Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Agamawan, tanggungjawab dan amanah yang semakin berat dipikul

Apakah cabaran semasa yang semakin runcing memerlukan agamawan lebih berhemah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah? 

Anggaran Waktu Membaca:

Bagai air yang sukar terputus arus isu-isu kontroversil melibatkan agama dan kaum nampaknya tidak mudah luput dari perhatian umum.

Lepas satu isu, ada sahaja isu lain yang menjadikan masyarakat bertambah resah. Kalau di Malaysia, misalnya, jika bukan isu Zakir Naik mungkin isu tulisan khat/Jawi, atau terkini pemulauan ke atas barangan buatan bukan Muslim.

Dr Zakir Naik. (Gambar: BERNAMA)

Imej agama pula terjejas sehingga mengakibatkan lebih ramai yang mencurigai sama ada Islam adalah benar-benar agama perdamaian.  

Keterbukaan dalam ruang siber dan media sosial hari ini memudahkan kita terdedah kepada pelbagai pandangan dan pengaruh termasuklah daripada kalangan agamawan seperti ulama, pendakwah dan pegawai agama.

Bukan sahaja kemunculan mereka kini bertambah  ketara, malah ada juga yang menampilkan paparan diri dan pemikiran yang cukup tegar.

Dengan semakin meluas penggunaan media digital, suara mereka yang lantang dan keras itulah yang semakin bergema dan mendapat perhatian meluas dari hari ke hari.

Tidak dinafikan ada juga suara-suara agamawan dan ulama yang lebih bertanggungjawab di media online, tetapi jumlahnya adalah jauh lebih kecil dibandingkan dengan suara-suara yang kurang bertanggungjawab.

SEMAKIN BERGEMA

Suara dan penampilan diri yang keras dan mencemaskan  kini lebih kerap mendapat perhatian ramai kerana mesej mereka yang terlalu mudah supaya cepat menjadi sensasi.

Ia termasuklah gagasan yang melaungkan tentang pelbagai krisis yang dihadapi oleh umat Islam hari ini.

Antaranya dakwaan bahawa Islam kini berhadapan dengan pelbagai ancaman – ancaman dari bukan Islam,  ancaman pencemaran akidah daripada ideologi dan gaya hidup asing, krisis kebencian terhadap Islam dan umat Islam dan ancaman dalaman daripada kelompok Muslim liberal atau sekular.

Gambaran yang diberikan semuanya bertujuan mencetuskan perasaan cemas bahawa dunia sememangnya sudah menghampiri akhir zaman.

Lantaran umat Islam perlulah kembali kepada ajarannya yang sebenar seperti yang dilaung-laungkan mereka.

SUARA NEGATIF

Pendekatan yang diambil mereka yang berfikiran negatif ini sering menjurus kepada pemikiran tegar dan eksklusif, seperti perlunya Islam dan umatnya dipisahkan daripada bukan Islam.

Islam juga  tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain dengan menafikan apa-apa kebaikan yang ada pada ajaran agama lain.

Ada juga yang semakin taasub bahawa hanya Islam tafisran mereka sahajalah yang merupakan Islam sebenar yang perlu diikuti.

Tafsiran yang berlainan, terutama yang tidak menganjurkan ketegaran seperti sikap rahmah,  ihsan dan kesederhanaan diperkecil-kecilkan sebagai bukan ajaran Islam yang sebenar.

Matlamat mereka adalah untuk memupuk pemikiran tertutup dan mentaliti tertawan (siege mentality) dengan meningkatkan rasa cemas dan kebimbangan yang meluas.

PUNCA MASALAH

Apakah punca sebenar di sebalik meningkatnya pandangan dan pendirian agama yang semakin tegar dan eksklusif ini terutama di kalangan sesetengah pendakwah, agamawan dan ulama?

Mungkinkah pertambahan jumlah agamawan sejak beberapa dekad lalu telah menjejas kawalan mutu.

Atau adakah kerana saingan sengit dan sikap berlumba-lumba untuk mendapatkan lebih ramai pengikut dan pengaruh mendorong sebahagian daripada mereka sengaja memainkan isu-isu sentimen dan emosi.  

Sejauh manakah situasi hari ini berbeza dibandingkan beberapa dekad lalu?

PENGARUH BERTAMBAH

Gejala peningkatan pengaruh ulama dan agamawan hari ini pernah disorot oleh Norsharil Saat dalam Islamising Malayness: Ulama discourse and authority in contemporary Malaysia, 2012.

Beliau melihat gejala itu sebagai natijah daripada beberapa perkembangan dalam tahun-tahun 1970-an dan 1980-an, khususnya perkembangan seperti kebangkitan semula Islam di banyak negara.

Indonesian Muslim men gather during the first Friday prayer of the fasting month of Ramadan at Istiqlal Mosque in Jakarta on Jun 10, 2016. During Ramadan, the holiest month in Islamic calendar, Muslims refrain from eating, drinking, smoking and sex from dawn till dusk. (Photo: AP/Achmad Ibrahim)

Dengan pengaruh  meluas dan kedudukan yang bertambah kukuh, golongan agamawan semakin dilihat sebagai satu-satunya pihak berwenang utama yang berhak mengeluarkan pandangan, panduan dan pelaksanaan hukum-hukum agama.  

Malah mereka yang diluar institusi rasmi juga menikmati sanjungan dan pengaruh yang meluas apabila ceramah dan dakwah mereka menjadi semakin popular dengan jumlah pengikut semakin berlipat ganda.

BILANGAN DAN SAINGAN

Pertambahan bilangan juga meningkatkan lagi saingan sesama mereka dengan ruang awam (seperti media online, misalnya), menjadi medan “saingan kuasa antara elit-elit agama dan aktivis agama.” (Azhar Ibrahim dalam Contemporary Islamic Discourse in the Malay-Muslim World, 2014).

Bukan sahaja saingan sesama agamawan menjadi lebih ketara, turut terjejas juga adalah mutu pengucapan dan pemikiran yang dijanakan sehingga boleh mencapai tahap menjejas kemaslahatan awam.

Dalam apa sahaja bentuk yang disuarakan hari ini apa yang agak jelas adalah terdapatnya kemerosotan dalam mutu perbahasan dan wacana agama umumnya, baik dari segi kandungan, gaya fikir dan juga perisian ilmu.

Pertambahan bilangan jelas tidak menjamin mutu yang dihasilkan, malah ia mungkin telah mengizinkan lebih ramai mereka yang kurang berkelayakan menceburi bidang agama untuk mengambil kesempatan daripada laba dan pulangan yang agak lumayan.   

MELAWAN ATAU TERTAWAN

Beliau melihat adanya pelbagai penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa kerana kegagalan golongan agamawan dalam memainkan peranan mereka sebagai penegur dan juga kerana kurang kemahiran yang diperlukan.  

Sejarah Islam tidak menafikan bahawa adanya ramai agamawan yang bertanggungjawab dengan memainkan peranan besar dalam bidang masing-masing, baik sebagai pelindung agama dan pembimbing umat.

Tetapi ramai juga yang tidak melaksanakan tanggungjawab mereka kerana kurang kemahiran dan keupayaan yang diperlukan.

Malah lebih buruk lagi ada yang terlibat sendiri dalam pelbagai penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

‘KRISIS ULAMA’  

Mereka yang tidak bertanggungjawab ini  disifatkan oleh Imam Al Ghazali sebagai ‘ulama jelek’ atau ‘ulama keji’ kerana tidak melaksanakan amanah mereka dengan betul.

Dr Quraish Shihab, seorang tokoh Islam, yang juga mantan Menteri Agama Republik Indonesia. (Gambar: Muhammad Quraish Shihab/ Facebook)

Beliau menyifatkannya sebagai ‘krisis ulama’ – suatu ‘bencana’ yang perlu disahut cabarannya agar golongan agamawan dan ulama dapat mengembangkan peranan mereka dengan baik.

Hanya dengan kembali kepada matlamat asal dan tanggungjawab tulen mereka sahajalah, peranan dan kehadiran agamawan boleh menjadi lebih relevan dan dihargai masyarakat.

 

 


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan