Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Afghanistan yang tidak tertakluk tapi terus mengancam

Pada detik-detik akhir pengunduran Tentera Berikat pimpinan Amerika Syarikat (AS) di Lapangan Terbang Kabul, dunia menyaksikan tindakan pengebom nekad ISIS-K (Negara Islam Iraq dan Syria bahagian Khorasan). Media melaporkan korban 13 askar Amerika dan 170 orang awam.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Afghanistan yang tidak tertakluk tapi terus mengancam

Anggota Taliban meronda di jalan raya Herat, Afghanistan pada 14 Ogos 2021 (Gambar: Reuters)

BERITAmediacorp: Pada detik-detik akhir pengunduran Tentera Berikat pimpinan Amerika Syarikat (AS) di Lapangan Terbang Kabul, dunia menyaksikan tindakan pengebom nekad ISIS-K (Negara Islam Iraq dan Syria bahagian Khorasan). Media melaporkan korban 13 askar Amerika dan 170 orang awam.

Seorang mangsa letupan dikejarkan ke hospital. (Gambar: AFP)

Peristiwa itu sekali gus mengesahkan tekad ISIS-K, sebuah gerakan militan rentas negara yang melatih ramai militan dari seluruh dunia untuk cuba menakluki Afghanistan dalam rangka membentuk khilafah Islam sedunia.

Dapatkah Taliban mempertahankan Afghanistan yang kini kembali di tangannya sejak 15 Ogos lalu – setelah pemerintah Republik Islam Afghanistan (IRA) pimpinan Presiden Asraf Ghani tumbang mengejut?

Presiden Afghanistan ketika itu, Ashraf Ghani, semasa pertemuan dengan Presiden Joe Biden di Rumah Putih pada 25 Jun 2021. (Gambar fail: AFP/Nicholas Kamm)

IRA kian lemah sejak Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan pada 14 April lalu bahawa negaranya akan mengundurkan tenteranya selepas 20 tahun bertahan di sana.

Kejayaan Taliban memang diduga namun tidak dijangka ia berlaku begitu tangkas.

Ini kerana IRA mempunyai 350,000 askar dan anggota keselamatan berbanding dengan 60,000 gerila Taliban.

Yang amat membimbangkan dunia sekarang ialah sekurang-kurangnya dua perkara:

Pertama, apakah Afghanistan bakal menjadi pusat gerakan pengganasan bertopengkan Islam yang mengancam seluruh dunia?

Kedua, apakah pimpinan Taliban kini serupa dengan rejim Taliban terdahulu yang tegar lagi keras tindakannya?

SEJARAH PENAKATAN

AS telah menyerang dan menduduki Afghanistan sesudah rejim Taliban enggan menyerahkan pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden, yang didakwa mendalangi serangan berdarah ke atas New York dan juga Washington pada 11 September 2001 (Peristiwa 9/11).

Pemimpin pengasas Taliban, Mullah Umar, dipercayai telah menikahi anak perempuan sulung Osama.

Keluasan Afghanistan sekitar 62,000 km persegi dengan penduduk sekitar 31 juta.

Sekumpulan wanita dan anak-anak mereka menantikan giliran untuk dipindah keluar dari Afghanistan di lapangan terbang Kabul. (Gambar: REUTERS)

Hanya lima peratus tanahnya yang suai tani, selebihnya gersang dan bergunung-ganang.

Negara ini diwarnai oleh puak-puak seperti Pashtu (50 peratus penduduknya), Tajik (43%), Uzbek, Hazara dan lain-lain.

Dua bahasa utamanya ialah Dari dan Pashtu.

Ia merupakan sebuah daripada tujuh negara yang mempunyai kekata ‘stan’ yang bererti ‘tanah’ iaitu Pakistan (di selatannya), Kazakhstan, Tajikistan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Turkmenistan.

Jiran tunggal yang bukan ‘stan’ ialah China, yang merupakan pelabur terbesar di Afghanistan, terutama dalam bidang pelombongan.

Sejak zaman bahari, Afghanistan sentiasa menjadi rebutan kuasa besar kerana kedudukannya yang strategik di Laluan Sutera (Silk Route) yang menghubungkan Eropah, Timur Tengah, Asia Tengah, India dan China.

Ia pernah diserang dan diduduki oleh sejumlah empayar termasuk Parsi (abad ke-6 hingga ke-4 Sebelum Masihi (SM)), Yunani (abad ke-4 hingga pertama SM), Kushan (abad pertama hingga ke-3 Masihi), Arab iaitu Umayyah dan Abbasiyah (abad ke-7 hingga 8 Masihi), Samanid Parsi (abad ke-9 hingga 10 Masihi), Ghazni (abad ke-11 hingga 12 Masihi), Mongol (abad ke-13 hingga 14 Masihi), Mughal (India) dan Safavid Parsi (abad ke-16 hingga 18 Masihi).

Kesan empayar-empayar tadi masih ketara di Afghanistan, misalnya kota kedua terbesar, Kandahar asalnya bernama Iskandahar (sempena Alexander the Great).

Sepanjang abad ke-19 Masihi, British cuba menguasai Afghanistan demi mencantumkannya dengan India menerusi beberapa peperangan.

Askar Britain di Afghanistan. (Gambar: REUTERS)

Namun, pada 1921, Afghanistan dapat bangkit untuk membentuk pemerintahan beraja.

Malangnya Raja Amanullah gagal mempengaruhi Loya Jirga, majlis ketua puak. Pada 1933, muncul Raja Zahir Shah yang memerintah selama 40 tahun sehinggalah digulingkan oleh gerakan pro-komunis Soviet Union pimpinan Perdana Menteri Mohammed Daoud Khan (sepupu kepada Zahir Shah).

Pada 1979, Soviet telah menceroboh dan menduduki Afghanistan. Muncul gerakan Mujahidin yang mendapat sokongan pihak Barat. Malah para pemimpin Mujahidin pernah dialu-alukan Presiden Ronald Reagan di Washington DC.

Soviet berundur pada 1989 setelah perjanjian dimeterai antara AS, Afghanistan, Pakistan dan Soviet.

Malangnya pemerintah Mujahidin berkecai dek sengketa puak.

Pada 1995, muncul pula Taliban, sebuah gerakan pemuda yang kebanyakannya dari puak Pashtu dan pernah mendapat pendidikan agama di Pakistan. Ia mendapat sokongan rakyat yang terjejas oleh kemarau dan kebuluran sehingga ramai bersuaka. Taliban berjanji untuk membentuk pemerintah adil berdasarkan syariah. Namun, cara tegar Taliban seperti menghalang wanita bekerja di luar dan belajar telah memburukkan keadaan.

IKTIBAR DUNIA

Selain memburu Osama bin Laden, antara alasan pelibatan AS di Afghanistan adalah untuk membebaskan wanita Afghanistan daripada kongkongan Taliban.

(Gambar: AP)

Seyogia, Osama akhirnya dibunuh pasukan tentera elit AS di persembunyiannya tidak jauh dari markas tentera Pakistan pada 2011.

Menurut majalah Economist, AS menanggung kos AS$2 trilion (S$2.64 trilion) dan korban sekitar 2,400 askarnya. Hasratnya untuk membangun ‘demokrasi dan hak asasi’ di Afghanistan tidak kesampaian.

Mengapa?

Banyak faktor yang perlu difahami.

Silap tadbir atau ketidakcekapan pimpinan merantai Afghanistan. Diberitakan bahawa ramai askar dan pegawai keselamatan Afghanistan kecewa dan marah kerana lama tidak dibayar gaji dek gara-gara rasuah dalam kalangan atasan.

Anggota keselamatan Afghanistan dalam keadaan berjaga-jaga di Herat semasa solat Aidiladha pada 20 Jul 2021. (Gambar: AFP/Hoshang Hashimi)

Sikap berpuak-puak telah menjejas usaha membangunkan sebuah negara dan bangsa Afghanistan. Malah perebutan kuasa antara para ketua puak (warlord) ke atas penanaman popi dan perdagangan candu terlarang telah mengusutkan suasana.

Jurang kaya-miskin pula begitu menganga besar antara penduduk terutama ibu kota Kabul (dengan 3 juta jiwa).

(Gambar: Agensi berita)

Sepanjang kurang dua dekad, pemerintah IRA amat bergantung kepada ihsan Barat, terutama AS. Walaupun wanita Afghanistan telah mendapat hak untuk mengundi, belajar dan bekerja serta menjadi pemimpin nasional, namun pengaruh mereka terbatas.

IKRAR BARU

Kerana takut akan Taliban, ramai orang Afghanistan bersuaka ke Barat – terutama mereka yang pernah bekerja dengan tentera Amerika dan British.

Misalnya, Al Jazeera melaporkan bekas menteri perhubungan Afghanistan, Sayed Sadaat, menjadi pekerja kiriman berbasikal di Jerman.

Adakah trend pelarian ini akan membesar sehingga menimbulkan krisis kemanusiaan setelah Afghanistan dikemudikan Taliban?

Para anggota Taliban di atas kenderaan di wilayah Laghman pada 15 Ogos 2021. (Gambar: AFP)

Yang jelas, tanpa rakyat yang reda, terutama yang terpelajar dan terlatih, tidak mungkin Afghanistan yang daif dapat dibangun semula.

Logika tadi tampak menghentak daya fikir pucuk pimpinan Taliban yang berikrar untuk melaksanakan syariah yang adil dan tidak mengulangi kesilapan lamanya.

Ia berjanji untuk membolehkan kaum wanita belajar dan bekerja.

Wanita-wanita memakai burqa di Kabul, Afghanistan, pada 7 Ogos 2021. (Gambar: Sajjad Hussain/AFP)

Hakikatnya, Taliban tidak mampu gagal lagi – membiarkan Afghanistan menjadi wadah percaturan kuasa besar atau apa jua gerakan yang mengancam jagat, termasuk perdagangan candu yang dipercayai separuh datangnya dari negara malang ini.

Setakat ini, respons negara-negara majoriti Muslim dan Pertubuhan Muktamar Islam (OIC) belum nyata.

Mungkin masanya agak awal tetapi mereka perlu bertindak arif.

Taliban akrab dengan Qatar, sebuah negara Arab Muslim yang berfahaman sederhana dan maju.

(Gambar: Reuters)

Bahkan AS boleh mempengaruhi Taliban seperti yang dilakukannya ke atas bekas musuhnya, komunis Vietnam. Strategi bijaksana diperlukan AS demi membentengi pengaruh pesaingnya, China.

Oleh itu, masa akan menjadi bukti apakah Taliban dapat mengotakan ikrarnya, menyatukan rakyat di nusa yang berpuak-puak dan sekali gus menangkis pengaruh dan ancaman ISIS-K.

Dunia perlukan sebuah Afghanistan baharu, damai dan maju.

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

MENGENAI PENULIS: 

Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan