Images
  • falling stocks
    (Gambar hiasan: Nicolas Asfouri/AFP)

Saham China junam ke paras terendah dalam 4 tahun

SHANGHAI: Pasaran saham China menjunam ke parasnya yang terendah dalam tempoh empat tahun hari ini (11 Okt) menyusuli kejatuhan bursa-bursa di serata dunia. Saham-saham sekitar 1,000 syarikat China jatuh mencecah had harian 10 peratus.

Saham Shanghai jatuh 5.22 peratus, atau 142.38 mata, kepada 2,583.46, iaitu paras terendah sejak November 2014.

Indeks Komposit Shenzhen, yang memantau saham bursa kedua China, merosot 6.45 peratus, atau 89.15 mata, kepada 1,293.90 - terendah sejak September 2014.

"Keyakinan terhadap pasaran China sudah sangat terjejas sejak Isnin (8 Okt) dan para pelabur bersikap sangat berhati-hati," kata Zhang Yanbing, seorang penganalisis Zheshang Securities. "Jadi mereka panik dan bertindak secara berlebihan."

Kemerosotan berturut-turut minggu ini bagi tanah besar China selepas Shanghai dan Shenzhen, menyaksikan penyusutan hampir empat peratus pada Isnin (8 Okt).

Pasaran Asia lain turut menjunam hari ini (11 Okt) menyusuli sesi terburuk pada Wall Street selama berbulan-bulan selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengatakan bahawa Bank Simpanan Federal (Federal Reserve) menjadi "kacau-bilau" dengan pelan-pelan bagi kadar faedah lebih tinggi.

"Dengan adanya kejatuhan saham di seluruh dunia, saham tanah besar (China) mungkin kekal tidak selamat," menurut Guangzhou Wanlong Securities.

"Mengetepikan kadar faedah, perang dagang Amerika-China punca gangguan dalam pasaran kerana orang ramai bimbang pergeseran akan bertukar menjadi konfrontasi politik."

Perdagangan dengan syarikat-syarikat China digantung apabila sahamnya merosot atau melonjak sebanyak 10 peratus, dan sekitar 1,000 syarikat jatuh dan mencecah paras tersebut hari ini (11 Okt).

Bank-bank paling teruk terjejas di Shanghai. Bank gergasi ICBC merosot 2.7 peratus kepada 5.40 yuan sementara Bank China Construction ditutup 3.75 peratus lebih rendah kepada 6.68 yuan.

Syarikat-syarikat sofwe juga mengalami kerugian di Shenzhen. Saham Digiwin Software menjunam melampaui batas 10 peratusnya kepada 9.09 yuan sementara Unisplendour Corp jatuh 9.37 peratus kepada 35.98 yuan.  

- AFP/AQ/aq

Top