Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Agamawan dan cabaran semasa – bagaimana peranan mereka boleh diperluaskan

Perluasan peranan Naib Kadi dan asatizah dalam menangani masalah sosial masyarakat; bagaimana masyarakat harus memahami perubahan ini.   

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Agamawan dan cabaran semasa – bagaimana peranan mereka boleh diperluaskan

Gambar fail Naib Kadi. (Gambar: Ummu Rabbisyfina)

BERITAmediacorp: Usaha terbaru Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) yang memerlukan bakal pengantin baru terlebih dahulu menemui Naib Kadi menerima reaksi yang pelbagai.

Reaksi-reaksi itu mencerminkan sama ada masyarakat belum bersedia menerima perubahan atau pun kerana mereka merasakan usaha tersebut sememangnya tidak dirasakan perlu.

(Gambar fail kumpulan Naib Kadi bersama Menteri Masagos dan SPS Faishal.)

Tujuannya adalah mudah, iaitu untuk memastikan setiap pasangan bertemu dengan Naib Kadi yang dipilih sebelum tarikh perkahwinan.

Seperti yang diumumkan langkah baru itu adalah untuk memastikan setiap pasangan dibimbing sebelum dan selepas mereka bernikah dengan mendapatkan nasihat atau bimbingan rumah tangga.

Sekiranya pasangan belum bersedia, Naib Kadi akan membuat rujukan kepada agensi yang khusus bagi memberikan lebih sokongan kepada pasangan tersebut.

Bimbingan percuma tersebut adalah untuk memastikan bahawa pasangan dibimbing agar mahligai yang dibina nanti teguh dan kukuh.

MENOLAK PEMBAHARUAN

Namun, setelah diumumkan beberapa netizen menyuarakan pendapat mereka, tidak semua yang sebenarnya bersetuju dengan langkah baru tersebut.

Ada yang mengeluh merasakan langkah dianggap sesuatu yang membebankan pasangan, dan ada juga yang merasakan langkah baru tersebut sebagai menjadi penghalang untuk pasangan berkahwin sehinggakan jika ini berlaku ia boleh menjadikan kadar perkahwinan merosot dan meningkatkan bahaya berlakunya penzinaan.

Malah, ada juga berpendapat ia mungkin menjadi peluang bagi Naib Kadi mengaup pendapatan bagi diri mereka.

Respons masyarakat terhadap usaha tersebut mempamerkan beberapa permasalahan dalam kalangan masyarakat netizen.

Pertama, sikap serkap jarang tanpa membaca dan meneliti tujuan sebenar di sebalik usaha tersebut.

Kedua, sikap tradisional yang menolak logik dan pertimbangan (reasoning) sehinggakan ruang-ruang pembaharuan ditolak dahulu sebelum mendengar kebaikan dan manfaat yang boleh dibawa.

JADONG: JAHAT, BODOH & SOMBONG

Ketiga, bersikap ‘Jadong’ - Jahat, bodoh dan sombong terhadap jalan keluar yang dibawa untuk sesuatu masalah.

Konsep ‘Jadong’ ini dirungkai oleh cendekiawan ternama, Profesor Syed Hussein Alatas dalam Syarahan Umum yang bertajuk Cita Sempurna Warisan Sejarah sekitar 20 tahun dahulu.

(Gambar Facebook) 

Ia membincangkan tentang permasalahan masyarakat yang jelas masih boleh diguna pakai dan relevan dalam membincangkan isu ini.

Sememangnya, masyarakat tidak boleh membangun hanya dengan usaha yang dikedepankan oleh golongan elit agamawan yang tercerah dan progresif.

Ia juga memerlukan masyarakat yang mempunyai kesedaran, kerana sekiranya yang sebaliknya berlaku kemunduran akan berleluasa.

Apa yang membimbangkan adalah apabila dalam era moden hari ini anggota masyarakat yang mempunyai ciri-ciri kejadongan ini tidak hanya tersekat untuk memberikan sumbangan malah menjadi penghambat kepada pembangunan sesebuah masyarakat dan negara.

AGAMAWAN YANG BERFUNGSI

Di sini sebenarnya kita dapat melihat trend yang beralih.

Golongan Naib Kadi yang boleh dikategorikan sebagai golongan agamawan atau asatizah memainkan peranan aktif dan lebih terkedepan dalam dalam memberikan nasihat terhadap cabaran semasa - iaitu isu perceraian.

Menurut Dr Azhar Ibrahim, Timbalan Ketua Jabatan Pengajian Melayu NUS, masyarakat dapat berkembang maju sekiranya goongan pemimpin agamawannya berfungsi dengan baik.

Golongan tersebut memainkan peranan penting dalam mewakili golongan cerdik pandai dalam masyarakat. Antara ciri agamawan yang berfungsi menurut Azhar termasuk:

(a)Sedar akan peranan dan tanggungjawab dalam membimbing masyarakat dengan menyemai budaya keilmuan bagi melepaskan manusia dari belenggu kejahilan,

(b)Mengetahui akan keadaan dan perihal masyarakat dengan didampingi oleh sifat membumi dan sensetif pada konteks, di mana Ulama sedar mereka berdepan dengan manusia dan persekitaran moden,

(c)Mempunyai ilmu yang mendalam dalam sains keagamaan dan mampu untuk memadukannya dengan keilmuan moden.

BACA: Jawatankuasa Asatizah Masa Depan dalam perancangan bangunkan golongan asatizah 'profesional'

Dengan Naib Kadi yang kini menjangkaui peranan tradisional mereka sebagai seorang yang menikahkan pasangan dan menjadi pembimbing di alam perkahwinan, ini juga mungkin boleh menjadi hala tuju golongan asatizah di sini.

Mentelah lagi dengan rancangan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) dalam meningkatkan keupayaan golongan asatizah ke dalam bidang-bidang seperti pekerjaan sosial dan sebagainya.

TANGGUNGJAWAB SEMUA PIHAK

Sememangnya, tiada mana-mana pihak yang mengatakan bahawa dengan bimbingan Naib Kadi masalah perceraian dapat diatasi sepenuhnya.

Begitu juga, tiada pihak yang mengatakan bahawa ia merupakan satu-satunya jalan keluar dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Namun apa yang pasti, ia merupakan satu langkah ke arah menangani masalah jumlah perceraian di sini yang masih tinggi.

Setiap tahun seramai 1,600 pasangan Muslim bercerai di Singapura, dengan jumlah di kalangan mereka yang berusia antara 55-59 tahun meningkat sebanyak 42% dari 2013 hingga 2017.

Jelas, dalam berdepan dengan masalah perceraian ia memerlukan sokongan yang menyeluruh dari semua pihak dan bukan sahaja bimbingan Naib Kadi.

Pihak kementerian, agensi sosial dan keluarga serta institusi lain turut memainkan peranan dalam mendukung usaha itu.

Namun, kemajuan tidak akan tercapai sekiranya anggota masyarakat sendiri tidak sedar akan kepentingan isu atau menolak sama sekali bantuan yang ingin diberikan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan