Images
  • ryanair
    Gambar fail pesawat Ryanair. (Gambar: PA)

Ryanair siap sedia hadapi mogok terbesar

DUBLIN: Puluhan ribu penumpang terjejas apabila para juruterbang syarikat Ryanair di lima negara Eropah melancarkan mogok sepanjang 24 jam, hari ini (10 Ogos).

Mogok tersebut dilakukan bagi menuntut gaji dan keadaan bekerja yang lebih baik daripada syarikat penerbangan tambang murah Ireland itu.

Selain di Ireland sendiri, mogok itu turut dilancarkan oleh para juruterbang Ryanair di Jerman, Belgium, Sweden dan Belanda.

Ryanair terpaksa membatalkan sekitar 400 daripada 2,400 penerbangannya di Eropah hari ini yang menjejas sekitar 55,000 penumpang.

Pihak pengurusan syarikat berkenaan membidas tindakan mogok itu yang disifatkan sebagai tidak perlu dilakukan.

Namun, kesatuan sekerja para juruterbang itu mendakwa bahawa Ryanair enggan mengadakan dialog membina dengannya mengenai perjanjian bersama sejak syarikat itu mengiktiraf kesatuan-kesatuan sekerjanya, pada Disember tahun lalu. 

- CNA/MU/hs

Top