Images
  • proton file
    Gambar fail kereta Proton di bilik pameran Kuala Lumpur. (Gambar: AFP)

Proton capai sasaran untuk naik taraf cawangan

MALAYSIA: Proton Holdings Bhd mencapai 92 peratus daripada sasaran untuk menaik taraf cawangan 3S dan 4S sehingga 31 Ogos lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Dr Li Chunrong dalam satu kenyataan berkata 100 daripada 109 cawangan yang disasarkan untuk Oktober sudah diluluskan.

"Pengukuhan jenama Proton juga telah menyumbang kepada jualan yang sekarang ini bergerak dalam aliran menaik sejak tiga bulan lepas, jualan pada Ogos telah mencecah 18 peratus berbanding bulan sebelumnya, dengan jualan sebanyak 9,501 unit, angka tertinggi dalam tempoh 36 bulan.

"Kami amat yakin bahawa momentum ini akan terus melonjak pada bulan-bulan akan datang, terutama dengan kedatangan kenderaan utiliti sukan pertama (SUV) Proton," katanya.

Menurut beliau lagi, tempahan SUV Proton yang dinanti-nantikan itu, X70, dibuka sejak 8 September lepas dan syarikat meramalkan tempahan akan meningkat apabila tarikh pelancaran rasmi semakin dekat.

Sementara itu, Proton secara rasmi melancarkan cawangan 3S, Atiara Johan Sdn Bhd di Puchong bagi menggantikan bilik pameran 1S syarikat itu yang terletak di Pandan Indah.

Cawangan baru itu dibina dengan kos kira-kira RM3.5 juta(S$1.16 juta) dengan keluasan binaan sebanyak 1,700 meter persegi.

Pengarah Urusan Atiara Johan, Judith Yam berkata memandangkan ia berada di lokasi strategik, cawangan itu akan meningkatkan jualan sebanyak 60 peratus, manakala perkhidmatan penyelenggaraan akan menjanjikan aliran pendapatan baru untuk cawangan tersebut.

"Kami mengambil peluang untuk menaikkan taraf kepada sebuah pusat 3S daripada 1S kerana kami tahu, ini merupakan langkah terbaik bagi perniagaan kami dalam jangka panjang.

"Kami sedar untuk selaras dengan hala tuju baru perniagaan Proton, kami perlu berwajah baru yang lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi menyediakan tahap jualan terbaik dan pengalaman perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan-pelanggan kami," kata Yam.

- BERNAMA/TQ/tq

Top