Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Ada langkah memang sukar diterima tetapi hadapilah ia sebagai ujian

Penularan virus dan langkah penutupan masjid memang ujian besar ke atas daya tahan Muslim Singapura. Sejauh mana ia telah dapat mengharungi ujian ini dengan sebaiknya?

Anggaran Waktu Membaca:
(Gambar: Facebook/MUIS)

Namun dengan panduan daripada Mufti Negara dan dengan kerjasama daripada para asatizah serta masyarakat Islam sendiri, rata-rata ramai Muslim Singapura mengalu-alukan langkah berjaga-jaga ini.

Ia dialu-alukan walaupun dengan penuh keberatan, demi keselamatan masyarakat Islam sendiri dan juga untuk maslahat seluruh negara.

Namun tidak dinafikan adanya juga segolongan anggota masyarakat Islam yang mungkin tidak bersetuju sepenuhnya dengan keputusan yang diambil.

Pada satu pihak, langkah berat ini memang menjejas kehidupan seharian Muslim Singapura dan tidak mudah diterima.

Tetapi dalam satu segi yang lain pula, ia sebenarnya mengukur daya tahan masyarakat Muslim tempatan.

SECARA MELUAS

Antara mereka yang meluahkan ketidakselesaan dan kemarahan atas penutupan masjid, dan tiadanya solat Jumaat, memberikan hujah agama mengapa langkah tersebut tidak boleh diterima.

Ini walaupun perkara tersebut sudah dijelaskan oleh Mufti Negara serta asatizah tempatan, yang turut menggunakan dalil-dalil agama mengapa langkah sedemikian perlu diambil.

Di sini saya tidak ingin menyentuh perbincangan mengenai hukum hakam agama, tetapi lebih kepada cara pemikiran sesetengah kalangan masyarakat Islam dalam berhadapan dengan krisis seperti penularan wabak.

Kebanyakan mereka yang tidak bersetuju lebih banyak bergantung kepada cara pemikiran yang ‘ritualistik’ dan ‘legalistik’. Mereka melihat tuntutan agama secara zahirnya sahaja dengan perlaksanaannya terpaku dan tidak berubah mengikut keadaan.

Solat Jumaat di Masjid Darul Ghufran pada 22 Mac 2019. (Gambar hiasan: MUIS/Facebook) 

(Gambar fail jemaah di Masjid Ghufran)

Mereka hanya memikirkan soal pahala dan dosa sahaja dalam membuat pertimbangan sama ada sesuatu perkara itu perlu dilaksana ataupun ditinggalkan.

Sifat ini menimbulkan beberapa masalah. Pertama, cara pemikiran seperti ini mengekang ruang fleksibiliti yang terdapat dalam agama Islam. Kedua, pelaksanaan tuntutan agama perlu dilihat daripada skop yang lebih luas lagi, bukan hanya dilaksanakan kerana ia adalah wajib semata-mata.

Seorang cendekiawan Muslim Afrika Selatan Farid Esack dalam bukunya, On Being A Muslim: Finding a Religious Path in the World Today menyentuh bahawa pelaksanaan tuntutan ibadah perlu “dilihat secara menyeluruh, dari sudut tauhid dan juga pelaksanaannya di muka bumi ini”.

PERANAN ASATIZAH

Dalam saat-saat genting ini, para asatizah memainkan peranan yang penting, dan sudahpun memainkan peranan yang diperlukan bagi mencegah pemikiran seperti ini daripada berleluasa.

Ramai asatizah yang tampil ke hadapan di ruang-ruang media sosial untuk memberikan penjelasan tentang agama dan apa yang boleh dilakukan oleh seseorang Muslim untuk menjaga hubungan mereka dengan tuhan.

Menyentuh mengenai ruang media sosial, para asatizah juga sudahpun memindahkan kelas-kelas agama serta syarahan menerusi media sosial seperti Facebook dan Instagram Live.

Gambar fail asatizah bersama pelajar madrasah.

Bahkan, khutbah yang disediakan turut disampaikan menerusi media sosial sebagai satu gantian kepada penyampaian khutbah secara fizikal oleh para khatib. Malah, para asatizah turut memuat naik kandungan-kandungan yang bersifat nasihat untuk orang ramai semasa krisis ini.

Masyarakat Islam Singapura mengalu-alukan tindakan ini dan ia menunjukkan bahawa kita merupakan satu masyarakat yang mampu menyesuaikan diri dalam keadaan-keadaan tertentu, khususnya dalam masa-masa genting ini.

MENYESUAIKAN DIRI

Penyesuaian ini menunjukkan daya ketahanan masyarakat Islam yang tinggi, yang sentiasa bersiap sedia dalam mengharungi pelbagai perubahan dan cabaran yang bakal dihadapi pada masa depan.

Bukan itu sahaja, dengan panduan Mufti Negara dan para asatizah buat masa ini, ia mencerminkan bahawa golongan agamawan mempunyai suara yang penting dalam memberikan panduan kepada masyarakat Islam secara umumnya.

Jika golongan agamawan terus memberikan bimbingan yang bernas, tidak mencetuskan panik serta menyuapkan masyarakat dengan hujah-hujah agama yang bersifat progresif, tentu sekali Muslim Singapura akan terus memanfaatkan kandungan-kandungan ini.

Diharapkan sedang kita menantikan fasa ini berakhir, para asatizah meneruskan usaha murni ini agar lebih ramai lagi masyarakat Islam dapat memanfaatkannya dan dalam mereka mencorak mutu pemikiran agama yang lebih tinggi bagi masa hadapan.

CERMINKAN TANGGUNGJAWAB

Wabak COVID-19 bukan sahaja merupakan satu musibah yang memaksa penutupan masjid-masjid tempatan, tetapi ia juga satu peluang pengajaran bagi warga Islam di sini dan sejagat. Dengan wabak ini, kita berkali-kali diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri dan bersikap bertanggungjawab dalam melaksanakan ibadah.

Ini bukanlah satu perkara yang baru ataupun di luar skop tuntutan agama tetapi ia merupakan teras agama Islam. Meskipun situasi agak mencabar kini, ia juga mengingatkan kita agar mempraktikkan apa yang sudahpun diajar dalam agama Islam.

Dengan menonjolkan sikap bertanggungjawab, patuh kepada arahan dan panduan pihak berkuasa dalam mengekang penularan wabak ini, ia mencerminkan masyarakat Islam yang matang.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

Kini, masyarakat Islam sudahpun menerapkan cara #salammufti, dengan meletakkan tangan kanan di dada sebagai tanda bersalaman. Kelas-kelas agama juga digantung agar tidak ramai masyarakat Islam kita berkumpul supaya sesiapa yang sakit tidak menjangkiti mereka yang sihat.

Kesemua langkah ini bermula daripada individu. Jika setiap individu dapat menunjukkan bahawa mereka adalah seorang Muslim yang bertanggungjawab, maka secara kolektif, ia menunjukkan daya tahan yang kuat oleh masyarakat Islam setempat.

UJIAN DAYA TAHAN

Penutupan masjid adalah satu langkah yang sementara. Ia bukanlah satu tindakan yang dilakukan tanpa pertimbangan. Bahkan, ia satu keputusan yang amat berat sekali.

Tentunya ia menguji tahap daya tahan Muslim Singapura dalam menangani krisis yang dihadapi sekarang.

Jika Muslim tempatan berjaya menonjolkan sikap daya tahan yang tinggi kali ini, ia membuktikan bahawa masyarakat Islam Singapura dapat mengatasi apa jua cabaran yang akan datang pada masa hadapan.

Justeru, usaha-usaha yang dijalankan selama ini dalam kita membanteras penularan Covid-19, perlulah diteruskan apabila pintu-pintu masjid dibuka semula kepada orang ramai.

MENGENAI PENULIS

Muhammad Faris Alfiq adalah seorang pengkaji dalam wacana Islam di Asia Tenggara, sosiologi perundangan Islam dan politik Islam. Beliau berkelulusan Pengajian Melayu daripada Universiti Nasional Singapura (NUS).

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan