Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Anda sudah sedia untuk hidup sampai usia 100 tahun di Singapura?

Sudahkah anda bersedia untuk hidup sehingga usia 100 tahun? Adakah anda mempunyai simpanan yang cukup untuk menikmati tempoh persaraan yang lebih panjang? Adakah anda mempunyai kemahiran yang membolehkan anda kekal bekerja di usia senja? 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Anda sudah sedia untuk hidup sampai usia 100 tahun di Singapura?

Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Zainal Sapari. (Gambar: Zainal Sapari/ Facebook)

Sudahkah anda bersedia untuk hidup sehingga usia 100 tahun? Adakah anda mempunyai simpanan yang cukup untuk menikmati tempoh persaraan yang lebih panjang? Adakah anda mempunyai kemahiran yang membolehkan anda kekal bekerja di usia senja?

Namun soalan berkaitan yang perlu dijawab ialah sama ada anda sudah bersedia untuk hidup selama 100 tahun. Jangka hayat yang semakin panjang di banyak negara merupakan sebuah fenomena global.

Kajian menunjukkan bahawa jangka hayat global akan meningkat pada purata 2.5 tahun bagi setiap dekad, iaitu peningkatan sebanyak tiga bulan pada setiap tahun atau enam jam sehari.

Jangka hayat Singapura meningkat 3.5 tahun setiap dekad. Jadi sekiranya anda dilahirkan di antara tahun 1960-an dan 1990-an seperti saya, separuh daripada kita boleh menjangkakan dapat hidup melampaui usia 90 tahun.

Bagi mereka yang lahir dari tahun 2000 dan seterusnya, 50 peratus daripada mereka boleh hidup melampaui usia 100 tahun.

HIDUP 100 TAHUN, BERMAKNA KERJA LEBIH LAMA

Sekiranya para pekerja kita hidup sehingga usia 100 tahun, ia bermakna kita perlu bekerja lebih lama, atau lebih banyak menabung.

Kumpulan-kumpulan pekerja yang berbeza-beza akan menghadapi cabaran yang berlainan tetapi semua pekerja perlu mempunyai pemikiran yang betul kerana peningkatan diri dan latihan semula akan menjadi norma untuk kita sesuaikan diri dengan pekerjaan baru dan memiliki kemahiran-kemahiran yang diperlukan ekonomi akan datang.

Jika tidak, kita akan berdepan dengan masa-masa sukar di waktu kita meniti usia 100 tahun. Sebilangan daripada kita sudahpun mengalaminya. Meskipun sudah menjalani latihan semula, mungkin ada kos peralihan yang besar apabila seseorang pekerja beralih dari satu industri kepada industri lain yang memerlukan kemahiran yang berbeza.

Sekiranya kita seorang pekerja matang yang memegang jawatan pengurus kanan, kita perlu mempersiapkan diri dari segi mental untuk mengambil jawatan yang lebih rendah untuk memberi laluan kepada rakan-rakan kerja yang lebih muda.

Segala macam emosi, rasa bangga dan rasa berhak menikmati keistimewaan tertentu akan mempengaruhi perasaan seseorang pekerja apabila mereka beralih dari satu peringkat ke peringkat yang lain.

TOLAK AMALAN AMBIL PEKERJA MUDA SAHAJA

Namun, rakyat Singapura harus mempunyai pemahaman yang jelas tentang faedah-faedah berkaitan kemahiran seperti Kredit SkillsFuture.

Sudah tiba masanya mereka menggunakan dana ini dengan lebih baik untuk meraih kemahiran-kemahiran yang akan benar-benar membantu mereka mendapatkan pekerjaan di peringkat kehidupan mereka yang seterusnya (contohnya, mengambil kelas gubahan bunga hanya jika anda berminat untuk bekerja dalam industri perusahaan bunga dan bukan kerana anda mahu menggunakan sepenuhnya Kredit SkillsFuture anda!).

Walau bagaimanapun, persediaan untuk hidup sehingga usia 100 tahun bukan setakat usaha peribadi.

Pemikiran masa kini yang membentuk dan menguasai dasar-dasar sumber manusia mungkin perlu diubah secara radikal.

Kita perlu menolak amalan biasa pertubuhan-pertubuhan yang lebih cenderung menggajikan para pekerja yang lebih muda dan memberi peluang kepada pekerja yang lebih tua, iaitu generasi yang lebih bijaksana.

Bayangkan keadaannya apabila usia 100 tahun menjadi norma – apakah peluang-peluang yang terbuka untuk syarikat-syarikat nanti?

Bagaimanakah syarikat-syarikat dapat memanfaatkan kekuatan tenaga kerja yang berbilang generasi di tempat kerja?

Tiada jawapan yang mudah, tetapi mengambil tindakan sekarang besar kemungkinan akan menghasilkan tahap kejayaan yang lebih tinggi tanpa menghiraukan hakikat bahawa ramai pekerja akan hidup sehingga 100 tahun dan akan ada kekurangan pekerja muda ekoran kadar kelahiran yang semakin merosot.

(Gambar: Zainal Sapari/ Facebook)

(Gambar: Zainal Sapari/ Facebook)

SYARIKAT PERLU REKA SEMULA PEKERJAAN

Syarikat-syarikat perlu memikirkan bagaimana mereka dapat mereka semula pekerjaan pada skala yang lebih besar. Penggunaan teknologi robotik untuk menggantikan pekerjaan-pekerjaan yang boleh diautomasikan tidak lagi dapat dielakkan.

Di peringkat nasional, dasar-dasar sekarang perlu diperhalusi, malah juga dirombak semula sebagai persediaan menghadapi rakyat yang bakal hidup sehingga usia 100 tahun.

Maksudnya, jika kita inginkan hasil yang berbeza, kita mesti melakukan sesuatu yang berbeza; dan untuk mencapainya, kita perlu berfikir dengan cara yang berbeza.

Untuk berfikir secara berbeza, kita perlu mempersoalkan andaian-andaian yang kita gunakan untuk menggubal dasar-dasar tersebut.

Pada masa ini, usia persaraan di Singapura ialah 62 tahun, dengan pilihan untuk melanjutkannya kepada 67 tahun. Langkah melanjutkan "usia bekerja" mendapat maklum balas yang bercampur-campur dari para pekerja.

Memandangkan realiti masa depan, usia persaraan kita mesti dilanjutkan dari masa ke masa agar sesuai dengan kohort umur di mana lebih ramai pekerja mungkin hidup sehingga usia 100 tahun.

HARUS JADI KEUTAMAAN NEGARA

Melanjutkan usia persaraan akan memastikan adanya aliran pendapatan yang stabil untuk mengekalkan mata pencarian kita. Usaha-usaha untuk mereka semula pekerjaan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang semakin menua hendaklah dijadikan keutamaan negara dan harus dilaksanakan dalam masa terdekat.

Dasar-dasar WorkPro untuk menggalakkan dasar-dasar sumber manusia dan persekitaran tempat kerja yang mesra pekerja tua perlu lebih agresif.

Jika pujukan moral tidak berkesan, pendekatan undang-undang mungkin menjadi pilihan yang paling berkesan dan praktikal untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk para pekerja kita menjalani kehidupan selama 100 tahun ini.

Jika dibiarkan, ramai pekerja akan terdedah kepada kemiskinan di usia senja mereka.

BAGAIMANA NAIKKAN BAYARAN PERSARAAN

Dasar-dasar CPF kita untuk simpanan persaraan yang mencukupi perlu dikaji semula. Besar kemungkinan pembayaran sebanyak $1,200 di bawah Skim Jumlah Persaraan Penuh tidak akan mencukupi kerana inflasi akan mengurangkan nilai sebenarnya di masa hadapan.

Sudah dapat disimpulkan bahawa jumlah barangan dan perkhidmatan yang boleh diperolehi dengan wang sebanyak $1,200 akan berkurangan dalam masa 40 tahun dari sekarang.

Oleh itu, para penggubal dasar perlu meneliti bagaimana pembayaran persaraan boleh dinaikkan di sepanjang tempoh persaraan, tetapi ia perlu dapat dipertahankan bagi tempoh yang tidak terbatas.

Mungkin kita perlu pertimbangkan untuk menambah jumlah persaraan penuh kita dengan meningkatkan peratusan mata sumbangan ke dalam Akaun Khas; dan ini boleh dilakukan dengan meningkatkan peratusan mata sumbangan CPF majikan secara beransur-ansur kepada 20 peratus.

Memandangkan langkah sedemikian sudah pasti akan ditentang para majikan, pemerintah mungkin boleh menggubal undang-undang untuk menentukan kadar sumbangan CPF yang sama untuk semua pekerja tanpa mengira usia.

Jika tidak, pemerintah perlu memikul tanggungjawab sekiranya 50 peratus daripada rakyat negara ini tidak mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi sehingga usia 100 tahun.

LUASKAN SKIM BELI BALIK PAJAKAN KEPADA SEMUA WARGA TUA

Hartanah merupakan aset yang dimiliki ramai rakyat Singapura. Ini juga merupakan aset yang boleh digunakan untuk menokok perbelanjaan persaraan. Walau bagaimanapun, Skim Beli Balik Pajakan HDB yang ada sekarang terlalu menghadkan kerana ia disasarkan kepada pemilik warga tua yang tinggal di flat empat bilik.

Ini sudah tentu berdasarkan beberapa andaian yang dibuat para penggubal dasar tentang warga tua yang tinggal di flat-flat HDB. Pendekatan yang lebih agresif adalah untuk melanjutkan skim pajakan beli balik itu kepada semua warga tua yang tinggal di flat HDB.

Membenarkan warga tua terus tinggal di flat-flat HDB mereka sehingga usia senja mereka merupakan satu langkah penuh ihsan dan pada masa yang sama, memastikan mereka mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menyara kehidupan seharian.

Saya baru sahaja menyentuh tentang beberapa implikasi yang boleh berlaku sekiranya kita hidup sehingga usia 100 tahun. Kesannya dapat dirasakan di semua peringkat kehidupan dari hubungan peribadi hingga kepada yang menyentuh dasar-dasar negara.

Kisah hidup anda selama 100 tahun akan bergantung kepada tindakan-tindakan yang anda ambil sekarang untuk meraih manfaat daripada “masa tambahan" dalam hidup kita.

Sudahkah anda memahami tentang tindakan segera yang perlu diambil?


MENGENAI PENULIS:
Zainal Sapari ialah Penolong Setiausaha Agung NTUC. Berusia 52 tahun pada tahun ini, beliau menjadi Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol sejak tahun 2011. Sebelum menjadi seorang wakil rakyat, graduan Sarjana Sastera dalam Pengurusan Pendidikan ini berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan selama 20 tahun. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan