penyelidikan dalam Program Kajian Masyarakat dan Budaya Serantau di ISEAS-Institut Yusof Ishak., Cik Afra Alatas. (Gambar: Afra Alatas)

Afra Alatas adalah Pegawai Penyelidikan dalam Program Kajian Masyarakat dan Budaya Serantau di ISEAS-Institut Yusof Ishak.

Nur Syafiqah Mohd Taufek adalah Pegawai Penyelidik di ISEAS-Institut Yusof Ishak.

Nur Syafiqah Mohd Taufek adalah mantan Pegawai Penyelidik di ISEAS-Institut Yusof Ishak.  

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan