Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

SIA bakal lancar penerbangan komersil paling panjang di dunia pada 11 Oktober

Singapore Airlines (SIA) akan melancarkan penerbangan komersil tanpa henti paling panjang – antara Singapura dengan New York pada 11 Oktober ini.

Anggaran Waktu Membaca:
SIA bakal lancar penerbangan komersil paling panjang di dunia pada 11 Oktober

Pesawat Airbus A350-900ULR yang akan melakukan penerbangan Singapore-Newark.(Gambar: Singapore Airlines)

Diterbitkan : 30 May 2018 01:46PM Dikemas Kini : 30 May 2018 01:50PM

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) akan melancarkan penerbangan komersil tanpa henti paling panjang – antara Singapura dengan New York pada 11 Oktober ini.

Demikian menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (30 Mei).

Penerbangan Singapura-Newark itu akan meliputi laluan sejauh 16,700 kilometer dan tempoh perjalanan pula sepanjang 18 jam 45 minit.

Penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty itu menggunakan pesawat baru Airbus A350-900ULR dan mula beroperasi tiga kali seminggu dari Lapangan Terbang Changi pada hari Isnin, Khamis dan Sabtu.

Operasi setiap hari pula bermula dari 18 Oktober apabila khidmat pesawat-pesawat tambahan dimulakan.

Pesawat itu menawarkan dua kelas kabin – Bisnes dan Ekonomi Premium. Tiket-tiket mula dijual secara bertahap-tahap menerusi pelbagai cara mulai esok (31 Mei), menurut SIA.

“Kami gembira dapat menerajui (industri) menerusi penerbangan-penerbangan tanpa henti menggunakan teknologi terkini, iaitu Airbus A350-900ULR,” kata CEO SIA, Goh Choon Phong.

Ciri-ciri pesawat Airbus baru itu termasuk siling lebih tinggi, tingkap lebih besar dan mutu udara lebih baik, menurut SIA.

SIA merupakan pelanggan pertama Airbus di dunia yang menggunakan A350-900ULR dan menjangkakan pesawat pertamanya mendarat di Singapura pada bulan September. Lagi tujuh pesawat seperti itu akan dihantar menjelang hujung tahun ini.

Changi Airport Group (CAG) juga menyambut baik pengumuman itu, sambil menyatakan khidmat baru tersebut adalah satu-satunya penerbangan tanpa henti yang menghubungkan Asia Tenggara kepada pantai timur Amerika Utara.

“Dengan kecanggihan pesawat jarak jauh ini, penerbangan jarak jauh tanpa henti kini lebih cekap dan boleh dilakukan,” kata Pengarah Urusan CAG, Pembangunan Hab Udara, Lim Ching Kiat.

“Saya yakin ia akan diterima baik oleh para penumpang Lapangan Terbang Changi, lebih-lebih lagi para penumpang yang melakukan penerbangan bagi urusan kerja dan tidak mempunyai banyak masa.

“Dengan pertumbuhan kukuh penerbangan antara Amerika Utara dengan rantau Asia Tenggara, terdapat peluang-peluang pertumbuhan yang boleh dimanfaatkan,” tambah beliau.

Buat masa ini, SIA menawarkan khidmat ke Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York menerusi Frankfurt.

Dengan adanya khidmat baru Singapura-Newark, terdapat 72 khidmat mingguan antara Lapangan Terbang Changi dengan Amerika Syarikat bagi para penumpang, menurut CAG.

Ia menambah sebanyak 692,800 pergerakan penumpang dicatat menaiki penerbangan langsung antara Singapura dengan Amerika Syarikat pada tahun lalu.

Terdapat juga rancangan untuk menawarkan penerbangan tanpa henti dari Singapura ke Los Angeles dengan menaiki A350-900ULR. Namun ini akan diumumkan pada tarikh berasingan, tambah SIA.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan