Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Ravi Menon harap teknologi wang kripto dapat bertahan jika pasaran runtuh

Ketua bank pusat Singapura Encik Ravi Meno hari ini (15 Jan) berkata beliau berharap teknologi di sebalik mata wang kripto seperti Bitcoin tidak akan terjejas sekiranya pasaran kewangan maya itu runtuh 

Anggaran Waktu Membaca:
Ravi Menon harap teknologi wang kripto dapat bertahan jika pasaran runtuh

Pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura Encik Ravi Menon. (Gambar: REUTERS/Edgar Su/Files)

Diterbitkan : 15 Jan 2018 04:27PM Dikemas Kini : 15 Jan 2018 11:50PM

SINGAPURA: Ketua bank pusat Singapura Encik Ravi Menon hari ini (15 Jan) berkata beliau berharap teknologi di sebalik mata wang kripto seperti Bitcoin tidak akan terjejas sekiranya pasaran kewangan maya itu runtuh.

Singapura merupakan antara bank-bank pusat di dunia yang menyuarakan keprihatinan tentang risiko kerugian tinggi yang ditanggung rakyat serta risiko pengubahan wang haram melalui mata wang kripto. Namun, ia sedang menjalankan kajian terperinci mengenai teknologi pengagihan akaun di sebalik bitcoin.

"Saya berharap, 'demam' ini akan cepat berlalu dan apabila pasaran mata wang digital runtuh, ia tidak akan menjejas teknologi yang dikaitkan dengan mata wang digital dan rantaian blok," kata Encik Ravi, pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) di satu acara anjuran UBS di Singapura.

Korea Selatan, sumber penting permintaan global untuk mata wang kripto, menyatakan minggu lalu bahawa ia merancang untuk mengharamkan dagangan mata wang kripto. Langkah itu mengakibatkan harga bitcoin dan mata wang digital lain jatuh mendadak.

Nilai bitcoin melonjak sekitar 1,500 peratus tahun lalu kepada kemuncaknya hampir AS$20,000 (S$26,400) pada Disember. Namun, nilainya jatuh sejak itu dan pada hari ini (15 Jan), ia didagangkan sekitar AS$13,572 (S$17,900), di pasaran Eropah Bitstamp yang berpangkalan di Luxembourg.

Menjawab pertanyaan sama ada bank-bank pusat juga harus mengeluarkan mata wang kripto untuk dijual langsung kepada orang ramai, Encik Menon berkata meskipun beliau tidak menolaknya sebagai sesuatu yang mungkin berlaku di Singapura, beliau tidak pasti sama ada ia adalah satu idea yang baik.

Venezuela, yang kini dilanda krisis, satu-satunya contoh negara yang merancang untuk mengeluarkan mata wang kripto.

Ia merancang melakukan demikian sebagai satu cara untuk mengakhiri inflasi tiga digit dan kekurangan tunai negara itu selain elak sekatan kewangan Washington.  

Sumber : CNA/AQ/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan