Images
  • grab my

Toyota akan labur AS$1 bilion dalam Grab

SINGAPURA: Toyota Motor Corp bersetuju untuk melabur AS$1 bilion (S$1.34 bilion) dalam syarikat kereta sewa Grab sebagai pelabur utama.

Pelaburan dari Toyota itu adalah yang paling besar dari sebuah pengilang kereta bagi sektor kereta sewa, menurut Grab dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini (13 Jun).

"Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Grab dan Toyota akan mengukuhkan dan memperluaskan kerjasama sedia ada bagi menggalak penggunaan huraian mobiliti di merata Asia Tenggara, menurut kenyataan itu lagi.

Ming Maa, presiden Grab berkata: "Sebagai pemimpin global dalam industri kereta, pelaburan Toyota dalam Grab adalah berdasarkan keyakinan mereka terhadap kepimpinan kita dari segi penggunaan huraian mobiliti dan peluasan khidmat O2O seperti GrabFood dan GrabPay di rantau ini."

Buat masa ini, Grab beroperasi di 217 bandar di lapan negara Asia Tenggara dan menawarkan khidmat pengangkutan, penghantaran makanan dan bungkusan, bayaran online dan khidmat kewangan melalui aplikasi mudah alih Grab.

Pelaburan tersebut akan membolehkan Toyota untuk menyepadukan khidmatnya dengan Grab, dedah syarikat kereta sewa itu.

Grab dan Toyota juga akan melancarkan khidmat insurans yang berdasarkan telematik yang dijangka dapat mengurangkan kos premium insurans bagi para pemandu Grab.

Seorang eksekutif Toyota akan dilantik untuk menganggotai lembaga pengarah Grab dan seorang anggota pasukan Toyota akan dipinjamkan kepada Grab sebagai seorang pegawai eksekutif bagi mengukuhkan lagi kerjasama tersebut.

- CNA/AW/tq

Komen Anda?

Top