Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Salon Karva milik Rozza & Jai tebar sayap ke KL, Nora Danish jadi rakan kongsi

Selepas berhasil memikat pelanggan dalam pasaran kecantikan wanita di bahagian Timur, Tengah dan Barat Singapura, pasangan selebriti ini jelas enggan mudah berasa puas hati.

Anggaran Waktu Membaca:
Salon Karva milik Rozza & Jai tebar sayap ke KL, Nora Danish jadi rakan kongsi

KarvaMy ditubuhkan atas nama Rozza Ramli dan Jai Wahab, pelakon Nora Danish serta Cathy Danish. (Gambar: Instagram/KarvaMy)

BERITAMediacorp: Selepas berhasil memikat pelanggan dalam pasaran kecantikan wanita di bahagian Timur, Tengah dan Barat Singapura, pasangan selebriti ini jelas enggan mudah berasa puas hati.

Malah, mereka meningkatkan lagi piawai keusahawanan mereka dengan terus meneroka pasaran di luar negara.

Hasilnya, pengasas salon kecantikan kuku dan rambut Karva, iaitu Rozza Ramli dan Jai Wahab, akan merasmikan satu lagi cawangan - bukan di Singapura, tetapi di Kuala Lumpur (KL)!

Kini Karva malah mahu menerobos pula ke Indonesia, yang mempunyai pasaran yang jauh lebih besar.

Bagi cawangan di Malaysia itu, Rozza mendedahkan kepada BERITAMediacorp, pelaburan bersama antara beliau dan pihak Nora Danish mencecah hampir RM400,000 (S$135,300), iaitu sekitar 30 peratus lebih banyak berbanding pelaburan sebuah cawangan Karva di Singapura.

4 CAWANGAN DALAM 4 TAHUN

Siapa sangka, dalam masa empat tahun sahaja, pengasas Karva terus menongkah arus perniagaan dengan penuh yakin, dengan cawangan di East Village, Bussorah Street, JCube di Jurong East dan kini, di Malaysia.

Rozza memberitahu BERITAMediacorp: "Peluasan Karva ke KL adalah seperti menyaksikan mimpi bertukar menjadi realiti. Seperti sukar untuk percaya.

"Sebenarnya, sejak pembukaan Karva, rantau Asia sudah berada dalam rancangan kami. Tetapi selepas empat tahun, barulah kami dapat melaksanakannya setelah kami menstabilkan operasi kami."

Salon Karva di KL, yang juga dikenali sebagai KarvaMy, akan dirasmikan pada Khamis ini (19 Apr). Ia bagaimanapun sudah memulakan operasi sejak sekitar seminggu lalu.

Malah, KarvaMy juga dipaparkan sebagai Karva Salon By Nora Danish. Meskipun Rozza dan Jai secara keseluruhan masih memiliki jenama Karva, KarvaMy ditubuhkan atas nama empat rakan syarikat, iaitu pasangan suami isteri itu, Nora Danish dan Cathy Danish (kakak Nora).

BAGAIMANA TERHASIL KOLABORASI KARVAMY?

Menceritakan proses usahasama niaga mereka, Rozza mendedahkan bahawa Nora banyak berkongsi idea tentang keusahawanan dengan beliau. Nora Danish sudahpun memiliki sebuah kafe Kopi & XOXO yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur.

Dalam perbincangan antara kedua-dua pihak, mereka malah pernah berbincang tentang idea membuka satu lagi cawangan Kopi & XOXO tetapi di Singapura. Cadangannya, mereka menjadi rakan kongsi. Bagaimanapun Rozza belum bersedia berbuat demikian.

"Kami berasa ini mungkin bukan masa yang tepat untuk membukanya (Kopi & XOXO) di sini. Kami kemudian mengusulkan pula agar membuka pula cawangan Karva di Malaysia dengan mereka sebagai rakan syarikat kami.

"Sangat mudah untuk bekerjasama dengan keluarga Nora. Kakak Nora, Cathy banyak menguruskan operasi harian, jadi kami juga berasa lega kerana ada seseorang yang dapat mengendalikan operasi di sana," ujar Rozza lagi.

IG Rozza Ramli

(Gambar: Rozza Ramli/Instagram)

Yang jelas, visi Karva di kedua-dua negara tetap sama, iaitu untuk mengupaya wanita, serta menyerlahkan daya ketahanan dan keyakinan diri setiap wanita.

DARI EAST VILLAGE KE G VILLAGE

Rozza turut berkongsi dengan BERITAMediacorp, KarvaMy, yang terletak di G Village, Jalan Desa Pandan KL, juga memiliki ruang sekitar empat kali lebih besar berbanding cawangan di Singapura.

"Cabaran binaan dan menubuhkan operasi adalah lumrah bagi setiap perniagaan. Tetapi cabaran terbesar adalah apabila saya harus mengorbankan masa untuk kerapkali berjauhan dengan anak-anak sepanjang tiga bulan menjelang operasi penuh KarvaMy.

"Saya harap mereka faham bahawa segala yang saya lakukan ini adalah demi mereka juga," luah ibu empat anak ini.

Bagaimanapun, kumpulan individu yang berbakat di Malaysia juga menjadikan pengambilan kakitangan lebih lancar di KarvaMy, yang juga memberikan khidmat tambahan pada wajah dan 'Oway Organic Scrub Treatment'.

Rozza Ramli

(Gambar: Rozza Ramli)

"Saya juga terharu dan berbesar hati mendapat tahu pelanggan tetap Karva di Singapura, turut menyokong kami di KL," kongsinya lagi.

ROZZA: SUDAH TIBA MASANYA KARVA DIKENALI SEBAGAI JENAMA ANTARABANGSA

Yang nyata, peluasan KARVA ke luar negara memberi makna mendalam bagi Rozza, sambil meniti semula permulaan mereka sejak pembukaan cawangan kecil yang pertama.

"Ini ibarat mimpi bagi setiap orang, dengan didorong keazaman, kerja keras dan doa. Saya memutuskan bahawa saya mempunyai tanggungjawab untuk memberi khidmat kepada masyarakat agar kaum wanita serta muslimah dapat memanjakan diri mereka dalam sebuah salon yang selesa."

Bahkan, menurutnya, beliau enggan Karva sekadar digelar salon kecantikan yang berkonsepkan selebriti, malah tetap memberi tumpuan kepada khidmat bermutu dengan menggunakan produk berkualiti.

Rozza Ramli

(Gambar: Rozza Ramli)

"Kami juga sedang dalam perbincangan untuk membawa Karva ke Jakarta dengan kerjasama seorang selebriti di sana," kata Rozza secara ringkas, sambil berkongsi mengenali artis berkenaan menerusi Nora Danish.

"Sudah tiba masanya Karva dikenali sebagai jenama antarabangsa dengan bantuan rakan syarikat kami yang strategik. Kami sudah bersedia dilihat dan dikenali oleh negara-negara jiran kami," ujar bekas pelakon itu sambil mengakhiri wawancara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan