Images
  • condominium
    Bakal pembeli kondominium. (Gambar fail: TODAY)

Tangguh beli rumah? Ini nasihat ejen-ejen ekoran langkah penyejukan hartanah oleh pemerintah

SINGAPURA: Dengan pemerintah baru-baru ini melaksanakan langkah-langkah menyejukkan pasaran hartanah, haruskah para pembeli menunggu dahulu atau menangguhkan pembelian?

Apakah harga hartanah perumahan akan jatuh lagi pada bulan-bulan mendatang?

Ini sedang sebahagian pemaju hartanah memberi diskaun sehingga $50,000 secara purata, bagi mengimbangi kenaikan Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) dan mengetatkan had Pinjaman Kepada Nilai Hartanah (LTV).

BERITAMediacorp mendapatkan pandangan para pemain pasaran tentang apakah yang boleh dipertimbangkan para pembeli.

ADAKAH ANDA GOLONGAN PEMBELI YANG TERJEJAS?

Para pengamat yang ditemui berkongsi bahawa jika anda golongan pembeli rumah pertama; atau akan menjual flat atau hartanah privet yang anda miliki, anda sebenarnya tidak terjejas langsung dengan perubahan ABSD.

Bagaimanapun, anda akan terjejas dengan perubahan kepada LTV jika anda merancang untuk mengambil pinjaman bank bagi rumah baru anda baik untuk flat HDB atau hartanah privet.

Sebagai contoh, jika hartanah yang ingin anda beli dipasarkan pada harga $1 juta, sistem LTV sebelum ini membolehkan anda meminjam sehingga 80%. Lantas, bayaran deposit tunai 5% dan bayaran lain yang perlu ditokok berjumlah $200,000.

Namun kini, anda hanya dibenarkan meminjam sehingga 75% dan perlu membuat bayaran deposit tunai dan baki lain sebanyak $250,000 - naik $50,000 berbanding sistem sebelum ini.

Walaupun langkah baru ini memerlukan anda mengeluarkan jumlah wang tunai yang lebih banyak, ejen-ejen hartanah seperti Cik Nurashikin Jasni beranggapan ada kesan positif bagi pembeli.

"Bagi pembeli yang mempunyai budget tunai yang lebih tinggi mereka akan sedar dalam jangka masa panjang ini akan memberikan mereka lebih penjimatan dari sudut faedah kerana mereka mengambil pinjaman bank yang lebih rendah.

"Jadi secara keseluruhannya langkah ini akan membantu memperlahankan peningkatan harga hartanah dan ini akan membuatnya lebih mampu dimiliki," kata Cik Nurashikin yang juga Pengarah Kanan Pemasaran Propnex Realty.

HARGA HARTANAH PRIVET BARU JATUH?

Seorang lagi ejen hartanah Encik Hidzir Ismail juga berpandangan serupa.

Beliau menarik perhatian, langkah terbaru itu membuat harga beberapa projek hartanah privet baru, jatuh sekitar 3%-5% - atau $30,000-$50,000 - berdasarkan harga penjualan $1 juta.

Namun beliau akur, perubahan LTV itu membawa manfaat kepada golongan pembeli yang mempunyai jumlah wang tunai atau CPF yang tinggi.

Lantaran itu, beliau menasihati supaya para pembeli perlu berhati-hati membuat keputusan seperti melewatkan pembelian msupaya dapat mengumpul tunai atau menambahkan simpanan CPF mereka.

Encik Hidzir yang merupakan Pengarah Pemasaran ERA Realty, berkata: "Cara kedua mungkin kita boleh melihat jika ada rumah yang diinginkan mereka pada harga yang lebih rendah sedikit mungkin kita boleh lihat berdasarkan tingkatnya atau saiz rumah itu sendiri jadi dengan harga yang lebih rendah itu kita dapat menyesuaikan bajet mereka ini."

PEMBELI YANG INGIN MILIKI HARTANAH KEDUA TERJEJAS BANYAK

Bagi golongan pembeli berulang iaitu yang memiliki flat atau hartanah privet dan akan membeli hartanah privet sebagai rumah kedua, perubahan ABSD banyak menjejas mereka.

Misalnya jika hartanah privet yang ingin dibeli itu berharga $1 juta, mereka perlu membuat bayaran cukai setem sekitar $24,000 dan bayaran ABSD 7% sebelum ini.

Namun kini, pada harga $1 juta mereka perlu membuat bayaran cukai setem dan ABSD sebanyak 12% iaitu sekitar $140,000 secara keseluruhan. Ini bermakna mereka perlu mengeluarkan lagi $50,000 untuk bayaran ABSD. 

- BERITAMediacorp/ru

Top