Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: 2018 penuh pelbagai cabaran, peluang kukuhkan masyarakat

Apakah yang bakal menanti pada tahun 2018 nanti? Apakah yang boleh kita jangkakan dalam tahun mendatang sedang perubahan di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa terus rancak berlaku dan bergolak?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: 2018 penuh pelbagai cabaran, peluang kukuhkan masyarakat

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

BERITAMediacorp: Begitu cepat masa berlalu, tahun 2017 bakal mengucapkan selamat tinggal kepada kita dalam masa dua hari lagi. Apakah yang bakal menanti pada tahun 2018 nanti? Apakah yang boleh kita jangkakan dalam tahun mendatang sedang perubahan di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa terus rancak berlaku dan bergolak?
Pakar politik dari ISEAS - Institut Yusof Ishak dan pemerhati tekun masyarakat tempatan, Dr Norshahril Saat, cuba memberikan sekilas gambaran dalam KOMENTAR beliau ini yang disumbangkan kepada BERITAMediacorp:

Pertunjukan bunga api semasa Perbarisan Hari Kebangsaan. (Gambar: CNA/Loke Kok Fai)

DALAM beberapa hari lagi, kita akan menyambut tahun baru. Khusus bagi masyarakat kita, pada tahun ini, kita menyaksikan beberapa pencapaian yang boleh dibanggakan.

Sebagai contoh, tahun 2017 diserikan dengan perlantikan Puan Halimah Yacob sebagai Presiden Singapura yang kelapan, menjadikan beliau orang Melayu pertama memegang jawatan tertinggi dalam negara setelah Encik Yusof Ishak.

Tidak dinafikan ada sedikit perbezaan pandangan dalam masyarakat mengenai cara beliau dilantik, kerana ramai yang mengharapkan agar ada pertandingan bagi jawatan tersebut. Mentelah dua orang calon, iaitu Encik Farid Khan dan Mohamed Salleh Marican telah menyatakan kesediaan untuk bertanding.

Namun, rungutan segelintir tidak harus sesekali menjejas kerja baik Puan Halimah dalam menjalankan tugasnya sebagai ketua negara dengan selesa. Jelas, beliau senang mendampingi rakyat biasa, dan sejak memegang jawatan tersebut selama beberapa bulan ini, beliau banyak mendekati golongan kurang berkemampuan.

Semoga pada 2018 nanti, dan seterusnya, beliau dapat menyentuh lebih ramai rakyat Singapura dengan kerja-kerja kemasyarakatan beliau.

TIDAK ADA EPISOD BESAR DIJANGKAKAN

Kita harus meneliti tahun 2018 dengan berhati-hati walaupun kita akan menjangkakan adanya peristiwa-peristiwa besar yang akan melanda politik negara. Walau bagaimanapun, kita mesti sentiasa berwaspada kerana cabaran-cabaran boleh menjejas masyarakat tanpa diduga.

Petikan skrin yang diambil daripada video ISIS yang menunjukkan lelaki rakyat Singapura, Megat Shahdan Abdul Samad. (Gambar: Facebook/Abu Syafiq Alzamany)

Petikan skrin yang diambil daripada video ISIS yang menunjukkan lelaki rakyat Singapura, Megat Shahdan Abdul Samad. (Gambar: Facebook/Abu Syafiq Alzamany)

Misalnya, 2017 memperlihatkan penangkapan beberapa individu yang terpengaruh dengan ideologi pengganasan ISIS. Mujur pihak berwewenang berjaya menangkis setiap percubaan untuk memporak-perandakan masyakat.

Jika mereka lolos, ekologi masyarakat majmuk yang sedia ada di Singapura boleh hancur.
Malah, bukan isu radikalisme sahaja yang boleh memecah-belahkan masyarakat. Sikap ekstrem dalam beragama juga, atau kecenderungan untuk bersikap eksklusif, boleh menimbulkan prasangka buruk masyarakat lain terhadap masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Kita harus membangkitkan hak masyarakat kita dengan cara seperti menarik rambut dalam tepung, agar tidak menjejas hak-hak masyarakat lain.

TAHUN PEMBAHARUAN KEPIMPINAN

Kemungkinan besar 2018 adalah tahun yang bakal menyaksikan pembaharuan kepimpinan negara.

Kali terakhir Singapura mengadakan pilihan raya adalah pada tahun 2015. Justeru, pertengahan 2018 merupakan separuh penggal pemerintahan sedia ada, sebelum pilihan raya 2020. Rakyat Singapura akan mendapat gambaran lebih jelas tentang siapa yang bakal mengganti kepimpinan yang sedia ada, termasuk bakal perdana menteri.

Peralihan ini penting agar rakyat dapat menilai barisan kepimpinan yang baru, dan mereka juga dapat menyesuaikan cara kepimpinan individu tersebut, sebelum pilihan raya akan datang.

Masyarakat kita juga perlu memikirkan tentang barisan kepimpinan baru untuk menerajui badan-badan Melayu/Islam. Pada 2018, MUIS akan menyambut 50 tahun pembentukannya. Ada juga badan-badan Melayu yang akan menyambut ulang tahun masing-masing.

Sudahkah badan-badan kita bersedia untuk memberikan peluang kepada pemimpin-pemimpin muda?

CABARAN-CABARAN HARI MUKA

Seperti tahun-tahun sudah, masyarakat kita juga harus terus menyiapkan diri dalam cabaran ekonomi baru.

Malah, hal ini bukan hanya menjejas masyarakat kita tetapi rakyat Singapura amnya. Kita akan banyak mendengar slogan-slogan seperti “negara bijak” dan “ekonomi digital.” Masyarakat kita harus mempersiapkan diri untuk memenuhi asas-asas ekonomi digital tersebut agar tidak ditinggalkan kebelakang.

Korea Utara meletakkan kepala peledak nuklear pada peluru, seperti dipetik dari televisyen negara itu. (Gambar: AFP/YONHAP)

Peluru berpandu Korea Utara. (Gambar: AFP/YONHAP)

KEADAAN TIDAK MENENTU

Sekurang-kurangnya, kita perlu peka bahawa dalam dunia global ini, setiap dasar yang dibuat pemerintah Amerika, atau di China, Eropah, dan Timur Tengah akan menjejas kita. Kesan dasar-dasar ini bukan sahaja merangkumi aspek ekonomi, tetapi politik, strategik, iklim dan politik.

Krisis nuklear Korea Utara misalnya, boleh merubah imbangan kuasa di rantau ini, dan menjejas dasar luar Singapura terhadap kuasa-kuasa membangun seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

Sebagai contoh yang lain, pengiktirafan Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel oleh Presiden Donald Trump menimbulkan reaksi yang pelbagai di Singapura, dan boleh menyebabkan perubahan dasar luar sesuai dengan dengan keadaan semasa.

Pertempuran yang berlaku di antara rakyat Palestin dan polis Israel. (Gambar: AHMAD GHARABLI/AFP)

Pertempuran yang berlaku di antara rakyat Palestin dan polis Israel. (Gambar: AHMAD GHARABLI/AFP)

Keadaan yang tidak menentu di Timur Tengah juga menjejas masyarakat Melayu/Islam kita. Ini kerana masyarakat kita kerap ke Arab Saudi untuk ibadah umrah dan haji. Ketidakstabilan di sana boleh menjejas jumlah pelawat ke kota-kota suci tersebut, termasuk kuota haji dan umrah.

DINAMIKA POLITIK MALAYSIA

Walaupun tidak menjejas Singapura secara langsung, masyarakat perlu ambil tahu tentang dinamika politik yang melanda di negara jiran, Malaysia.

2018 akan menyaksikan pilihan raya umum yang sangat genting bagi negara itu. Ini kerana, buat pertama kalinya, kubu parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dicabar hebat oleh pembangkang Pakatan Harapan yang kini dipimpim mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.

Walaupun sukar dipercayai, Malaysia berkemungkinan melihat pemerintahan yang baru. Ini boleh merubah dasar luar negara atau cara kita berdepan dengan pemerintahan yang baru, kerana selama ini kita hanya berurusan dengan satu parti sahaja.
Kita juga perlu berwaspada dengan kemungkinan isu dua-hala dipolitikkan menjelang kempen pilihan raya nanti.

ELAKKAN SIKAP SAMBIL LEWA

Kita bersyukur dengan kestabilan politik dan ekonomi yang ada di negara kita ini. Namun kita tidak seharusnya mengambil trend positif ini sambil lewa.

Masalah yang dihadapi kita adalah masalah yang dihadapi sebuah negara maju. Kita perlu peka dengan masalah-masalah yang dihadapi di negara-negara Eropah misalnya, seperti proses penuaan, masalah agihan sumber negara yang tidak rata, dan kesan imigrasi kerana globalisasi.

Pemandangan Marina Bay Sands dan latar langit kawasan pusat bandar Singapura. (Gamabr fail: Reuters/Edgar Su)

Pemandangan Marina Bay Sands dan latar langit kawasan pusat bandar Singapura. (Gamabr fail: Reuters/Edgar Su)

Kita perlu memastikan kita dapat menerima masyarakat yang semakin rencam, dan perlukan minda yang lebih terbuka untuk menerima perbezaan, walaupun ia mungkin tidak dilihat sebagai sesuai dengan nilai yang diperjuangkan agama dan budaya kita.

KELAS MENENGAH HARUS PRIHATIN NASIB MASYARAKAT

Hakikatnya, masyarakat Melayu/Islam Singapura semakin hampir menjadi sebuah masyarakat kelas menengah.

Sebagai bukti, musim cuti sekolah ini dimanfaatkan ibu bapa Melayu/Islam untuk membawa anak-anak mereka ke luar negara, seperti ke Eropah, Jepun, dan Korea Selatan. Peluang ini kurang bagi generasi sebelumnya - mungkin sekadar ke Malaysia atau Indonesia sahaja.

Namun, jangan jadikan nikmat sedia ada ini membuat kita lupa pada tanggungjawab masyarakat, dan juga pada mereka yang kurang berkemampuan.

Kita harus mencukupkan anak-anak kita agar mereka dapat mengharungi cabaran masa-masa mendatang, terutama pendidikan mereka.

Zamil Penyelidik ISEAS - Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat. 

MENGENAI PENULIS
Penulis Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak dan Pensyarah sambilan Jabatan Pengajian Melayu Universiti Kebangsaan Singapura. Beliau juga Timbalan Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF). 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan