Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Amerika yang lebih kukuh dan sepadu atau berpecah; apa pengajaran kepada dunia

Bolehkah kita berasa lega apabila pentadbiran baru di bawah Joe Biden akhirnya mengambil alih kuasa di Amerika. Apa yang boleh diharapkan dunia dengan peralihan kuasa ini?  

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Amerika yang lebih kukuh dan sepadu atau berpecah; apa pengajaran kepada dunia

Joe Biden dan Kamala Harris bersama pasangan masing-masing semasa upacara memperingati 400,000 nyawa yang hilang akibat COVID-19. (Gambar: AP/Evan Vucci)

Sejurus mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Amerika yang ke-46, Encik Joe Biden terus menyampaikan amanat penting beliau yang pertama kepada rakyat Amerika.

Beliau menjanjikan harapan bahawa keadaan akan kembali bertambah baik di Amerika selepas empat tahun yang penuh dengan ketegangan dan keadaan tidak menentu di bawah pentadbiran Presiden Trump.

Tetapi untuk mencapai keadaan yang lebih baik itu Amerika perlulah menjalani ‘reset’ atau pembaikan semula bagi membolehkannya menangani dengan jaya  cabaran-cabaran ‘winter of peril’ (atau ‘musim yang kelam’).

Biden menjanjikan harapan bahawa seberat mana sekalipun cabaran-cabaran tersebut ia boleh diatasi dengan adanya perpaduan dan kesatuan hati  sesama rakyat.

Amerika Syarikat yang diwarisi oleh Joe Biden bukan sahaja berhadapan dengan krisis pandemik COVID yang amat serius, krisis ekonomi, perniagaan dan pekerjaan, cabaran sekitaran, isu perkauman, fahaman pelampau politik dan pengganasan domestik (terutama dari kalangan pelampau sayap kanan kulit putih).

Semua isu ini memanglah berat-berat belaka walaupun bagi sebuah kuasa besar seperti Amerika. Apatah lagi jika ada sesetengah pemimpin politiknya sendiri yang mahu mengambil kesempatan dengan mengadu-dombakan segala isu dan keretakan dalam masyarakatnya.

Benar bahawa ada isu-isu yang menghantaui Amerika hari ini memang bukan berpunca daripada pemimpin seperti Trump.

Namun disebabkan oleh ketidakcekapan kepimpinanannya, malah juga disebabkan oleh keperibadian Trump yang kurang sekali dari segi unsur kejujuran dan ketulusan, menyebabkan cabaran-cabaran yang dihadapi semakin memburuk lagi.

BERASA LEGA

Ramai juga pengamat yang melihat bahawa cabaran yang dihadapi oleh Amerika sejak empat tahun lalu bolehlah dipersalahkan langsung ke atas Trump dan kalangan tokoh politik parti Republican yang bersekongkol dengannya.

Lihat sahaja hasutan Trump supaya penyokong-penyokongnya melancarkan pemberontakan ke atas Kongres dua minggu lalu.

Ia jelas adalah percubaan rampasan kuasa yang cukup berbahaya. Sekiranya ia berjaya – dengan proses pengesahan kemenangan Joe Biden tergendala dan menjadi kucar kacir – bayangkan kesannya ke atas kestabilan Amerika dan juga dunia keseluruhannya.

Kini Amerika dan dunia sekurang-kurangnya bolehlah berasa lega sedikit dengan meletakkan harapan bahawa segala kekacauan dan pergolakan selama di bawah Trump akan berakhir jua.

(Gambar: AFP)

Seperti yang ditegaskan dalam ucapan beliau,  Presiden Biden melihat cabaran yang dihadapi Amerika mestilah ditangani secara bersama dengan semua pihak haruslah akui bahawa ‘perang saudara’ yakni ketegangan sesama rakyat diketepikan sama sekali.

BERPUTIK LEBIH AWAL

Menurut beliau tanpa adanya perpaduan sesama mereka, tidak akan ada pedamaian melainkan perasaan marah dan membenci sahaja. Dan tanpa perpaduan, negara tidak akan menjadi utuh, malah terus dalam keadaan kacau bilau.

Sedang rakyat Amerika dan dunia mengalu-alukan pentadbiran Presiden Biden dengan jangkaan bahawa keadaan mungkin menjadi bertambah baik dibandingkan di bawah Presiden Trump, sikap berhati-hati dan waspada perlulah juga diamalkan.

Antara sebabnya adalah, banyak juga cabaran dan tekanan baik dalam soal ekonomi, politik dan sosial di Amerika sebenarnya bukan bermula daripada Trump.

Ia telah wujud dan berputik lebih awal dengan kepimpinan seperti Trump memburukkannya lagi baik kerana kurang kecekapan pentadbiran ataupun kerana ciri kepimpinan oportunistik Trump yang banyak mengambil kesempatan daripada masalah dan cabaran yang dihadapi rakyat.

Misalnya, kejayaan beliau dalam mengambil alih tampuk kepimpinan parti Republican dan kemudian berjaya memperolehi sokonngan jutaan pengundi Amerika, adalah dengan mengambil kesempatan daripada isu-isu masalah golongan kelas pekerja dan pertengahan terutama sekali daripada golongan kulit putih.

BERAKAR UMBI

Kepimpinan Trump banyak melaga-lagakan rasa tidak senang antara satu kumpulan dengan yang lain – antara kulith putih dengan kumpulan minoriti, antara golongan konservatif dengan liberal, antara kumpulan pelampau (termasuk kumpulan yang percaya dengan pelbagi konspirasi) dengan kumpulan-kumpulan sederhana.

Besar kemungkinan dengan tamatnya  tempoh pentadbiran Trump tidaklah bermakna bahawa semua jurang perbezaan ini dan juga segala tekanan politik dan sosial yang berpunca daripadanya akan turut berakhir.

Banyak punca kegelisahan sekarang telah berakar umbi sejak sekian lama, ada yang mungkin menjadi semakin buruk ekoran krisis ekonomi sejagat tahun 2008 yang menyebabkan banyak golongan pekerja dan kelas pertengahan Amerika terjejas teruk.

Diburukkan dengan perubahan ekonomi seterusnya seperti digitalisasi, penstrukturan semula ekonomi dan pergeseran dagangan yang berpanjangan, menimbulkan pelbagai kegenjotan ekonomi dan kehidupan bagi kebanyakan pekerja.

MUDAH TERDEDAH

Perasaan kehilangan besar akibat perubahan mendadak ini menyebabkan kebanyakan mereka yang terjejas mudah terdedah kepada pengaruh-pengaruh dan fahaman yang berupa hasutan.

Pada awal-awalnya kegelisahan dan rasa resah golongan terjejas ini, terutamanya golongan pekerja kulit putih  dilahirkan dengan mereka  memberikan sokongan kepada pucuk pimpinan parti Republican dari sayap ‘Tea Party’.

Sejak lebih sedekad lalu, gerakan ini semakin menjadi tegar dalam parti tersebut sehinggalah mereka berjaya menumpaskan tokoh-tokoh politik sederhana, yang digantikan dengan kepimpinan yang lebih lantang dan ekstrem seperti Donald Trump dan konco-konconya.

Segala huraian bagi pentadbiran Biden untuk membuat ‘reset’ bagi masyarakat Amerika jelas rumit dan memerlukan jangka masa yang agak panjang.

BERSIAP SIAGA

Pada masa yang sama sekirannya segala usaha untuk ‘mengatur semula’ ekonomi dan masyarakat negara itu gagal menghasilkan natijahnya dalam masa beberapa tahun akan datang, kita boleh menjangkakan kesenjangan dan ketegangan sebegini bakal berterusan.

Jika ini terus berlaku,  baik Amerika dan juga dunia perlulah bersiap siaga bahawa sejarah mungkin berulang lagi. Kemungkinan  kepimpinan ala-Trump – malah dalam bentuk Trump sendiri – kembali semula ke medan politik tidak boleh diketepikan sama sekali.

Bagi kita yang sentiasa bergantung kepada kemantapan dan keamanan sejagat yang sejak sekian lama berpaksikan kepada kepimpinan Amerika, tentunya mengharapkan kejayaan sepenuhnya bagi pentadbiran Biden mengharungi liku-liku cabaran yang dihadapi. 

 

 

Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan