Images
  • kapal
    Sebuah kapal kontena di perairan Singapura. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

S'pura akan haramkan pembuangan 'air cucian' kapal di pelabuhan

SINGAPURA: Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) akan mengharamkan pelepasan "air cucian" yang digunakan dalam kapal-kapal untuk membersihkan ekzos enjin mulai 1 Jan 2020.

Pengharaman ke atas sistem penggahar terbuka di Singapura, yang merupakan hab pengisian tangki minyak kapal utama dunia, mungkin menjejas syarikat perkapalan yang sudah melaburkan jutaan dolar dalam sistem pembersihan gas ekzos itu.

Langkah itu bertujuan mempersiapkan salah sebuah pelabuhan paling sibuk di dunia itu untuk peraturan-peraturan baru Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang akan berkuatkuasa pada 2020. Ia memerlukan kapal-kapal untuk menggunakan bahan pembakar lebih mesra alam.

"Demi memelihara sekitaran laut dan memastikan perairan di pelabuhan kekal bersih, pelepasan air cucian dari penggahar gas ekzos terbuka ke perairan pelabuhan Singapura akan diharamkan," menurut Ketua Pegawai Eksekutif, MPA Andrew Tan, di satu acara di sini.

"Kapal-kapal yang dipasang dengan sistem pembersih hibrid diperlukan untuk menukar kepada operasi penggahar tertutup," kata Encik Tan sambil menambah bahawa Singapura akan menyediakan prasarana untuk mengumpul sisa yang dihasilkan daripada operasi pembersihan itu.

MPA turut menyatakan bahawa pengharaman itu "sudahpun menjadi sebahagian daripada undang-undang sedia ada" namun pelaksanaannya akan bermula dari 1 Januari 2020.

IMO, yang merupakan agensi perkapalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menggegarkan industri maritim dan bahan pembakar pada 2016 apabila ia mengumumkan pengharaman ke atas kapal yang menggunakan bahan pembakar yang mempunyai kandungan sulfur melebihi 0.5 peratus mulai 1 Januari 2020, berbanding 3.5 peratus sekarang.

Demi mematuhi undang-undang baru itu, syarikat perkapakan boleh menggunakan minyak lebih bersih namun lebih tinggi kosnya seperti minyak gas marin atau minyak rendah sulfur, beralih kepada bahan pembakar alternatif seperti gas asli cecair atau melabur dalam sistem pembersihan ekzos.

Sistem pembersihan ekzos terbuka menggunakan air laut sebagai cecair pencuci yang kemudiannya dirawat sebelum dilepaskan semula ke laut. Dalam sistem tertutup pula, air pencuci dirawat dengan bahan tambahan dan cecair itu dikitar semula dalam sistem penggahar itu. Sistem hibrid adalah gabungan kedua-dua sistem.

Peningkatan pesanan bagi pemasangan sistem penggahar tahun ini menyebabkan para pengkaji industri tenaga meramalkan kenaikan permintaan bagi tangki minyak tinggi sulfur (HSFO), kerana sistem penggahar membenarkan kapal-kapal terus menggunakan HSFO selepas undang-undang baru IMO berkuatkuasa.

Bagaimanapun pertukaran kepada bahan pembakar rendah sulfur masih dianggap oleh sebahagian besar pemerhati industri sebagai paling praktikal kerana pelaburan dan kos operasi yang tinggi yang dikaitkan dengan penggahar serta ketidaktentuan peraturan pencemaran di masa hadapan.

- CNA/TQ/ai

Top