Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pesta M'sia 2018 di S'pore Expo: Penjualan dijangka cecah $10 juta; catat 86,000 pengunjung

Pesta Malaysia 2018 di Singapore Expo yang berakhir hari ini (12 Ogos), mendapat sambutan baik dan dijangka menjana hasil penjualan keseluruhan sehingga $10 juta.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pesta Malaysia 2018 di Singapore Expo yang berakhir hari ini (12 Ogos), mendapat sambutan baik dan dijangka menjana hasil penjualan keseluruhan sehingga $10 juta.

Demikian dedah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada hari keempat (12 Ogos) pesta buah-buahan dan makanan Malaysia itu berlangsung.

5,000 KG DURIAN HABIS TERJUAL

Hanya sedikit pulasan dan rambutan yang tinggal, dengan buah seperti manggis, duku langsat, cempedak dan 5,000 kilogram durian yang habis terjual. Durian misalnya dijual pada harga antara S$8.50 hingga S$16 sekotak bergantung kepada jenis.

Begitulah larisnya penjualan 15,000 kilogram buah-buahan di Pesta Malaysia 2018 tersebut.

Para pengunjung rata-rata tertarik dengan 'harga pesta' dan juga kepelbagaian jenis buah-buahan yang ditawarkan.

"Buah tempatan ini saya rasa menariklah. Kitalah nak kena hidupkan buah-buahan ini, kalau tidak siapa lagi," kata pengunjung bernama Cik Hamidah Ahmad.

PELAKON MAHMUD ALI BASHAH ANTARA 28 ARTIS YANG HADIR

Antara barangan lain Malaysia yang dijual termasuk produk fesyen, kecantikan dan kraf tangan.

Ia juga diwarnai kehadiran 28 artis Malaysia yang mempromosi produk-produk mereka, termasuk pelakon Malaysia Mahmud Ali Bashah yang antaranya menjual kek lapis dan kain sutera Sarawak.

"Sangat bagus. Saya rasa rakyat Singapura sangat 'sporting' dan kalau ada produk terutama sekali daripada Malaysia, mereka akan datang beramai-ramai," kongsi Mahmud Ali Bashah, yang turut memberi isyarat tanda jempol tentang sambutan penduduk Singapura terhadap produk-produk jualannya.

SAMBUTAN TRAK MAKANAN "TERBAIK"

10 trak makanan yang menjual makanan popular dan tradisional Malaysia turut ditampilkan buat julung-julung kalinya.

Usahawan Malaysia yang mengendalikan tiga daripada 10 trak makanan tersebut, Encik Mohamed Shaharini Abdul Ghani menjelaskan sambutan trak makanan adalah "yang terbaik" kali ini.

"Memang menyokong pasukan kami, trak-trak makanan di sini, memang saya amat terharu dan gembira di mana kita tengok-tengok memang ramai datang ke sini," katanya.

FAMA: UNJURAN UNTUNG S$20 JUTA DI MASA HADAPAN

Berbekalkan kelainan pelbagai produk Malaysia yang tidak kedapatan di Singapura, maka tidak hairanlah pesta empat hari ini berjaya menarik lebih 86,000 pengunjung, menurut penganjurnya MegaXpress International.

FAMA khususnya paling gembira kerana hasil penjualan di lebih 30 gerainya termasuk buah-buahan dan produk industri asas tani lainnya berganda tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Encik Mansor Omar menjelaskan: "Berbanding tahun lepas, kita sasar S$5 juta, kita dapat S$6 juta lebih, dan tahun ini kita sasarkan S$10 juta, itu jualan terus, tapi kita punya yang mungkin perjanjian, kita jangka sampai ke tahap S$20 juta, maknanya jangkaan jualan akan datang."

Encik Mansor menambah, ini bagaimanapun bukan soal untung semata-mata, tetapi menjurus kepada membuka peluang pasaran lebih besar lagi kepada peniaga Malaysia. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan