Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Ada baiknya jika calon Perdana Menteri M’sia lebih muda dan ‘segar’ dipertimbangkan

Pelantikan tokoh politik veteran boleh memastikan tampuk kepimpinan Malaysia dipegang seseorang yang cukup berpengalaman. Namun pemimpin-pemimpin lebih muda seperti Khairy Jamaluddin dan Shafie Apdal juga merupakan calon-calon yang wajar dipertimbangkan. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Ada baiknya jika calon Perdana Menteri M’sia lebih muda dan ‘segar’ dipertimbangkan

Shafie Apdal (kiri) dan Khairy Jamaluddin. (Gambar-gambar: Agensi berita)

BERITAmediacorp: Pelantikan tokoh politik veteran boleh memastikan tampuk kepimpinan Malaysia dipegang seseorang yang cukup berpengalaman. Namun pemimpin-pemimpin lebih muda seperti Khairy Jamaluddin dan Shafie Apdal juga merupakan calon-calon yang wajar dipertimbangkan.

Peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pada Isnin (16 Ogos) mungkin dapat menamatkan pertikaian tentang keabsahan pengaruh politiknya. Namun langkah itu sebenarnya mencetuskan kemelut politik yang lebih teruk berbanding ketika Dr Mahathir Mohamad melepaskan tampuk kepimpinan negara pada Februari 2020.

Muhyiddin Yassin melambai kepada pihak media pada 16 Ogos. (Gambar: Malay Mail menerusi TODAYonline).

Untuk menghuraikan kebuntuan politik sekarang, Malaysia perlu segera bersatu. Namun jika pilihan-pilihan yang lazim dikemukakan tidak dapat mengisi jawatan tertinggi itu, negara tersebut mesti menyokong pemimpin baru yang “bersih”.

Sedang Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri sementara, terdapat sedikit masa sehingga Yang di-Pertuan Agong memutuskan penggantinya.

Keadaan sekarang ibarat déjà vu apabila kita mengimbau kembali kedudukan Dr Mahathir yang serupa pada tahun lalu.

Mungkin perkataan yang lebih sesuai untuk menggambarkan perkembangan sekarang adalah karma. Ini kerana kemelut politik tahun lalu diburukkan lagi oleh tindakan Muhyiddin menarik sokongan Bersatu daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Lantaran itu, tidak menghairankanlah apabila rayuan Muhyiddin meminta sokongan pembangkang pada Jumaat (13 Ogos) tidak dihiraukan.

KELEMAHAN CALON-CALON UTAMA

Namun, Agong yang kini perlu melantik seseorang sebagai perdana menteri, berdepan dengan tugas yang lebih berat berbanding tahun lalu.

Pada Mac 2020, Muhyiddin meraih majoriti tipis, iaitu dengan hanya dua Anggota Parlimen (AP), ketika beliau menyandang jawatan perdana menteri. Namun sekarang, kelihatan tiada satu-satu AP yang meraih sokongan kukuh daripada majoriti AP.

(Gambar: Bernama)

Bahkan calon terdahulu Ismail Sabri Yaakob – timbalan kepada PM Muhyiddin – mungkin akan menghadapi kesukaran untuk meraih sokongan 111 AP yang diperlukan. Beliau memerlukan sokongan daripada pesaing-pesaingnya dalam UMNO yang sebelum ini menarik balik sokongan terhadap PM Muhyiddin. Beliau dilaporkan meminta restu Dr Mahathir namun ditolak.

Selain itu, mengapa AP-AP pembangkang patut menyokongnya?

Mereka sudahpun menegakkan pendirian bahawa kerajaan gagal membendung COVID-19, ingkar terhadap titah Agong semasa sidang Parlimen pada Julai dan bersekongkol dengan “kelompok mahkamah” dalam UMNO yang berdepan dengan pelbagai tuduhan rasuah.

Sanggupkah mereka menyokong salah seorang anggota Perikatan Nasional (PN) selepas menguar-uarkan naratif sedemikian selama ini yang bertujuan menjatuhkan kerajaan PM Muhyiddin?

Sesetengah pihak menganggap Ismail Sabri – salah seorang pemimpin kanan dalam Kabinet terakhir – sebagai pemimpin yang “tercemar”. Semestinya beliau tidak boleh dilepaskan daripada tanggungjawab atas keputusan-keputusan yang diambil bersama oleh Kabinet.

Memandangkan pilihan raya umum tidak mungkin dapat diadakan dalam masa terdekat di tengah-tengah penularan COVID-19, pemilihan perdana menteri seterusnya adalah perkara mustahak bagi Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. (Gambar: REUTERS)

Agong, selepas berunding dengan pemimpin-pemimpin politik pada Selasa, mengisyaratkan bahawa beliau tidak akan berlengah-lengah memilih teraju kerajaan seterusnya.

Namun beliau juga mesti menentukan sama ada Malaysia memerlukan pemimpin yang berpengalaman atau sebaliknya meraih manfaat daripada pelantikan pemimpin lebih muda.

Pilihan yang pertama mungkin mendatangkan kepincangan yang berlarutan seperti dalam kerajaan-kerajaan sebelum ini.

Hakikatnya, jika mana-mana parti pembangkang bukan PH menyokong PN, kerajaan baru boleh dibentuk. Menurut laporan mutakhir, UMNO sebulat suara memilih Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri dan mungkin mendapat jumlah sokongan 115 AP jika Bersatu turut memberi sokongan.

Sebaliknya PH berdepan dengan tentangan yang sukar untuk kembali berkuasa kerana PAS, UMNO dan parti-parti Sarawak tidak mungkin menyertai PH akibat perselisihan mereka dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Semasa perhimpunan agungnya pada lewat Mac, UMNO mengisytiharkan tidak akan bergabung tenaga dengan Anwar Ibrahim dan DAP.

Gambar fail: REUTERS

Namun ini tidak semestinya Anwar Ibrahim tidak boleh dipertimbangkan sama sekali dalam pemilihan perdana menteri seterusnya. Beliau adalah satu-satunya AP dengan sokongan kukuh di Parlimen, memandangkan PH telah menamakannya sebagai calon perdana menteri mereka.

Jika parti-parti lain tidak mampu menghimpunkan sokongan kepada seseorang pemimpin lain, Anwar menjadi calon terdahulu untuk diatasi, dengan meraih kira-kira 105 undi.

MAJLIS GERAKAN NEGARA SEBAGAI JALAN KELUAR?

Sekiranya kemelut ini berlarutan, Muhyiddin boleh melanjutkan tempoh khidmatnya sebagai perdana menteri sementara. Ini bukan huraian yang terbaik ketika keabsahan kepimpinan Muhyiddin dipertikaikan dan bidang kuasanya terhad.

(Gambar: BERNAMA)

Saranan-saranan lain termasuk penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang tidak berpihak kepada mana-mana parti untuk mentadbir negara sehingga kerajaan baru dibentuk. Saranan ini dikemukakan oleh Dr Mahathir.

MAGERAN adalah kaedah pentadbiran yang pernah diuji ketika Malaysia bergelut dengan krisis menyusuli rusuhan kaum 1969. Dr Mahathir mencadangkan untuk melantik 20 karyawan, termasuk pakar jagaan kesihatan, ahli perniagaan, pengurus bank, peguam dan pemimpin-pemimpin politik, sebagai anggota MAGERAN.

Dr Mahathir juga menawarkan dirinya untuk mengetuai MAGERAN, namun keputusan itu terpulang kepada Agong.

Beliau mungkin tidak cenderung melantik tokoh yang memecahbelahkan seperti Dr Mahathir. Namun pengalaman mantan perdana menteri itu dalam memimpin Malaysia mengharungi Krisis Kewangan Asia pada 1997 dan mengukuhkan kedudukan negara itu sebagai salah sebuah ekonomi Harimau Asia merupakan kelebihan utamanya.

Tokoh politik Malaysia, Tengku Razaleigh Hamzah, berucap di sidang media di Kuala Lumpur, Malaysia pada 14 Dis 2020. (Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)

(Tokoh politik Malaysia, Tengku Razaleigh Hamzah, berucap di sidang media di Kuala Lumpur, Malaysia pada 14 Dis 2020. Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)

Satu lagi nama yang dikemukakan UMNO sebelum ini yang mungkin memainkan peranan sebagai tokoh yang dapat menyatukan adalah anggota veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah. Namun sokongan terhadapnya tidak begitu kuat setelah ditewaskan dalam pemilihan presiden UMNO pada 2018 oleh Ahmad Zahid Hamidi, bahkan kecundang sehingga tempat ketiga membelakangi Khairy Jamaluddin.

KEMUNCULAN NAMA-NAMA BARU

Selain ‘orang-orang lama’ yang lazim disebut-sebut, terdapat juga nama-nama lain, termasuk Mohd Shafie Apdal, pemimpin parti Warisan yang berpangkalan di Sabah, yang dikemukakan untuk mengisi jawatan perdana menteri.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. (Gambar: Facebook Shafie Apdal Official)

Sebagai mantan naib presiden UMNO, Shafie, seperti Muhyiddin juga, meninggalkan parti ketika ia terpalit dengan skandal 1MDB.

Shafie juga menolak tawaran PM Muhyiddin untuk menyertai Perikatan Nasional berlandaskan prinsip menolak kerajaan pintu belakang. Lantaran itu, Shafie boleh dikatakan seorang ahli politik yang “bersih”.

Shafie mencatat banyak pencapaian sebagai ketua menteri Sabah. Antara lain, beliau memansuhkan geran tanah komunal, memperjuangkan hak autonomi lebih luas bagi Malaysia Timur di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan menambah hasil pendapatan minyak. Beliau juga dianggap sebagai pemimpin yang bebas rasuah.

Pada Selasa, Shafie mengakui bahawa beliau mencapai kata sepakat dengan Anwar. Jika Anwar gagal meraih sokongan yang secukupnya, pembangkang akan menamakan Shafie sebagai calon perdana menteri.

(Gambar: BERNAMA)

Seorang lagi calon yang wajar dipertimbangkan ialah Khairy Jamaluddin, yang bertungkus lumus dalam tugasnya sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Namun pelibatan Khairy dalam kabinet PM Muhyiddin sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi melemahkan kedudukannya. Selain itu, ada juga pemimpin-pemimpin kanan UMNO lain yang mengintai kesempatan mengisi jawatan-jawatan Kabinet sekiranya Ismail Sabri menyandang jawatan perdana menteri.

Ini adalah suatu hakikat yang dikesali memandangkan Khairy berupaya memperlihatkan kecekapannya dalam usaha negara mempergiatkan program vaksinasi dan kelihatan kurang terbabit dengan pergelutan kuasa kebelakangan ini. Meskipun program imunisasi negara menghadapi kelengahan pada peringkat awalnya, Malaysia kini dijangka menepati sasaran kadar vaksinasi 50 peratus dalam kalangan penduduk dewasa menjelang akhir Ogos.

Kesimpulannya, Agong pada akhirnya mungkin memilih tokoh politik veteran dalam masa krisis sekarang. Namun Malaysia tidak semestinya meminggirkan pemimpin-pemimpin lebih muda yang mungkin juga mampu memegang tampuk kepimpinan dan meluahkan pandangan mereka tentang huraian kepada kemelut yang membelenggu negara sekarang.

Pelibatan mereka dalam kepimpinan boleh melahirkan generasi pelapis untuk turut bertindak dan menggalak belia Malaysia untuk memanfaatkan peluang bagi membawa perubahan kepada negara.

Setidak-tidaknya, pilihan raya seterusnya tidak akan menampilkan orang-orang lama saja yang sudah bergiat sejak sekurang-kurangnya 20 tahun dahulu.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan