Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Permintaan binaan pada 2017 merosot lebih rendah dari yang dijangka

Jumlah keseluruhan kontrak binaan yang dikeluarkan pada tahun 2017 adalah S$24.5 bilion, kurang daripada unjuran antara S$28 bilion dengan S$35 bilion bagi tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Jan 2018 07:06PM Dikemas Kini : 12 Jan 2018 12:45AM

SINGAPURA: Anggaran awal oleh Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) yang diumumkan hari ini (11 Jan) menunjukkan jumlah keseluruhan kontrak binaan yang dikeluarkan pada tahun 2017 adalah S$24.5 bilion, kurang daripada unjuran antara S$28 bilion dengan S$35 bilion bagi tahun lalu.

Menurut BCA, keseluruhan jumlah permintaan binaan pada tahun lalu lebih rendah daripada yang dijangkakan kerana terdapat penyusunan semula bagi "beberapa projek utama prasarana sektor awam", seperti Koridor Utara-Selatan yang kini dijadual pada tahun ini.

Selain itu masa yang lebih panjang juga diperlukan untuk membuat persiapan bagi projek-projek rumit berskala besar, menurut BCA.

Ia menjangkakan nilai kontrak binaan yang dikeluarkan pada tahun 2018 pula antara S$26-31 bilion, kurang sedikit berbanding unjuran awal antara S$26-35 bilion.

Ini, menurut BCA, disebabkan oleh "permintaan yang terus berkurangan dalam sektor binaan privet sejak tahun 2015".

Jumlah awal permintaan binaan dalam sektor awam pada tahun 2017 adalah S$15.5 bilion.

Perangkaan tahun ini dijangka merosot antara S$16-19 bilion, menyumbang kepada sekitar 60 peratus permintaan yang diramalkan bagi tahun 2018. Ini dengan permintaan bertambah bagi kemudahan jagaan kesihatan, kerja-kerja kejuruteraan awam dan beberapa projek kecil pemerintah yang ditundakan sebagai respons kepada kelembapan pada tahun-tahun sebelumnya, antara lain.

Permintaan binaan bagi sektor privet dijangka bertambah baik dari S$9 bilion pada 2017 kepada antara S$10-12 bilion pada tahun 2018 disebabkan unjuran ekonomi yang lebih baik dan peningkatan sentimen pasaran hartanah.

Sebahagian projek dijadual dikeluarkan pada tahun ini termasuk kontrak bagi Koridor Utara-Selatan dan bangunan pejabat di Central Boulevard dan Harbour Drive.

RAMALAN JANGKA PERTENGAHAN

BCA menyatakan ia menjangkakan "peningkatan stabil" dalam pasaran binaan pada jangka pertengahan, dengan permintaan diramalkan mencecah antara S$26-33 bilion setiap tahun pada 2019 dan 2020.

Ia dijangka meningkat lagi pada tahun 2021 dan 2022 dan berada dalam lingkungan antara S$28-35 bilion.

Sektor awam akan terus menerajui permintaan dan mungkin terus menyumbang antara S$16-20 bilion setiap tahun dari 2019 hingga 2022.

Ini, setelah menimbangkan projek-projek prasarana seperti Laluan Cross Island dan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, menurut BCA.

Permintaan binaan dalam sektor privet juga akan meningkat secara bertahap-tahap pada jangka pertengahan disebabkan pembangunan semula tapak-tapak en bloc dan manfaat limpahan yang dijana oleh prestasi ekonomi yang lebih baik, menurut lembaga berkanun itu lagi.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan