Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

UAE ingin tarik bakat asing mewah, berpendidikan tinggi di bawah skim visa jangka panjang

Amiriah Arab Bersatu (UAE) akan menawarkan visa jangka panjang kepada para pelabur hartanah mewah, ahli saintis kanan dan para usahawan dalam usaha menyokong ekonomi dan pasaran hartanah negara itu yang terjejas akibat harga minyak yang rendah.

Anggaran Waktu Membaca:
UAE ingin tarik bakat asing mewah, berpendidikan tinggi di bawah skim visa jangka panjang

Gambar fail Dubai. (Gambar: Ahmed Jadallah/Reuters)

Diterbitkan : 25 Nov 2018 10:26PM Dikemas Kini : 25 Nov 2018 10:29PM

DUBAI: Amiriah Arab Bersatu (UAE) akan menawarkan visa jangka panjang kepada para pelabur hartanah mewah, ahli saintis kanan dan para usahawan dalam usaha menyokong ekonomi dan pasaran hartanah negara itu yang terjejas akibat harga minyak yang rendah.

Sehingga sekarang, visa bagi warga asing untuk menetap di ekonomi kedua terbesar di dunia Arab itu hanya sah untuk beberapa tahun sahaja dan bergantung pada status pemegang visa utama dalam keluarga untuk kekal bekerja. Pada Mei lalu, kerajaan menyatakan bahawa ia merancang untuk melonggarkan dasar-dasar tersebut.

Peraturan terperinci yang diluluskan oleh kabinet semalam (24 Nov) menawarkan tempoh menetap selama lima tahun kepada para pemilik hartanah UAE bernilai sekurang-kurangnya 5 juta dirham (S$1.9 juta), selagi pemilikan itu tidak berdasarkan pinjaman. Demikian menurut laporan agensi berita WAM.

Visa 10 tahun yang boleh diperbaharui akan disediakan kepada warga asing yang membuat pelaburan sekurang-kurangnya 10 juta dirham (S$3.7 juta) dalam UAE, jika aset bukan hartanah membentuk sekurang-kurangnya 60 peratus daripada keseluruhan pelaburan. Para pelabur juga boleh membawa pasangan dan anak-anak mereka untuk menetap di negara itu.

Peraturan lain menawarkan visa selama lima tahun kepada para usahawan serta visa 10 tahun kepada saintis dan penyelidik dengan kelayakan tinggi. Para pelajar cemerlang juga boleh tinggal di negara itu selama lima tahun.

UAE kini terlibat dalam satu pertikaian diplomatik dengan Britain setelah seorang ahli akademi UK dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan mengintip.

Ketua Penyelidikan Lighthouse Research di Dubai, Jean-Paul Pigat, berkata visa-visa baru itu adalah satu langkah ke arah yang betul tetapi: "Bagi meninggalkan kesan besar terhadap permintaan domestik dan sektor-sektor seperti hartanah, dasar-dasar perlu diperluaskan supaya jumlah lebih besar penduduk boleh melayakkan diri bagi visa tersebut."

Visa-visa itu bagaimanapun tidak menyediakan laluan bagi mendapatkan kerakyatan UAE, yang merupakan satu isu politik yang sensitif dalam sebuah negara di mana lebih dua pertiga daripada sekitar 9.4 juta penduduk dipercayai adalah warga asing.

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan