Images
  • bendera sarawak
    Bendera Sarawak. (Gambar: Facebook / Abdul Halim)

S'pura antara 3 pejabat perdagangan baru yang akan dibuka Sarawak - Ketua Menteri

KUCHING: Sarawak akan membuka tiga pejabat perdagangan serantau, termasuk di Singapura tahun depan sebagai penghubung antara pengeksport negeri itu dengan masyarakat perniagaan antarabangsa.

Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata pejabat perdagangan di Singapura akan mula beroperasi pada 1 Januari tahun depan dan disusuli dua lagi pejabat perdagangan di Bandar Seri Begawan, Brunei dan Pontianak, Kalimantan Barat di Indonesia.

"Jadi Sarawak akan ada ‘diplomat perdagangan’ kami sendiri dan penjawat awam kami akan dihantar ke sana untuk menguruskan pejabat perdagangan ini yang disasarkan kepada pelabur, pengeluar dan sektor pelancongan,” katanya sambil menambah antara kemudahan yang disediakan adalah bilik persidangan dan bilik mesyuarat.

Encik Abang Johari berkata demikian semasa merasmikan Pameran dan Persidangan Perniagaan Antarabangsa Sarawak (SIBEC) 2018 yang julung kali diadakan.

Acara itu yang dianjurkan oleh Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), berlangsung selama dua hari, bermula hari ini (12 Okt).

Menjelas mengenai pejabat perdagangan Singapura, Encik Abang Johari yakin negeri itu boleh memenuhi piawaian antarabangsa ketat yang ditetapkan oleh Singapura, terutamanya dalam mengeksport hasil pertanian ke negara tersebut.

Mengenai SIBEC, platform baru bagi membantu masyarakat perniagaan dan usahawan tempatan, beliau berkata idea-idea yang diberikan akan digunakan oleh kerajaan negeri untuk merangka dasar dalam mengubah ekonomi.

Persidangan itu yang bertemakan "Teknologi Digital Pacu Perniagaan", juga termasuk pameran barangan dan perkhidmatan dan dibukakan kepada orang ramai.  

- BERNAMA/NA/na

Top