Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Ajaran songsang bukan perkara baru tetapi kenapa masih ada yang terpedaya

Kajian menunjukkan semua individu tidak kira latar belakang boleh terpedaya dengan ajaran-ajaran salah. Bagaimana cara terbaik untuk elakkan diri daripada mudah terpedaya?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Ajaran songsang bukan perkara baru tetapi kenapa masih ada yang terpedaya

Gambar hiasan. (Gambar: Janko Ferlic/Pexels.com)

BERITAmediacorp: Kajian menunjukkan semua individu tidak kira latar belakang boleh terpedaya dengan ajaran-ajaran salah. Bagaimana cara terbaik untuk elakkan diri daripada mudah terpedaya?

Dakwaan diri sebagai Nabi bukanlah suatu perkara yang baharu. Sejak dahulu lagi di zaman Nabi Muhammad, seorang lelaki Arab yang bernama Musailimah al-Kazzab telah mendakwa dirinya sebagai seorang Nabi.

Sejak itu, ia berlarutan dari satu zaman ke satu zaman dan berleluasa ke merata dunia. Di antara nama yang terkenal dengan mendakwa diri sebagai Nabi adalah Mirza Ghulam Ahmad, pengasas ajaran Qadiani. Pengaruh Mirza merebak ke Nusantara sehinggalah ke Singapura pada tahun 1940-an.

Menurut buku Noktah Hitam: Ajaran Sesat di Singapura yang diterbitkan oleh MUIS dengan kerjasama PERDAUS, terdapat pelbagai sebab yang menyebabkan munculnya ajaran sesat sehingga mendorong seseorang mendakwa dirinya sebagai Nabi.

PELBAGAI SEBAB

Antaranya kerana keinginan untuk mencapai ilmu Islam yang tinggi nilainya dan beramal dengan amalan yang lain dari yang lain. Seterusnya faktor tekanan psikologi dan mental yang dialami oleh para pengikutnya serta kepercayaan kuat terhadap anasir mistik.

Namun, faktor yang menyerlah lagi konsisten adalah matlamat untuk memperoleh kepentingan duniawi serta kedudukan dan pangkat di dalam masyarakat untuk dipuja dan disanjung. Seterusnya terdapat juga tujuan untuk mengecap kepuasan seksual seperti yang didakwa guru mereka bahawa tidak sah sesuatu pernikahan sebelum guru itu melaksanakan nikah batin dengan cara ‘menyerahkan’ isteri-isteri para pengikut kepada sang guru untuk ‘disucikan’.

Kesemua faktor yang mengarah kepada kesesatan berpunca dari satu sifat utama iaitu kejahilan. Jahil tentang sumber utama dalam Islam, jahil tentang sifat-sifat orang alim sehingga tidak tahu membezakan antara seorang alim yang tulen dengan yang palsu dan jahil tentang ilmu-ilmu alat seperti Ulum al-Quran, Ulum al-Hadis, Usul Fiqh dan sebagainya yang membantu memberi kefahaman menyeluruh tentang Islam.

MUDAH TERPEDAYA

Merujuk kepada salah satu sebab berlakunya kecenderungan untuk menurut ajaran sesat adalah faktor psikologi dan mental. Ia tidak hanya berlaku di kalangan orang biasa, malah golongan bijak pandai juga turut terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang. Timbul persoalan mengapa golongan bijak pandai juga terperangkap di dalam diayah kumpulan ajaran sesat?

Ada yang mendakwa individu-individu tersebut dipukau atau disihir. Ada pula yang mengatakan pemimpin kumpulan itu mempunyai daya tarikan dan pesona yang memukau apabila menyampaikan ajarannya.

Menurut Dr Stout, pengarang buku The Sociopath Next Door mengatakan bahawa manusia secara semula jadi terdedah kepada kelemahan untuk menilai orang lain yang dianggap sama seperti dirinya. Jika dia seorang yang mempunyai keprihatinan terhadap orang lain, maka dia juga menganggap orang lain akan seperti dirinya. Sesuai dengan istilah terlalu baik sangka.

FAKTOR-FAKTOR LAIN

Shahida Arabi, pengarang buku Power: Surviving and Thriving After Narcissistic Abuse pula menyenaraikan beberapa faktor lain yang menyebabkan orang bijak juga mudah terpedaya dengan ajakan individu yang memperdaya.

Di antaranya adalah:
- Trauma yang dialami di masa silam, khususnya sewaktu kecil. Trauma yang terbit dari penderaan yang dilakukan oleh ahli keluarga terdekat sehingga hilang rasa percaya kepada mereka. Pada masa yang sama, perasaan kasih dan sayang terhadap mereka tetap ada.

Akhirnya dia menganggap penderaan itu adalah normal dan semua orang perlu hadapinya dengan hati terbuka. Ia juga boleh berlaku dari seorang anak kecil yang membesar dengan sekitaran yang ‘selamat’ sehingga menyebabkan dirinya merasa kekal selamat walaupun hakikatnya dia dipergunakan.

- Penipu yang menempelkan dirinya kepada mangsa dengan memanupilasi perasaannya sedangkan mangsa pula merasa yakin bahawa tiada apa yang merugikan dirinya jika berlaku sesuatu yang tidak elok sekalipun.

- Penipu yang berpengalaman dalam menjalankan usaha memperdaya mangsa-mangsanya. Dia mengenal pasti golongan yang ingin diperdaya dengan melihat sudut kelemahan mereka. Dari sudut itulah dia akan gunakan strategi yang halus untuk memperdayakan mereka. Beliau selanjutnya merumuskan bahawa hakikatnya, tiada siapa dapat terlepas secara pasti dari tipu daya seorang penipu sepanjang hidupnya.

DAPATKAN NASIHAT

Di samping itu, Profesor David Z. Hambrick dari Jabatan Psikologi di Michigan State University, berkongsi satu dapatan yang menarik. Menurut beliau, terdapat perbezaan di antara bijak dan rasional. Orang yang bijak tidak semestinya rasional ketika membuat penilaian atau keputusan. Begitu juga orang yang rasional tidak semestinya bijak. Beliau juga menegaskan bahawa mustahil bagi semua manusia mempunyai sifat rasional.

Dari dapatan-dapatan ini, boleh difahami bahawa manusia sebenarnya mudah terdedah untuk diperdaya, sama ada dari golongan profesional mahupun masyarakat awam yang biasa-biasa.

Justeru, untuk memastikan diri selamat dari diperdaya, seorang individu dinasihatkan supaya mengambil pandangan dan nasihat dari orang sekelilingnya yang dipercayai mengenai sesuatu ajaran atau kumpulan.

Soal baik sangka sahaja sudah tidak relevan kerana kes-kes penipuan terus giat dijalankan. Individu yang terjebak di dalam isu seperti ini juga perlu bersikap jujur terhadap diri sendiri dengan berfikir secara rasional mengenai tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.

Dalam hal yang berkaitan dengan pembelajaran agama khususnya, masyarakat Islam diseru untuk mengambil panduan dan pendidikan agama dari asatizah tempatan yang bertauliah di bawah skim ARS.

MEMBERI RUANG

Ini penting kerana asatizah yang bertauliah akan membimbing masyarakat berfikir secara rasional dan kritis apabila berhadapan dengan ajaran-ajaran berunsur sesat dan ekstrem. Dengan merujuk kepada ahlinya, perkara-perkara yang dilihat salah atau palsu dapat dielakkan.

Bagi masyarakat awam yang mengikuti perkembangan kes-kes ajaran sesat, mereka dinasihatkan supaya mengawal diri dari melakukan tindakan yang tidak wajar seperti mencemuh, mencaci, mengutuk dan sebagainya.

Islam menganjurkan umatnya agar memberi ruang kepada mereka yang tersilap langkah untuk kembali ke pangkal jalan. Masyarakat Islam digalakkan untuk sama-sama menghulurkan bantuan dan sokongan moral kepada golongan yang menghadapi ujian hidup seperti itu.

Melalui wadah perbincangan dan dialog, diharapkan dapat memberi mereka ruang untuk berfikir dan menilai sudut-sudut yang benar dari yang sesat. Jika itu tidak mampu dilakukan, doakan mereka yang terkhilaf itu agar diberi petunjuk ke jalan yang benar.

MENGENAI PENULIS:

Mustazah Bahari, Zamil Bersekutu di RSIS, NTU.

Ustaz Mustazah Bahari adalah Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan