Images
  • dr faizal musa
    Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

KOMENTAR: Antara banyak hantu Melayu, yang mana satu paling bergaya?

BERITAMediacorp: Masyarakat bandar mungkin tidak lagi teruk dimomok oleh gejala ‘hantu’. Yang mungkin lebih diperbualkan mungkin adalah fenomena ‘hantu longgok’, atau ditengah-tengah musim pilihan raya seperti di Malaysia dan Indonesia - soal ‘pengundi hantu’.

Namun tahukah anda hantu yang mana dianggap sebagai paling kuat dan ganas dalam budaya masyarakat Melayu? Dan ada juga hantu yang dikaitkan dengan orang-orang politik kerana hantu itu “mengganggu orang lain dengan penindasan dan menghisap darah”. Dalam artikel KOMENTAR yang disumbangkan kepada BERITAMediacorp ini, pengkaji alam Melayu, Dr Mohd Faizal Musa mengupas pelbagai jenis dan pemaknaan ‘hantu’:


Gambar hiasan. (Gambar: PORNCHAI KITTIWONGSAKUL / AFP)

Bagi orang Melayu, hantu yang paling menggerunkan dan hebat tidak lain tidak bukan adalah Hantu Raya. Saya masih ingat sebuah tulisan Profesor Emeritus Thomas A. Layman di Universiti Chulalongkorn, Bangkok mengenai hantu raya .

Ia terbit di sebuah jurnal iaitu Siamese Heritage dengan judul ‘Hantu Raya’. Beliau antara lain mewawancara seorang pegawai waran tentera Amerika yang sudah bersara, bernama Haji Zain Tajudin mengenai hantu dan pemaknaan yang mungkin di sebaliknya. Pengalaman hantu ini direkodkan seawal tahun 1914 di Alor Star, Kedah.

Hantu Raya menurut orang Melayu adalah hantu yang paling besar, ganas, gagah dan justeru dianggap ‘raya’. Ia dikatakan memiliki kekuatan untuk melipat pohon yang mengakibatkan kita yang melihatnya tergamam kerana disangkakan pokok itu sujud, padahal, mata kita tersilap, dan pada paginya apabila siang menjelma, pohon yang kelihatan rukuk itu kini tegak semula.

Hantu Raya juga dianggap istimewa, dan menakutkan kerana bakatnya untuk menyerupai apa sahaja. Terdapat yang memilih menukar diri menjadi kucing, kuda, dan hantu yang dibela seseorang akan selalu berasa lapar dan menuntut agar disuapkan atau diberi dengan ganjaran.

MENJELMA DALAM BENTUK MENCEMASKAN

Hantu Raya selalunya keluar pada senjakala, tetapi juga mengambil kesempatan di siang hari. Menurut Haji Zain Tajudin, Hantu Raya menampakkan dirinya dalam bentuk-bentuk yang begitu mencemaskan sehingga membuatkan sesiapa yang terlihat mampu melompat tinggi untuk menyelamatkan diri.

Pada banyak keadaan, dalam tahun 1943, Hantu Raya ini menyembunyi dan menjelmakan diri dari hutan belukar nipah. Dan pada tahun 1944, di estet getah Jenan, Hantu Raya muncul sebagai babi hutan di siang hari menampakkan dirinya antara dua orang pemburu yang berakhir dengan kedua-duanya saling menembak sehingga terkorban.

Hantu Raya juga didakwa masuk ke dalam mayat tertentu dan menggerakkannya.

Kebolehan Hantu Raya adalah memiripi diri dengan makhluk lain, termasuk manusia. Ini berbeza dengan hantu lain seperti pelesit yang menukar diri sebagai belalang.

Bakat pontianak dan langsuir pula mengganggu orang yang akan bersalin; afrit dan ifrit merupakan jin yang membuatkan manusia terleka; toyol pula hantu yang suka mencuri wang; juga terdapat jembalang yang hanya menyerupai diri sebagai binatang; penunggu dan puaka bertindak selaku hantu yang mendiami sesuatu tempat selalunya pokok besar.


Gambar hiasan. (Gambar: ADEK BERRY / AFP)

Selain dari itu terdapat hantu yang menjadikan orang sakit urat saraf iaitu polong; mambang, orang halus, siluman dan orang bunian adalah makhluk halus; kelambai adalah hantu gergasi perempuan yang berambut merah; gedembai adalah hantu yang boleh menyumpah orang menjadi batu; kemamang dan majang dikaitkan dengan hantu berkepala merah; sementara penanggal adalah hantu yang dikatakan perut terburai dan terbang ke sana sini; selain itu serindai adalah hantu air.

HANTU RAYA SEBAGAI PELIHARAAN

Semua hantu yang dinyatakan di sini tidak dapat mengatasi Hantu Raya. Hantu Raya juga dirujuk di dalam peribahasa dan diberi makna di dalam kamus sebagai; ‘hantu peliharaan untuk menjadi pengawal (suruhan) tuannya’.

Menurut rekod Profesor Lyman, Hantu Raya yang dibela ini selalu merasuk sasaran tertentu, dan apabila individu tersebut menjadi kasar, ganas, dan kemaruk secara tiba-tiba, tuannya akan muncul selaku dukun untuk menyembuhkan. Ahli keluarga mangsa akan membayar pengeras tanpa mengetahui perbuatan itu disengajakan.

Pembela Hantu Raya bagaimanapun mungkin mempunyai perspektif lain iaitu mereka adalah pengamal perubatan tradisional. Pembela Hantu Raya juga didakwa menggunakan belaan mereka untuk berkhidmat iaitu dengan melakukan kerja berat seperti menebas hutan dan meneroka tanah. Selain menjadikan belaan ia juga untuk menunjukkan diri mereka istimewa dan berwibawa .

BUKAN TUJUAN MENYERAMKAN

Terdapat beberapa pemaknaan di sebalik naratif hantu dalam kalangan orang Melayu. Tentu sahaja kisah-kisah hantu ini bukan sangat bertujuan untuk menyeramkan, atau menakutkan sasaran tertentu.

Akan tetapi cerita hantu mempunyai peranan atau fungsi seperti mendisiplinkan iaitu untuk menghindar perempuan, dan lebih khusus kanak-kanak agar tidak melilau di luar rumah pada waktu-waktu tertentu seperti senjakala.

James Noel McHugh yang menulis buku ‘Hantu hantu: an account of ghost belief in modern Malaya’ pada tahun 1955 membuat beberapa pembahagian jenis hantu orang Melayu . Menurut beliau Hantu Raya dan jenis-jenisnya sering dikaitkan dengan unsur alam seperti hutan, dan laut. Ia selalunya perkasa, bertenaga dan jahat.

Tanpa penjamuan hantu ini akan merosakkan manusia. Hantu inilah yang dikatakan boleh menyerupai apa sahaja termasuk pokok setinggi 15 kaki. Atau menjelma dengan hanya kepada tanpa badan, atau badan tanpa kepala.


Gambar hiasan. (Gambar: FREDERIC J. BROWN / AFP)

VARIAN LAIN HANTU RAYA

McHugh menamakan Hantu Pemburu, Hantu Lembong dan Hantu Rimba sebagai varian Hantu Raya. Hantu yang diciptakan oleh manusia adalah hantu yang digambarkan kononnya jahat tetapi dekat dengan manusia, dan biasanya diciptakan dengan tujuan tertentu, seperti menakutkan kanak-kanak agar bersopan dan lain-lain.

Hantu Pelesit, Hantu Polong, Hantu Penanggal dan Langsuyar jatuh dalam kategori hantu yang lebih peribadi ini.

Hantu yang bertugas untuk tujuan tertentu antara lain adalah untuk kekuatan, kekebalan, dan melakukan kejahatan seperti mencuri , mendengkikan kepentingan orang lain seperti mengacau perniagaan pesaing pula disenaraikan Hantu Dapor, Hantu Keramat, Pontianak, Pocong, Hantu Songkei dan Toyol.

Sejauh manakah hantu ini benar-benar berkesan dalam minda orang Melayu, dan diterima atau dipercayai tidaklah benar-benar diketahui. Dalam persembahan Mek Mulung, terdapat kepercayaan agar ‘seseorang pelakon itu menyeru sesuatu’ dan jika ‘tidak dijawab atau disambut oleh orang-orang lain yang turut bermain itu, maka persembahan itu akan mati maklat’.

Mati maklat bermaksud ‘persembahan itu tidak dapat diteruskan kerana ‘terganggu’ oleh hantu dan jin. Hal ini, penyeruan hantu dilakukan sebelum persembahan Mek Mulung dimulai dengan lagu pengenalan yang disebut ‘bertabuh’ iaitu peniupan serunai dan diikuti pula dengan alat-alat muzik lain.


Gambar hiasan. ​(Gambar: NUR / AFP)

MERAKAM PEMAKNAAN TERTENTU

Hantu adalah bahagian dari sastera lisan bangsa Melayu yang unik dan boleh merakam pemaknaan tertentu. Sebagai sastera lisan di bawah kategori memorat, ia berperanan untuk menggambarkan sesuatu situasi dengan pengalaman dan tujuan berunsur pendidikan tidak langsung.

Hari ini watak Hantu Raya yang dapat menjelma dalam pelbagai bentuk itu sering dikaitkan oleh orang Melayu dengan pemimpin atau ahli politik yang tidak bercakap benar, mengganggu orang lain dengan penindasan dan menghisap darah murbawan; selain dianggap sebagai penyusah dan sering memaksakan sasaran menjadi lemah dan akhirnya pasrah dicekik atau dibaham oleh mereka.

Hantu Raya ini akan dilemparkan kepada lawan politik dengan harapan, rakyat atau masyarakat akan mengasosiasikan pesaing politik itu dengan hantu yang tidak bertimbang rasa, dan tidak beriman. 

MENGENAI PENULIS:


(Gambar: Dr Mohd Faizal Musa)

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani, berusia 42 tahun, ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.

- BERITAMediacorp/aq

Top