Images
  • vsmart
    Vingroup akan melancarkan telefon bijaknya yang pertama pada 14 Disember. (Gambar: Vingroup)

Syarikat Vietnam, Vingroup bakal lancar telefon bijak minggu depan

HANOI: Vingroup, salah sebuah syarikat konglomerat terbesar Vietnam, bakal melancarkan telefon bijaknya yang pertama pada 14 Disember. Ia adalah sebagai sebahagian daripada transformasi syarikat itu ke dalam sektor teknologi dan perindustrian.

Vingroup sebelum ini merupakan sebuah konglomerat yang tertumpu kepada bidang hartanah dan runcit. Pada Isnin (3 Disember), Vingroup mengumumkan akan melancarkan empat model telefon bijak di bawah jenama 'Vsmart'. Dua bulan lalu, Vingroup menjadi pembuat kereta domestik pertama di negara itu.

Vietnam adalah pusat pangkalan penghasilan telefon bijak terbesar bagi Samsung Electronics.

Telefon bijak Vsmart itu dihasilkan di kilang-kilangnya yang terletak di bandar Haiphong di bahagian utara Vietnam. Ia berupaya menghasilkan 5 juta telefon bijak setiap tahun bagi fasa pertama, menurut Vingroup dalam satu kenyataan. Vingroup menambah bahawa ia kini memiliki 51 peratus saham syarikat teknologi Sepanyol, BQ, dan akan memanfaatkan para pakar Sepanyol bagi pembangunan produk tersebut.

"Kami berharap telefon bijak Vsmart dan kereta VinFast akan menyumbang kepada pembangunan industri Vietnam serta memperkenalkan jenama-jenama Vietnam ke seluruh dunia," kata Nguyen Viet Quang, naib pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Vingroup.

Syarikat telefon bijak Vingroup, Vinsmart, juga sedang bekerjasama dengan Qualcomm dan Alphabet Inc dari Google untuk "mengemas kini teknologi paling canggih dalam sektor telefon bijak," menurut kenyataan itu tanpa memberikan sebarang perincian.

Vingroup turut menyatakan bahawa kilang Vsmartnya juga akan menghasilkan televisyen bijak serta produk-produk bijak yang lain pada masa akan datang. 

- Reuters/AI/ai

Top