Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Anjakan paradigma dalam mengatasi COVID-19 - sudahkah ia mencukupi?

Selepas melalui pelbagai wabak sebelum ini apakah pelajaran dan anjakan paradigma yang diperlukan dalam melawan COVID-19?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Selepas melalui pelbagai wabak sebelum ini apakah pelajaran dan anjakan paradigma yang diperlukan dalam melawan COVID-19?

Kemunculan virus korona COVID-19 pada lewat Disember tahun lalu di Wuhan, China yang disusuli dengan wabak tempatan dan kemudian di peringkat global telah mencetuskan pelbagai tindakan oleh pemerintah, syarikat dan masyarakat awam.

Berbilang pendekatan diambil dari segi ekonomi dan politik, contohnya, dengan menggubal dasar-dasar untuk mengekalkan penyaraan hidup pekerja dan keluarga.

Menguatkuasakan langkah-langkah menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai seperti penjarakan sosial atau jarak selamat.

Pembeli di cawangan NTUC FairPrice Northpoint City (Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Ini semua dilakukan sedang setiap negara dan institusi kesihatan awam masing-masing termasuk syarikat-syarikat perubatan antarabangsa berlumba dengan masa untuk menghasilkan vaksin bagi mencegah
COVID-19.

Bagi Singapura dan kebanyakan negara lain, ini bukanlah kali pertama dunia berhadapan dengan wabak-wabak yang boleh menjejas teruk pelbagai aspek kehidupan kita.

Masyarakat dunia sepatutnya sudah memperolehi banyak iktibar daripada wabak-wabak yang lalu dan membuat persiapan yang secukupnya dalam menghadapi penularan COVID-19.

Ia termasuklah dalam membuat anjakan paradigma yang diperlukan baik di peringkat antarabangsa, negara dan juga masyarakat.

ANCAMAN KEPADA GLOBALISASI

Ancaman wabak akibat penularan virus yang tercetus sejak seawal tahun 1980-an lagi, seperti HIV, SARS, MERS dan kini COVID-19, mengakibatkan perubahan pada pergerakan antara negara, pengangkutan barangan dan makanan, pelancongan dan kawalan sempadan antara negara.

Di Singapura, ia juga mengakibatkan banyak syarikat yang menggajikan ramai tenaga kerja asing menghadapi risiko lebih tinggi di tengah-tengah dasar-dasar yang mungkin menjejas para pekerja asing.

Syarikat-syarikat sedemikian perlu menyemak tujuan sebenar mereka beroperasi di negara ini. Mereka boleh menimbangkan untuk mengambil lebih banyak pekerja tempatan – baik pekerja-pekerja biasa mahupun pada peringkat pengurusan pertengahan dan tertinggi.

PERUBATAN ASAS

Banyak negara, termasuk negara-negara membangun, kurang bersedia menghadapi wabak COVID-19 kerana tidak mempunyai bekalan pelitup muka, perkakas perlindungan peribadi (PPE), sarung tangan dan ventilator yang mencukupi.

Sebaliknya, banyak negara yang menumpukan kepada alat-alat pengguna canggih, seperti model telefon bijak, televisyen bijak atau peranti yang terbaru tetapi mereka leka tentang peri penting mengekalkan bekalan perubatan asas yang memadai.

(Gambar: Reuters)

Namun, kini terdapat anjakan paradigma dalam kalangan sesetengah pengilang.

Misalnya, sebilangan syarikat pengilang China, termasuk rakan perniagaan Apple Inc, Foxconn, telah menyesuaikan kilang-kilang mereka untuk menghasilkan pelitup muka dan pakaian kakitangan perubatan, sedang virus COVID-19 merebak ke merata China.

Penghasilan bekalan perubatan ditekankan sebagai kepentingan tertinggi di negara itu, malah sebagai suatu yang menjejas keselamatan negara.

MERANCANG PENGHASILAN

Pemerintah kini perlu merancang untuk menghasilkan bekalan perubatan menerusi syarikat-syarikat yang berkaitan dengan pemerintah.

Kajian dan Pengembangan (R&D) untuk menbangunkan prototaip peralatan perubatan asas secara berkesan dari segi kos menjadi cabaran kepada ahli-ahli teknologi dan jurutera.

Sebagai contoh, di Singapura, Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) mereka bentuk pelindung muka yang boleh disesuaikan dan digunakan semula bagi melindungi para pekerja barisan hadapan, di tengah-tengah kekurangan peralatan perlindungan di merata dunia.

(Gambar: DSTA)

Pelindung muka FaceProtect+, yang boleh disesuaikan untuk mengikut bentuk muka, boleh membantu untuk melindungi kakitangan jagaan kesihatan daripada jangkitan COVID-19.

Seterusnya, alat bantuan pernafasan ventilator yang disesuaikan bagi pesakit tempatan mungkin akan dihasilkan.

Perubahan pada amalan harian apabila keadaan beransur pulih, seperti menggunakan pelitup muka ketika berasa kurang sihat atau berjumpa doktor, akan meningkatkan permintaan dan kos simpanan logistik.

Ini adalah antara perubahan paradigma yang perlu dipertimbangkan.

JAMINAN MAKANAN

Anjakan paradigma juga diperlukan berhubung penularan virus melibatkan soal pemakanan.

Contohnya, minuman yang dihasilkan daripada nira nyiur, seperti todi, dikatakan sebagai antara punca wabak Nipah di negara-negara tertentu Asia.

Kelawar dikaitkan dengan sebilangan wabak sebagai punca virus sebelum ia menjangkiti manusia secara langsung mahupun menerusi haiwan lain seperti babi, ular, unta dan kuda atau dengan memakan babi, ular dan unta yang terjangkit.

Lantaran itu, adalah penting untuk memikirkan tentang jaminan bekalan makanan dan keselamatan makanan, sumber makanan haiwan ternakan, persekitaran ladang, kebersihan air dan ubat-ubatan untuk mencegah penyakit dalam haiwan-haiwan.

Sayur-sayuran dan buah-buahan yang dimakan juga perlu dinilai sama ada ia bebas daripada pencemaran besi, kimia beracun dalam tanah dan menyediakan zat nitrogen dan fosferus secara mampan.

Sudah tiba masanya pemerintah di negara-negara tertentu melarang pemakanan haiwan-haiwan liar.

MENGAMBIL TELADAN

Yang pastinya, keadaan tidak akan kembali kepada normal sepenuhnya.

Kita berdepan dengan persekitaran baru yang penuh dengan cabaran, lebih-lebih lagi di tengah-tengah wabak COVID-19.

Bagi mengatasi cabaran-cabaran sedemikian, kita mungkin perlu mengubah pemikiran dan membuat penyesuaian tertentu, di tengah-tengah polarisasi dalam kalangan masyarakat dan juga antara negara.

MENGENAI PENULIS:

Dr Maszenan Abdul Majid adalah felow penyelidik kanan dari Institut Sekitaran dan Kajian Air Universiti Teknologi Nanyang (NTU).   

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan