Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

URA usul had tempoh sewa 90 hari, persetujuan 80% pemilik bagi penginapan jenis Airbnb

Pemilik apartmen privet dan kondominium yang mahu menyewakan rumah mereka bagi penginapan jangka pendek akan dapat berbuat demikian selama 90 hari setahun, hanya jika mereka memenuhi beberapa syarat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Apr 2018 05:28PM Dikemas Kini : 17 Apr 2018 12:15AM

SINGAPURA: Pemilik apartmen privet dan kondominium yang mahu menyewakan rumah mereka bagi penginapan jangka pendek akan dapat berbuat demikian selama 90 hari setahun, hanya jika mereka memenuhi beberapa syarat, termasuk mendapatkan persetujuan 80 peratus pemilik dalam sesebuah bangunan itu dan mandaftarkan butiran tetamu mereka.

Ini adalah antara beberapa saranan yang diusulkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam rangka kerja undang-undang bagi menggunakan rumah privet sebagai penginapan jangka pendek.

Pada 2015, URA menjalankan satu sesi rundingan awam bagi memahami dengan lebih baik lagi pandangan orang ramai tentang menggunakan rumah privet bagi penginapan jangka pendek, seperti yang ditawarkan di laman Airbnb.

"Selepas menilai maklum balas yang diterima, URA bekerjasama dengan beberapa agensi relevan untuk membangunkan rangka kerja bagi mengawal selia penggunaan hartanah perumahan privet untuk penginapan jangka pendek," menurut URA dalam kenyataan medianya pada Isnin (16 Apr).

URA sedang meminta maklum balas orang ramai tentang cadangannya, dengan tarikh akhir untuk mengirimkan pandangan mereka pada 31 Mei.

KATEGORI BARU PENGGUNAAN PENGINAPAN JANGKA PENDEK

Di bawah saranannya, URA mencadangkan "kategori baru penggunaan" bagi penginapan jangka pendek untuk hartanah perumahan privet. Pemilik hartanah harus bersetuju bagi hartanah privet mereka diperuntukkan di bawah kategori ini.

"Bagi hartanah yang tidak tertakluk di bawah Perbadanan Pengurusan Hak Milik Strata (MCST), pemiliknya boleh membuat keputusan berhubung isu ini, dan membuat permohonan kepada URA untuk didaftarkan sebagai STA, bergantung kepada syarat-syarat yang tertera di bawah.

"Bagi hartanah yang ditadbir urus MCST seperti apartmen dan kondominium, pandangan semua pemilik hartanah perlu diperolehi kerana setiap pemilik ada hak bersama bagi hartanah tersebut, seperti yang diperuntukkan dalam Akta Penyenggaraan Bangunan dan Pengurusan Strata (BMSMA)," usul URA.

URA menyatakan pihaknya akur mungkin tidak praktikal untuk mendapatkan persetujuan 100 peratus daripada pemilik. Justeru, ia mencadangkan sokongan 80 peratus bagi permohonan penginapan jangka pendek sudah mencukupi.

URA juga menyatakan pihaknya "mungkin tidak meluluskan" penggunaan penginapan jangka pendek di estet perumahan berhalaman yang terletak di kawasan yang agak sunyi dengan jalan raya estet yang sempit.

"Tidak ada struktur tadbir urus mirip MCST dan kehadiran STA akan mempunyai impak lebih besar terhadap penduduk," menurutnya.

AIRBNB: "KOMITED KEPADA HURAIAN MUNASABAH"

Pengumuman URA dibuat ketika syarikat tempahan penginapan Airbnb menyatakan pada bulan Mac, pihaknya bersedia membuat tolak ansur bagi menyediakan sewa jangka pendek di Singapura.

Kenyataan itu dibuat selepas dua hos Airbnb rakyat Singapura mengaku bersalah kerana menyewakan unit bagi jangka pendek secara tidak berlesen.

Insiden itu merupakan kes pertama seumpamanya di bawah peraturan baru yang diperkenalkan di Singapura tahun lalu mengenai penyewaan hartanah jangka pendek. Mereka masing-masing didenda S$60,000.

Airbnb pada Isnin menyatakan pihaknya "komited kepada huraian munasabah yang akan membolehkan khidmat sewa rumah secara bertanggungjawab maju dan makmur di Singapura" dan mengalu-alukan peluang untuk memberi maklum balas melalui proses rundingan.

TEMPOH SEWA DIHADKAN 90 HARI SETAHUN

Antara beberapa cadangan lain yang diusulkan URA adalah untuk membolehkan pemilik menyewakan hartanah mereka selama maksimum 90 hari setahun, dan memastikan had enam orang menginap pada satu-satu masa.

Para pemilik perlu mendaftarkan hartanah mereka dengan URA sebelum menyenaraikan unit tersebut bagi penginapan jangka pendek, mematuhi peraturan keselamatan kebakaran, dan menyediakan butiran tetamu yang membuat tempahan menginap di unit mereka. 

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan