Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Anak anda dibuli? Apa yang ibu bapa boleh lakukan?

Pembulian boleh berlaku di mana-mana termasuk di rumah, di sekolah mahupun di tempat kerja. Apa peranan ibu bapa dalam membantu anak-anak berhadapan dengan pembulian?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Anak anda dibuli? Apa yang ibu bapa boleh lakukan?

(Gambar fail: Reuters)

BERITAmediacorp: Pembulian boleh berlaku di mana-mana termasuk di rumah, di sekolah mahupun di tempat kerja. Apa peranan ibu bapa dalam membantu anak-anak berhadapan dengan pembulian?

Saya pernah dibuli oleh teman sedarjah semasa umur saya tujuh tahun - darjah satu. Itu satu rahsia yang saya simpan dari ibu bapa saya dan hanya diluahkan setelah saya berumah tangga dan mempunyai anak yang akan melangkah ke sekolah.

Bibit-bibit peristiwa itu sudah pudar dari ingatan, tetapi perasaan yang terkesan kerana dibuli masih terlekat di minda – marah, sedih, terhina dan ketidakadilan berkecamuk.

Ia tenggelam di bawah sedar dan akan timbul semula apabila terdengar perkara yang sama dialami oleh seseorang mangsa buli.

Gambar hiasan. (Gambar: merdeka.com)

Buli adalah fenomena yang tidak akan dapat dinyahkan selagi ada ketidakseimbangan kuasa dan keistimewaan (privilege) darjat.

Apabila seseorang dilihat sebagai lemah, mereka yang mempunyai kuasa akan mengambil kesempatan untuk menindas.

Oleh kerana kuasa (atau tanggapan mempunyai kuasa) adalah teras perilaku seorang pembuli, apa sahaja yang ada dalam diri si mangsa boleh dijadikan bahannya untuk membuli – paras rupa, berat badan, kurang kecerdasan atau teramat cerdik, berkacamata, cara bertutur, cara berjalan dan bermacam-macam lagi.

JERAT PEMBULIAN

Jika ia dapat menyakitkan hati dan menjatuhkan maruah si mangsa, itulah yang digunakan.

Buli dilakukan dengan kata-kata kesat, ancaman keganasan, sebaran fitnah dan juga kekerasan fizikal.

Buli memberikan suatu kepuasan kepada si pelaku tentang kekuasaan yang dia ada. Pembulian boleh dilakukan oleh individu atau secara kumpulan; oleh yang dikenali mangsa atau oleh orang yang mangsa tidak kenali langsung seperti di media sosial.

Gambar fail aplikasi-aplikasi media sosial yang biasa digunakan orang ramai. (Gambar: AFP/ Kirill Kudryavtsev)

Pembulian berlaku di merata tempat dan sekitaran – di rumah oleh adik-beradik, di sekolah oleh teman sedarjah, semasa perkhidmatan negara oleh rakan-rakan platun, di pejabat oleh pengurus, majikan atau teman sekerja; dan juga di ruang maya siber oleh netizen.

Keperitan menanggung derita dibuli boleh membawa kepada kemurungan sehingga ke tahap membunuh diri.

Ini adalah satu kenyataan serius bagi anak-anak remaja. Mereka merasakan sukar untuk keluar dari jerat pembulian kerana menganggap tiada pihak yang dapat membantu dan membuat aduan hanya akan menambahkan lagi risiko mereka dibuli dengan lebih kejam.

Di Korea dan Jepun misalnya, masalah dibuli adalah sebab utama remaja membunuh diri.

PERANAN UTAMA

Sebagai ibu bapa kita akan melenting apabila menyedari anak kita dianiaya sebegini di sekolah. Kita ingin melindungi dan menyelamatkan mereka.

Kita ingin membawa perkara ini ke pengetahuan pihak berkuasa dan mahukan keadilan.

Kita berpendapat: sekolah harus mengajar muridnya untuk menghormati antara satu sama lain. Yang salah harus dinasihati atau dihukum.

Si mangsa perlu dibelai agar dapat meneruskan persekolahan dengan rasa lebih selamat.

Tidak dinafikan, pengetua dan guru bertanggungjawab untuk memastikan maslahat dan keselamatan anak-anak murid mereka terpelihara sebagai tambahan kepada tugas utama mereka.

(Gambar hiasan: Nuria Ling/TODAY)

Guru memastikan kurikulum pembelajaran disampaikan dengan baik, merangsang penimbaan ilmu dan menjadikan suasana persekolahan sesuatu yang bermanfaat bagi setiap murid.

Guru-guru yang peka terhadap tingkah laku anak murid mereka pula akan dapat mengesan dan menangani masalah disiplin seperti gejala buli ini sebelum ia menjadi mudarat.

Walau bagaimanapun, ibu bapa masih perlu memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak.

BERMULA DI RUMAH

Tanggungjawab mendidik anak-anak supaya menghormati antara satu sama lain harus dimulakan di rumah dan bukan dipikul di pundak guru semata-mata.

Rumah adalah madrasah pertama anak-anak kita. Mereka yang dikesan melakukan buli di sekolah boleh didisiplinkan dengan hukuman atau kaunseling.

Tetapi apakah tindakan susulan ibu bapa untuk memperbetulkan tingkah laku anak-anak ini supaya pembulian tidak berulang?

Adakah ibu bapa lebih senang menyalahkan kurang keberkesanan pendidikan di sekolah dari bermuhasabah diri apa yang menyebabkan si anak sehingga menjadi sedemikian?

Pembangunan akhlak adalah tugas utama ibu bapa. Sifat hormat, belas kasihan, peduli , kasih sayang dan semua yang baik perlu membenih dari rumah.

(Gambar: Dan Burton/Unsplash)

Hasilnya ditunjukkan semasa di sekolah, di luar pantauan ibu bapa. Apakah yang telah kita lakukan untuk menjadikan anak-anak kita lebih peka terhadap perasaan rakan. Apakah contoh yang telah kita tunjukkan?

Sebaliknya, dari manakah kata-kata yang menyakitkan hati dipelajari? Pernahkah kita melemparkan kata-kata yang menyinggung perasaan - bodoh, dungu, lembab kepada ahli keluarga dan anak-anak kita sendiri?

PERSIAPKAN ANAK-ANAK

Semasa menonton bola sepak bersama anak, apakah yang kita jeritkan kepada penjaga gawang yang membiarkan bola membolosi gawang mereka, atau mungkin kepada ‘referee kayu’?

Pernahkah kita memarahi jurujual di depan anak-anak kita kerana mereka tersilap atau terlambat membawa pesanan makan ke meja? Anak-anak menilai tingkah laku mereka dari contoh yang mereka lihat.

Ibu bapa juga perlu mempersiapkan anak-anak supaya mereka dapat bertahan daripada menjadi mangsa buli.

(Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

Kita tidak akan berada bersama mereka setiap detik dalam kehidupan mereka. Anak-anak kita akan berhadapan dengan orang-orang, walaupun teman sebaya yang akan cuba menindas kerana mereka jauh lebih kuat, lebih berkuasa, mempunyai lebih ramai teman, lebih popular dari anak kita.

DAPATKAN BANTUAN

Adakah anak kita akan hanya memendam perasaan? Adakah mereka rasa selamat untuk mengongsi pengalaman sedih in dengan kita atau adakah akan bertambah cemuhan dari kita kerana mereka ‘tidak macho’ untuk melawan semula?

Anak-anak perlu rasa konfiden di hadapan pembuli dan tidak mudah goyah dengan kata-kata nista.

Sekumpulan pelajar Darjah 5 mencampakkan nota ini dan nota-nota lain ke arah seorang rakan sekelas dalam satu kes buli di Sekolah Mee Toh. (Gambar: @4YSLZ)/Twitter)

Anak-anak perlu mempunyai hubungan dengan mereka yang dapat memberikan sokongan seperti rakan-rakan yang setia dan orang dewasa yang memberikan sokongan.

Anak-anak perlu mempelajari cara-cara berkomunikasi secara tegas tetapi sopan bukan dengan membalas dengan kata-kata yang kesat juga.

Ajarkan anak-anak apakah had sesuatu tingkah laku yang boleh dan tidak boleh diterima agar mereka faham bila tiba masanya untuk mendapatkan bantuan daripada orang dewasa.

BERDIRI TEGAK

Yang penting, anak anda perlu rasa diri mereka disayangi oleh orang-orang yang penting dalam hidupnya kerana inilah ubat hati lara.

Rasulullah sendiri telah dibuli oleh mereka yang lebih berkuasa. Mereka membuat kehidupannya payah dan kadangkala mendatangkan kesedihan.

Walaupun begitu, pembulian tidak menghancurkan semangat dan peribadi beliau. Kita tidak mahu anak kita merubah menjadi pembuli dengan menunjukkan keganasan sebagai tindak balas.

(Gambar fail: TODAY)

Kita perlu mendidik anak kita supaya dapat berdiri tegak dengan jati diri yang utuh walaupun dilempar dengan kata-kata dan perbuatan yang zalim.

Ibarat bongkah batu yang di tengah sungai, ia berdiri tegak kerana dapat membelah arus yang melanda.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan