Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Amerika Syarikat dan kepimpinannya yang berbelah bahagi; apa kesannya kepada dunia

Dengan keputusan pilihan raya Dewan Senat belum diketahui, bagaimana pentadbiran baru Joe Biden berdepan dengan kepimpinan Dewan Kongres yang berbelah bahagi untuk melaksanakan dasar-dasar beliau?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dengan keputusan pilihan raya Dewan Senat belum diketahui, bagaimana pentadbiran baru Joe Biden berdepan dengan kepimpinan Dewan Kongres yang berbelah bahagi untuk melaksanakan dasar-dasar beliau?

Kebanyakan pengamat politik dan pasaran kewangan memang menjangkakan kemenangan besar Parti Democrat dalam pilihan raya di Amerika Syarikat baru-baru ini. Walaupun keputusan rasmi belum diisytiharkan, kiraan undi yang hampir selesai jelas menunjukkan Encik Joe Biden bakal memenangi sehingga 306 undi perwakilan.

Dalam pilihan raya Dewan Senat pula, kedua-dua parti Democrat dan Republican masing-masing dengan 48 kerusi, sementara 4 lagi kerusi belum ditentukan. Keputusan pilihan raya Senat dijangka dimuktamadkan menjelang akhir Januari 2021.

Rakyat Amerika meraikan kemenangan Joe Biden sebagai bakal presiden Amerika. (Gambar: AP/Julio Cortez)

Perkembangan tersebut bukan sahaja akan mendatangkan kesan kepada dasar dalam dan luar negeri Amerika Syarikat tetapi juga kepada negara-negara lain di merata dunia.

Di sini saya ingin mengongsi pandangan tentang kecenderungan dasar bakal Presiden Joe Biden dalam isu-isu penting seperti hubungan Amerika Syarikat-China, soal kewangan dan cukai, kesihatan dan pembendungan COVID-19 dan kesannya kepada dunia dan Singapura.

HUBUNGAN AS-CHINA

Dari segi hubungan Amerika Syarikat-China, dasar Encik Biden bagi membendung kebangkitan China mungkin serupa dengan pendekatan mantan Presiden Barack Obama, iaitu untuk mengambil pendirian pragmatik dan rasional.

Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Joe Biden. (Gambar: AP/Carolyn Kaster)

Pada zahirnya Amerika Syarikat mungkin akan berdamai dengan China dari segi kerjasama antarabangsa. Namun ia tetap akan mengekalkan persaingan dalam bidang-bidang seperti teknologi dan perdagangan menerusi subsidi, insentif cukai dan sebagainya.

Kemungkinan Amerika Syarikat bergantung kepada dasar tarif adalah tipis. Kesan susulan negatif kepada ASEAN akibat dasar-dasar perdagangan Amerika mungkin menjadi lebih sederhana.

Sebelum ini Encik Biden menunjukkan sokongan strategik walaupun tidak jelas kepada Taiwan. Beliau mungkin akan terus menyokong Taiwan menerusi bantuan ketenteraan namun tidak secara terang-terangan bagi mencegah penyatuan dengan tanah besar China secara paksa.

Secara ringkasnya, besar kemungkinan Encik Biden tidak akan mencetuskan perang perdagangan ataupun melonggarkan tarif-tarif terhadap China yang sedia ada.

Sedang Presiden Donald Trump menguar-uarkan perang perdagangan dengan China sebagai salah satu dasar unggulnya, Encik Biden yang pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden, mungkin lebih cenderung menangani pertikaian dengan China menerusi pendekatan berbilang hala.

KEBANGKITAN CHINA

Kita boleh menjangkakan Amerika Syarikat akan mengadakan perbincangan tertutup dengan negara-negara sekutu dan rakan untuk membentuk gabungan yang kukuh dalam usaha menentang atau membendung China.

Encik Biden mungkin akan memilih untuk menjauhi pendekatan Encik Trump dan mengelak penguatkuasaan tarif sama sekali.

Pemansuhan tarif adalah syarat penting bagi China dan AS mencapai fasa pertama perjanjian perdagangan. (Gambar: Aly Song/Reuters)

Tanpa ancaman tarif yang menyuntik ketidakstabilan dalam pasaran pertukaran wang dan perniagaan, pendekatan Encik Biden sedikit sebanyak boleh mewujudkan kestabilan pasaran dan sentimen serta ketentuan perdagangan global, yang lazimnya memanfaatkan negara-negara serantau yang bergantung kepada perdagangan.

Namun ia tidak semestinya bermakna hubungan Amerika-China akan bertambah baik pada dasarnya sebaik saja Encik Biden menyandang jawatan Presiden.

Amerika Syarikat tetap akan mencari jalan untuk menyekat kebangkitan China dan mengekalkan persaingan dalam pelbagai isu luas seperti teknologi dan perdagangan.

KERJASAMA PERDAGANGAN

Encik Biden juga dijangka akan membentuk gabungan luas dengan negara-negara rakan dan lebih bergantung kepada, atau bekerjasama dengan, institusi-institusi antarabangsa sedia ada. Ini akan menggalak ketentuan dalam dasar luar Amerika Syarikat.

Pendampingan semula dengan negara-negara yang menyertai Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) dan Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan Rentas Atlantik (TTIP) masing-masing boleh membawa kesan positif kepada negara-negara ASEAN (termasuk Singapura) dan Kesatuan Eropah (EU).

Gambar: CLAUDIO REYES/AFP

Pentadbiran Biden juga mungkin menimbangkan pemeteraian semula perjanjian nuklear dengan Iran. Usaha untuk menjalin kerjasama antarabangsa dalam menangani perubahan iklim juga mungkin akan dihidupkan semula.

Bagi ekonomi-ekonomi kecil dan terbuka seperti Singapura, dasar-dasar tersebut akan menjadi positif kerana perdagangan global mungkin mendapat sokongan dan ransangan.

KESAN COVID-19

Dari segi dasar kewangan dan cukai, rangsangan ekonomi pada jangka terdekat di tengah-tengah pandemik COVID-19 pada masa ini akan mendatangkan lebih banyak bantuan kepada pemerintah-pemerintah peringkat wilayah dan tempatan dan para penganggur.

Pada jangka lebih panjang, pasaran menjangkakan perbelanjaan pemerintah lebih AS$7 trilion (S$9.4 trilion) sepanjang sepuluh tahun mendatang, termasuk AS$2 trilion (S$2.7 trilion) bagi pelaburan dalam syarikat-syarikat dan projek-projek mesra alam dan AS$1.2 trilion (S$1.6 trilion) dalam prasarana serta AS$750 bilion dalam jagaan kesihatan.

(Gambar: Reuters)

Namun, pasaran kewangan juga mungkin dibebani peningkatan cukai sebanyak AS$4 trilion (S$5.3 trilion) ke atas syarikat-syarikat, pelaburan dan golongan mewah Amerika Syarikat.

Dari segi jagaan kesihatan dan usaha membendung penularan COVID-19, pentadbiran Biden dijangka menggiatkan ujian mengesan COVID-19 dan meningkatkan penyelarasan bekalan perubatan dan bantuan jagaan kesihatan.

Pentadbiran baru itu besar kemungkinan lebih berhati-hati dalam mengambil keputusan untuk membenarkan lebih banyak kegiatan disambung semula. Akta Jagaan Dimampui (Affordable Care Act) juga dijangka diperkukuhkan.

TIDAK SEHALUAN

Pentadbiran Biden dijangka akan mencuba untuk mengusulkan pakej rangsangan COVID-19 bersama dengan saranan untuk menaikkan cukai dan memperluaskan perlindungan jagaan kesihatan.

Namun dengan senario Kongres yang berpecah - Parti Republican menguasai Dewan Senat dan Parti Democrat mengekalkan majoriti kerusi Dewan Perwakilan - mungkin menyebabkan rancangan Encik Biden perlu ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya separuh penggal pada 2022.

Buat sementara ini, beliau perlu bekerjasama dengan Kongres yang tidak sehaluan untuk menyokong saranan-saranannya tetapi beliau besar kemungkinan akan berdepan dengan banyak lagi rintangan.

Presiden dipilih Joe Biden dan isterinya melambai kepada para penyokong selepas menyampaikan ucapan kemenangan pada Ahad (8 Nov). (Gambar: AFP)

Ini mungkin menghadkan perbelanjaan ‘stimulus’ pada masa terdekat dan menyukarkan agenda menaikkan cukai. Encik Biden mungkin perlu bergantung kepada kuasanya untuk mengeluarkan perintah eksekutif dalam melaksanakan dasar-dasarnya.

Kesukaran untuk meluluskan kenaikan cukai mungkin mendatangkan sentimen positif tetapi perbelanjaan stimulus yang lebih sederhana mungkin memperlahankan rentak pemulihan ekonomi.

Gandingan pentadbiran Biden dengan Dewan Senat dikuasai Parti Republican juga mengurangkan risiko pemantauan syarikat-syarikat teknologi gergasi, seperti yang diusulkan Parti Democrat pada April 2019 agar syarikat-syarikat sedemikian dibahagi-bahagikan, khususnya Google, Amazon dan Facebook.

KESTABILAN EKONOMI DUNIA

5 Januari depan merupakan tarikh genting kerana pilihan raya susulan bagi kerusi Senat wilayah Georgia akan diadakan dan tindakan-tindakan guaman mungkin diambil Presiden Trump sehingga Upacara Angkat Sumpah Presiden pada Januari 2021.

Namun jika keadaan sedia ada berkekalan sehingga ke hari itu, ketegangan perdagangan mungkin mereda. Bagaimanapun, pakej kewangan besar tidak mungkin akan diluluskan dan akan ada lebih tekanan kepada dasar kewangan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Pembendungan pandemik COVID-19 yang lebih tangkas dan cekap di Amerika Syarikat oleh pentadbiran Biden mungkin akan membawa kepada sikap lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk membenarkan kegiatan harian disambung semula. Pendirian sedemikian mungkin akan membatasi pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat dan juga negara-negara lain.

Sungguhpun demikian, selagi China dan Asia meneruskan pemulihan dan dengan adanya ketentuan dasar luar Amerika Syarikat, kita boleh menjangkakan tentangan dan ketidaktentuan yang berkurangan di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden.

MENGENAI PENULIS:

Pakar ekonomi Saktiandi Supaat. 
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan